Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akaun bank dengan faedah tinggi pilihan utama pekerja muda S’pura bagi pelaburan

Sep 7, 2025 | 3:56 PM
Sebahagian besar pekerja muda Singapura didapati meletakkan dana dalam produk bank bebas risiko seperti akaun dengan faedah tinggi, mencerminkan sikap konservatif mereka dalam hal pengurusan dan pelaburan wang.
Sebahagian besar pekerja muda Singapura didapati meletakkan dana dalam produk bank bebas risiko seperti akaun dengan faedah tinggi, mencerminkan sikap konservatif mereka dalam hal pengurusan dan pelaburan wang. - Foto ST

Kebanyakan belia yang bekerja di Singapura bersikap konservatif dalam hal pengurusan dan pelaburan wang mereka, dengan sebahagian besar daripada mereka meletakkan dana dalam produk bank bebas risiko seperti akaun dengan faedah tinggi.

Sekitar 73 peratus anak muda yang bekerja sepenuh masa didapati mempunyai akaun simpanan bank, menurut dapatan satu tinjauan The Straits Times (ST) yang meninjau sekitar 1,000 orang muda berusia dari 18 hingga 30 tahun.

Dapatan ini mencerminkan tinjauan lain, yang mendapati bahawa ramai pelanggan bank tertarik dengan akaun simpanan yang boleh memberi mereka tambahan antara $100 dengan $400 untuk dibelanjakan setiap bulan, hanya dengan mendepositkan gaji mereka dalam akaun itu atau menggunakan kad kredit bank tersebut.

Faedah bonus bulanan, yang lazimnya diberikan untuk hanya $100,000 pertama dalam akaun sedemikian, merupakan pilihan yang menarik untuk pekerja muda.

Ini kerana mungkin ramai yang masih belum dapat membuat simpanan melebihi jumlah itu, memandangkan mereka baru bekerja untuk beberapa tahun sahaja.

Tinjauan itu, yang dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran Kantar, kelihatan menyangkal takrifan umum bahawa pelabur muda lebih berani terjun ke dalam pelaburan yang menguntungkan dan berisiko tinggi.

Produk alternatif seperti mata wang kripto juga tidak berada di kedudukan tinggi dalam senarai pilihan mereka, menurut tinjauan itu.

Sebaliknya, pilihan pelaburan mereka mungkin mencerminkan portfolio ibu bapa mereka kerana mereka juga memilih untuk meletakkan wang dalam produk biasa seperti deposit tetap, saham tersenarai awam, dana dagangan bursa (ETF) dan bon.

Ramai daripada mereka membuat pilihan berdasarkan reputasi pelaburan mereka dan lebih bersedia melabur wang dalam produk yang mantap seperti emas, bon dan hartanah.

Hampir separuh daripada mereka juga kelihatan lebih mengelak risiko dan tertarik kepada pelaburan yang melindungi modal atau pelaburan yang berkembang secara berterusan dalam tempoh yang panjang, meskipun jika ia bermakna mereka akan mendapat pulangan yang lebih rendah.

Hanya sekitar 12 peratus pelabur muda menggunakan teknologi dalam menguruskan dana mereka, dengan menggunakan perkhidmatan platform penasihat robo dan aplikasi pelaburan mikro.

Seperti pekerja yang lebih berusia, 88 peratus pekerja muda memastikan mereka mempunyai simpanan jika ditimpa penyakit serius atau kemalangan.

Sekitar 63 peratus daripada mereka memiliki insurans hayat dan 40 peratus juga telah mendapatkan polisi kemasukan ke hospital swasta, walaupun kebanyakannya dilindungi oleh insurans kesihatan kumpulan majikan mereka.

Sekitar 37 peratus juga membeli insurans penyakit kritikal supaya mereka akan menerima bayaran sekali gus atau bayaran bulanan jika mereka perlu berehat dari kerja untuk pulih daripada penyakit serius tersebut.

Sesetengah pekerja yang sudah berkahwin juga berfikir ke hadapan dengan mendaftar bagi polisi endowmen untuk anak-anak mereka, serta anuiti untuk persaraan mereka sendiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg