Akademi baru latih penjawat awam kemahiran digital
Satu akademi latihan baru yang dikenali sebagai Institut Pemerintah Digital (IDG) akan ditubuhkan untuk melengkapkan lebih 150,000 penjawat awam dengan kemahiran digital, data dan kecerdasan buatan (AI).
Demikian kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau.
Ketika berucap di Parlimen semasa perbahasan Jawatan Perbekalan (COS) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 2 Mac, beliau menekankan langkah ini penting agar penjawat awam kekal berdaya saing dalam dunia digital.
Dalam satu kenyataan bersama MDDI dan Kolej Perkhidmatan Awam (CSC) yang dikeluarkan sejurus selepas pembentangan Cik Lau, institut baru ini akan mereka bentuk dan menyampaikan kurikulum yang selaras dengan keutamaan digital pemerintah.
Ia akan ditubuhkan melalui kerjasama antara MDDI dengan CSC, tambah kenyataan itu, namun tiada butiran lanjut mengenai tempoh akademi itu akan memulakan operasi.
Di bawah akademi ini, semua pegawai awam diwajibkan melengkapkan modul asas mandatori yang merangkumi keselamatan siber, perlindungan data dan celik AI, antara lain, jelas kenyataan itu.

