Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akhbar BH beralih ke format kompak; Mercu tanda baru transformasi bilik berita

Nov 7, 2025 | 8:30 PM
BH, kompak, wajah baru
Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (tiga dari kiri), meninjau akhbar BH berformat kompak bersama wartawan BH. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Akhbar Berita Harian (BH) bakal melangkah ke fasa baru dalam sejarah penerbitannya apabila ia bertukar format daripada lembaran lebar atau broadsheet kepada saiz kompak pada suku pertama 2026.

Mengumumkan demikian di majlis Anugerah Jauhari di Hotel Four Seasons pada 7 November, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata perubahan format cetak tersebut adalah lanjutan daripada transformasi menyeluruh BH yang bermula lebih dua tahun lalu.

Menurut beliau, perubahan itu bukan sekadar dari sudut saiz, tetapi simbol keazaman BH untuk kekal relevan di era digital tanpa mengorbankan misinya.

“Akhbar kami mungkin kecil dari segi saiz tidak lama lagi, tetapi misi kami kekal besar.

“Perubahan ini sebahagian daripada usaha BH untuk memperbaharui dan memodenkan produk kami agar sejajar dengan cara pembaca hari ini mendapatkan berita,” ujar beliau.

Menurut Encik Nazry, format kompak itu dibangunkan berdasarkan hasil tinjauan dan perbincangan kumpulan fokus bersama pembaca dan pihak berkepentingan.

Matlamat utamanya ialah menjadikan akhbar BH lebih mesra pembaca, mudah dibawa dan menarik minat generasi muda yang cenderung membaca di pelbagai platform.

“Dengan beralih ke format kompak, BH bukan sahaja mahu terus memberi khidmat kepada pembaca sedia ada, bahkan juga menambat minat generasi muda.

“Kami mahu menjadikan membaca BH sebagai rutin harian yang menyeronokkan dan relevan,” katanya, dalam majlis yang menyaksikan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, selaku tetamu terhormat.

Dalam majlis itu juga Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan, 46 tahun, telah dinobatkan sebagai Jauhari Berita Harian 2025.

Pengasas bersama kolektif sastera belia Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun, pula dinamakan sebagai penerima Jauhari Harapan atas usahanya memartabatkan seni dan persuratan bahasa Melayu.

Bagi BH pula, edisi baru dalam format kompak akan menampilkan kandungan yang dipertingkat – termasuk analisis berita lebih mendalam, listicle atau artikel berbentuk senarai, ringkasan berita dan pautan pantas ke kandungan digital BH melalui kod QR bagi melancarkan pengalaman pengguna antara cetak dengan digital.

Transformasi besar BH yang bermula pada Jun 2023 telah menyaksikan rombakan pada struktur organisasi bilik berita; penghasilan kandungan cetak dan digital yang baru; serta peningkatan dalam kehadiran media sosial.

Ia turut melibatkan peluasan kepada program mendekati masyarakat dan pembaca khususnya golongan muda.

Encik Nazry menambah BH kini bukan sekadar akhbar, tetapi organisasi media pelbagai wadah.

Antara kandungan baru yang ditawarkan termasuk podcast NoTapis, BHerbual dan Kaki Bola; ruangan gaya hidup yang diperluas seperti Kaki Makan, Kaki Jalan dan Dunia Anak (DNA); serta platform OMGxBH untuk menarik golongan muda.

“Kami mahu menjadi bukan sekadar sumber maklumat, tetapi rakan kongsi kepada masyarakat. Kekuatan BH terletak pada hubungan yang kami bina dengan pembaca,” jelas Encik Nazry.

Beliau menambah bahawa transformasi BH turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila akhbar itu menduduki tempat ketiga bagi kategori Transformasi Bilik Berita Terbaik di Anugerah Media Global INMA 2025.

Pada 5 November lalu, wartawan grafik eksekutif BH, Encik Mohd Samad Afandie, turut memenangi anugerah perak Wan-Ifra bagi Infografik Terbaik.

Menukil tinjauan GfK baru-baru ini oleh SPH yang menunjukkan BH menduduki tempat teratas dalam tahap kepercayaan dan kepuasan daripada khalayak sasarannya – mendahului agensi berita tempatan yang lain – Encik Nazry berkata: “Ini adalah pengesahan kukuh terhadap misi kami sebagai suara yang dipercayai masyarakat Melayu/Islam.’’

BH mula diterbitkan sebagai akhbar berformat lembaran lebar pada 1 Julai 1957.

Walaupun format akhbar akan ditukar, Encik Nazry menegaskan teras dan nilai BH tidak akan berubah.

“Kami kekal komited untuk menyampaikan berita dan kandungan yang tepat, mendalam dan seimbang.

“Matlamat kami tetap sama – untuk menjadi media yang dipercayai dan kredibel, serta terus berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura.”

Penaja utama acara Anugerah Jauhari 2025 ialah OCBC dan penaja lain terdiri daripada MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises dan NETS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg