Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan penting taman dalam kawasan bandar

Jun 2, 2024 | 5:30 AM
Pemandangan Pinnacle@Duxton, Terminal Brani, pelabuhan, Sentosa, kapal dan kapal tangki dapat dinikmati dari taman bandar, Sky Garden, di CapitaSpring.
Pemandangan Pinnacle@Duxton, Terminal Brani, pelabuhan, Sentosa, kapal dan kapal tangki dapat dinikmati dari taman bandar, Sky Garden, di CapitaSpring. - Foto fail

Sebut sahaja “taman Singapura” dan ramai orang akan membayangkan tarikan besar seperti Gardens by the Bay, Kebun Bunga Singapura, Taman East Coast, Taman Fort Canning, dan sebagainya. Tetapi ruang hijau yang lebih kecil dalam bandar juga mempunyai kehebatan mereka sendiri.

Terdapat daya tarikan unik pada alam semula jadi yang ditemui di tengah-tengah bangunan. Misalnya, Sky Garden di CapitaSpring, sebuah pembangunan bersepadu 51 tingkat di Kawasan Pusat Bandar (CBD). Dengan 38,000 tumbuhan dalam taman yang merangkumi empat tingkat, ia menunjukkan bagaimana taman bandar boleh disepadukan dalam struktur pencakar langit di tengah-tengah bandar.

Kewujudan alam semula jadi dan bunyi-bunyian seperti gemerisik dedaun, kicauan burung dan air yang mengalir, memberi perbezaan yang dialu-alukan kepada hiruk-pikuk dan bunyi bandar yang kedengaran dari jalan-jalan di bawah.

Memandangkan taman-taman bandar terkenal di dunia selalunya bersaiz besar, salah tanggapan umum ialah manfaat yang dibawa adalah berkaitan dengan saiz. Walaupun taman bandar terkenal seperti Central Park di New York dan Kebun Bunga di Singapura sangat luas, bilangannya tidak setanding dengan taman bandar yang lebih kecil.

Sekitar 14 peratus ruang tanah Singapura dikhususkan untuk taman, hutan simpanan, kawasan alam semula jadi dan badan air, dengan taman besar dan kecil dan ruang bandar yang sering terlepas pandang seperti taman permainan, kawasan lapang, sudut kecergasan dan penghubung taman membentuk sepertiga daripada ini.

Memandangkan perumahan membentuk sekitar 15 peratus daripada keluasan tanah, peruntukan untuk taman adalah penting.

Hari ini, sudut kehijauan bandar dan taman kecil berbilang fungsi yang kadangkala tersembunyi ini adalah penting dalam reka bentuk bandar, terutamanya di bandar yang sangat padat, ditempatkan secara strategik di tempat tinggal, bekerja dan bermain. Singapura memberi contoh bagaimana taman bandar kecil boleh menawarkan pelbagai faedah, berfungsi sebagai model untuk bandar lain.

Walau bagaimanapun, apabila kita melihat di sekeliling kita, masih terdapat ruang yang kurang digunakan dalam bandar kita yang boleh diubah menjadi taman bandar. Mengapa ini penting dan apa lagi yang boleh dilakukan?

Manfaat taman bandar

Taman bandar muncul seiring dengan bandar terawal untuk mengatasi kesan buruk pembandaran. Penduduk yang padat di bandar menjana tahap pencemaran udara yang tidak pernah berlaku sebelumnya yang boleh dikurangkan oleh taman bandar yang bertindak sebagai ‘paru-paru hijau’, sebagai contoh. Ini adalah sebab utama di sebalik peruntukan ruang besar di tanah berharga untuk mewujudkan taman dalam bandar seperti Central Park di New York.

Sejak itu, taman bandar telah berkembang menjadi berbilang fungsi. Taman bandar kontemporari melaksanakan tiga peranan penting iaitu untuk alam sekitar, untuk kelihatan cantik dan untuk menjadi tempat yang dikongsi bersama.

Selain meningkatkan mutu udara, taman bandar di sini menyumbang ke arah mengurangkan kesan pulau haba bandar sambil turut menyokong kepelbagaian biologi di tengah-tengah cita-cita Bandar dalam Alam Semula Jadi Singapura, sebahagian daripada Pelan Hijau Singapura 2030. Malah di kawasan yang padat dengan bangunan, Singapura mempunyai pelbagai jenis fauna dan flora seperti ayam hutan merah yang berkeliaran di banyak estet perumahan hari ini dan pokok trumpet, bunga sakura versi Singapura, yang memenuhi jalan-jalan raya kita.

Selain itu, taman bandar seperti Taman Bishan-Ang Mo Kio, yang merangkumi reka bentuk saluran sungai berdasarkan konsep dataran banjir, memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan banjir.

Penawar kepada konkrit

Mutu estetik bandar kita dipertingkatkan dengan pengenalan taman bandar. Taman-taman ini meningkatkan landskap visual – fikirkan bagaimana ruang hijau dan biru memberikan perbandingan kepada konkrit, keluli dan kaca. Melihat sekeliling Singapura, taman-taman bandar, yang menjalinkan persekitaran hijau dan biru semula jadi ke dalam ruang yang padat dengan bangunan, benar-benar mewujudkan Bandar dalam Alam Semula Jadi.

