Topik diikuti
Pergi ke BHkuAkaun Whatsapp digodam: $249,000 lesap dalam 1.5 bulan
Akaun Whatsapp digodam: $249,000 lesap dalam 1.5 bulan
Jika anda menerima mesej WhatsApp daripada individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga atau rakan anda, dan kemudian meminta anda memindahkan wang, anda perlu berhati-hati.
Sekurang-kurangnya $249,000 telah lesap dalam tempoh kira-kira satu setengah bulan kepada penipu yang mengambil alih akaun WhatsApp dan menyamar sebagai pemilik akaun untuk meminta pinjaman atau bantuan kewangan, kata polis dalam satu kenyataan pada 21 Oktober.
Terdapat sekurang-kurangnya 128 kes sedemikian sejak September, tambah pihak polis.
Dalam jenis penipuan ini, mangsa lazimnya akan menerima mesej WhatsApp daripada penipu yang menyamar sebagai ahli keluarga, rakan, rakan sejawat atau kenalan mereka.
Penipu berkenaan akan meminta pinjaman wang, atau meminta mangsa memindahkan wang bagi pihak mereka dengan memberi alasan mereka menghadapi kesukaran membuat pemindahan bank, telah mencapai had pemindahan, atau memerlukan bantuan untuk membuat bayaran bagi pihak mereka.
Para mangsa turut melaporkan menerima mesej daripada anak mereka yang meminta pemindahan wang bagi bayaran program kecerdasan buatan (AI) atau program pertukaran pelajar.
Pihak polis menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang permintaan yang melibatkan pemindahan wang, serta mengesahkan permintaan yang mencurigakan secara terus dengan ahli keluarga, rakan, rakan sejawat atau kenalan berkenaan.
“Jangan buat sebarang pemindahan wang sehingga anda mengesahkan bahawa permintaan tersebut adalah sah,” tambah pihak polis.
Mereka juga menyarankan orang ramai supaya mempertingkat keselamatan akaun WhatsApp masing-masing dengan mengaktifkan ciri pengesahan dua langkah (two-step verification) serta memadamkan peranti terhubung yang tidak diperlukan atau tidak dikenali.
Bagi menyekat panggilan penipuan dan menapis mesej mencurigakan, polis menasihatkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi ScamShield.
Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh menghubungi Talian Bantuan ScamShield 24 jam di 1799 atau melayari laman web www.scamshield.gov.sg.
Singapura mengalami kerugian lebih $4 bilion akibat penipuan sejak 2019, dengan sejumlah $410.6 juta lesap dalam insiden berkaitan penipuan sepanjang separuh pertama 2026.
Meskipun jumlah kerugian akibat penipuan pada 2026 mencatatkan penurunan berbanding $500.2 juta bagi tempoh sama pada 2025, pihak polis memberi amaran bahawa penipuan kekal sebagai jenayah utama di Singapura.
Golongan warga emas mencatatkan purata kerugian tertinggi berbanding golongan usia lain, menurut polis.
Mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas membentuk 14.4 peratus daripada keseluruhan mangsa penipuan, dengan purata kerugian sebanyak $42,347 bagi setiap mangsa, berdasarkan statistik penipuan pertengahan tahun 2026 daripada pihak polis.
Kebanyakan mangsa golongan ini terpedaya dengan penipuan penyamaran pegawai pemerintah serta penipuan pelaburan, kata pihak berkuasa.