Topik diikuti
Pergi ke BHkuAidli Mosbit alu-alukan tenaga penonton, bantu suntik semangat persembahan NDP
Menjelang Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 pada 9 Ogos, penggiat teater, Aidli Mosbit mengimbau kembali bagaimana setiap latihan menjadi semakin bermakna lebih-lebih lagi apabila ribuan penonton memenuhi Stadium Negara.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM) untuk berkongsi perkembangan perjalanannya dalam NDP kali ini, anak seni berusia 52 tahun itu berkata kehadiran penonton semasa persembahan Pendidikan Nasional (NE) dan sesi pratonton telah memberikan mereka suntikan tenaga tambahan.
“Satu perkara yang betul-betul memberikan kami semangat ialah apabila kita buat persembahan NE pertama.
“Apabila ada ramai penonton yang hadir, kami benar-benar dapat merasakan penglibatan dan semangat daripada mereka.
“Daripada NE1 hingga NE2 tenaganya semakin terasa.
“Apa yang kita berikan kepada penonton, mereka turut balas dengan sorakan yang meriah. Itu yang menyeronokkan,” ujarnya, yang juga Pensyarah Kanan di Politeknik Temasek (TP).
Aidli merupakan sebahagian daripada kumpulan Shiok Sistas, kumpulan kuartet yang dibentuk khas untuk siri drama mikro pertama NDP iaitu Heartbeats.
Beliau juga memainkan watak sebagai ibu kepada Juraidah dalam drama mikro tersebut, yang dijayakan oleh penyanyi tempatan, Iman Fandi.
Bersama Aidli, anggota kumpulan Shiok Sistas yang lain terdiri daripada Jacqueline Pereira, Jalyn Han, dan Annetha Ayyavoo.
Mereka akan mempersembahkan lagu Singapore Town – Tapau semasa babak kedua yang diberi nama Go Beyond The Ordinary pada 9 Ogos.
Mengulas lebih lanjut, Aidli berkata persiapan mereka telah bermula seawal Februari, iaitu sebelum penggambaran Heartbeats pada Mac.
Mereka terlebih dahulu menjalani latihan nyanyian, rakaman lagu dan latihan tarian sebagai persiapan bagi drama mikro tersebut.
Daripada studio, latihan kemudian beralih ke Singapore Expo dan akhirnya ke Stadium Negara.
Menurut Aidli, peralihan lokasi turut memerlukan mereka menyesuaikan pergerakan berdasarkan ruang pentas ketika membuat persembahan.
Katanya, ruang yang semakin besar bermakna mereka perlu bergerak lebih pantas untuk sampai ke posisi masing-masing, terutama apabila berada di pentas berbentuk anak panah di Stadium Negara.
“Waktu pertama kali kami berlatih (di Stadium Negara), kami ingatkan berjalan seperti biasa, pergi ke tempat masing-masing tapi tak sempat. Kami betul-betul perlu lari untuk sampai ke posisi.
“Itu yang nampak kami seakan terkedek-kedek berlari,” katanya sambil berseloroh.
Sambil itu, Aidli sempat berseloroh mengenai usia anggota Shiok Sistas yang perlu mengekalkan tenaga tinggi sepanjang persembahan.
“Kami terdiri daripada empat anggota berbeza. Dua orang dah masuk usia 50-an, yang lagi dua pula berusia 60-an. Justeru, kami yang boleh digelar ‘mak cik’ perlu memastikan tenaga persembahan yang tinggi.
“Kini kami sudah ada dalam ‘mood’ persembahan jadi kami perlu bertenaga di hadapan semua penonton,” jelas beliau.
Bagi Aidli, pengalaman melalui pelbagai latihan kali ini turut mengukuhkan lagi rasa bahawa penglibatannya dalam NDP adalah satu bentuk “perkhidmatan negara” dan caranya menunjukkan rasa cinta serta penghargaan kepada Singapura.
“Setiap kali tiba segmen ikrar dan Lagu Kebangsaan, kami akan rasa seakan bulu roma meremang.
“Perasaan itu seperti semua orang yang hadir di stadium mengharapkan kesejahteraan negara,” ujarnya, yang pernah membuat persembahan di pentas NDP pada 2008 dan 2011.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026