Telok Ayer Green, sebuah taman bandar kecil yang diapit di antara dua monumen negara, kuil Thian Hock Keng dan kuil Nagore Durgha, dan terletak jauh dari jalan-jalan utama adalah salah satu contoh. Jurong Eco-Garden di Taman CleanTech adalah satu lagi. Taman bandar ini, terletak dalam kawasan banyak bangunan, melembutkan dan meningkatkan landskap bandar.

Banyak taman bandar hari ini juga berfungsi sebagai tempat untuk luahan budaya dan seni. Acara, pemasangan seni dan persembahan menambah dimensi dinamik dan interaktif kepada ruang awam ini. Gabungan alam semula jadi dan budaya ini meningkatkan kecantikan dan pengalaman kehidupan bandar.

Memupuk semangat bermasyarakat

Taman bandar juga merupakan ruang yang dikongsi bersama yang penting. Ia menyediakan kawasan untuk kegiatan sosial dan riadah, memupuk semangat bermasyarakat dan menggalakkan interaksi sosial. Ia adalah ruang untuk penduduk berkumpul, bersenam, bermain atau melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat lain.

Taman Jalan Pelatok adalah contoh peranan komunal taman bandar kecil. Taman ini dikelilingi oleh estet perumahan privet (termasuk kondominium dan rumah berhalaman) dan perumahan awam. Ia menempatkan Kebun Seni Pelatok, sebuah kebun prototaip masyarakat yang tercetus daripada program preskripsi sosial hijau dan kajian oleh Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura, Hospital Besar Changi dan syarikat tempatan SAA Architects.

Kajian itu mendapati bahawa mereka yang mengambil bahagian melahirkan semangat bermasyarakat yang lebih besar, keterkaitan dengan alam semula jadi dan mempunyai emosi yang lebih positif.

Taman bandar yang direka bentuk dengan baik dan diprogramkan dengan baik boleh menjadi simbol kebanggaan sivik dan identiti masyarakat. Ruang yang dikongsi ini memupuk semangat kekitaan dan pemilikan dalam kalangan masyarakat, perpaduan sosial dan daya tahan masyarakat.

Taman bandar juga memainkan peranan pemulihan yang penting, tetapi kurang dihargai, dalam kehidupan bandar kita.

Kajian telah menunjukkan bahawa manusia mempunyai perikatan dengan alam semula jadi, juga dikenali sebagai biofilia dan pendedahan kepada alam semula jadi, termasuk taman bandar, membantu memulihkan fungsi kognitif dan tumpuan. Meluangkan masa di kawasan hijau ini boleh meningkatkan kesejahteraan keseluruhan.

Taman bandar menyediakan peluang yang mudah diakses untuk penduduk bandar berhubung semula dengan alam semula jadi dan mengalami manfaat ini.

Prospek masa depan: Lebih banyak taman bandar?

Pelan Hijau SG menetapkan perluasan ruang hijau dan taman yang lebih lanjut menjelang 2030, dengan jelas menegaskan kepentingannya. Tetapi dengan ruang tanah Singapura yang terhad dan kawasan hijaunya yang sudah cukup luas, adakah ini boleh dicapai? Jika kita lihat dengan teliti di sekeliling kita, masih terdapat ruang yang kurang digunakan di bandar kita yang boleh diubah menjadi taman bandar.

Sebagai contoh, ruang di bawah jejambat MRT mempunyai potensi itu. Jejambat MRT di Ang Mo Kio dan Yew Tee masing-masing telah diubah menjadi penghubung taman dan taman permainan. Jejambat MRT Tanah Merah juga akan diubah menjadi koridor pergerakan hijau dan aktif untuk kegunaan awam pada tahun-tahun akan datang.

Kita juga boleh meneliti ruang lain yang kurang digunakan yang boleh diubah menjadi taman bandar, walaupun buat sementara waktu.

Taman Odom di Phnom Penh, Kemboja, merupakan taman bandar awam pop-up sementara yang dibangunkan pada 2020 di atas tanah tempat Menara Odom, pembangunan penggunaan campuran, dijadualkan dibina pada 2023. Taman bandar itu menjadi ruang hijau yang sangat popular di bandar itu sedang pemaju memasarkan dan menjual pembangunan di tapak itu.

Ini boleh dilakukan di Singapura juga, di atas tapak tanah yang belum dibangunkan.

Sedang bandar kita terus berkembang, peranan taman bandar menjadi semakin penting. Ia bukan sekadar tompok kehijauan, tetapi juga bahagian penting dalam persekitaran bandar mampan dan boleh didiami. Cabaran dan peluang terletak pada mencari cara baru dan kreatif untuk menggabungkan lebih banyak taman bandar ke dalam fabrik bandar.

Samuel Chng mengetuai Makmal Psikologi Bandar di Pusat Lee Kuan Yew untuk Bandar Inovatif di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD). Harvey Neo mengetuai Program Kemampanan Alam Sekitar Bandar di pusat yang sama. Beliau juga merupakan editor bersama buku The City Rebooted: Networks, Connectivity And Place Identities In Singapore.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg