Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peserta sesi tayangan, dialog BH-ZB raih manfaat bincang mengenai konflik Gaza

Acara ‘Gaza: Dari Lensa Kita’ beri peluang hadirin suara pendapat, berbual secara objektif
Oct 17, 2025 | 7:57 PM
Zhulkarnain Abdul Rahim, Gaza: Dari Lensa Kita, Berita Harian
Semasa berucap di sesi tayangan dan dialog ‘Gaza: Dari Lensa Kita’ di bilik berita Berita Harian (BH) pada 16 Oktober, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (berdiri), berkata sesi dialog harus menyediakan ruang yang berani, bukan sekadar ruang selamat, bagi peserta menyuarakan pendapat dan mengemukakan soalan mereka dengan hormat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi pelajar tahun pertama Politeknik Ngee Ann (NP), Encik Kendrik Phua, menghadiri sesi tayangan dan dialog Gaza: Dari Lensa Kita, bukan sekadar perbincangan tentang konflik yang sedang berlarutan di Gaza.

Bahkan, ia menjadi peringatan buat beliau tentang pentingnya menegakkan undang-undang antarabangsa serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan.

“Antara perkara yang paling meninggalkan kesan kepada saya ialah apabila Encik Zhulkarnain menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa tidak seharusnya dilanggar.

“Saya terfikir, jika kita hanya berdiam diri dan membiarkan negara atau individu tertentu melanggar undang-undang antarabangsa tanpa bersuara, apakah implikasinya?

“Misalnya, sebuah negara mungkin akan terus melakukan lebih banyak tindakan negatif atau tindakan yang boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada pihak lain,” ujar penuntut Diploma dalam Pengajian Cina berusia 18 tahun itu ketika diwawancara Berita Harian (BH).

Beliau merupakan antara 38 hadirin yang menyertai sesi tayangan dan dialog, Gaza: Dari Lensa Kita, yang dianjurkan oleh BH dengan kerjasama akhbar Lianhe Zaobao (ZB) pada 16 Oktober.

Sesi dialog itu menyusuli tayangan video selama 20 minit, Gaza: Dari Lensa Kita, yang menampilkan enam rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang berkongsi pandangan mereka mengenai keadaan Gaza dan kesan terhadap masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, hadir di sesi tersebut selaku tetamu terhormat.

Mengulas lanjut tentang sesi tersebut, Encik Phua mendapati dialog sebegini membolehkannya mendengar pandangan daripada perspektif berbeza.

“Dialog ini membolehkan kita memahami bagaimana orang lain berfikir, dari sudut mana mereka melihat sesuatu isu, serta mengapa mereka berpandangan demikian.

“Inisiatif seperti ini sangat bermanfaat untuk golongan muda dan membantu meluaskan pengetahuan mereka secara keseluruhan,” ujar beliau.

Bagi Encik Ahmad Amsyar Mohd Adom, 24 tahun, nilai sesi tersebut bukan terletak dalam memperoleh pengetahuan baru tentang Gaza.

Sebaliknya, ia dalam mewujudkan ruang untuk perbincangan bermakna.

“(Wadah) ini merupakan tempat untuk kita berbual, bukan untuk berdebat dan bertengkar sepertimana kita kerap lihat dalam ruang komen di media sosial.

“Kami mahukan ruang, atau perbualan yang dipermudah, di mana orang boleh berbual dan mengutarakan perasaan mereka, apa yang mereka tahu tentang sesuatu perkara,” ujar beliau, yang juga pelajar tahun keempat Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Berucap pada sesi tersebut, Encik Zhulkarnain berkata sesi dialog harus menyediakan ruang yang berani, bukan sekadar ruang selamat, di mana peserta dapat menyuarakan pendapat dan mengemukakan soalan mereka dengan hormat.

Menyokong pandangan demikian, Encik Amsyar akur istilah ruang berani lebih sesuai kerana ia mendorong orang untuk berbincang dengan keberanian yang berasaskan pengetahuan dan pemahaman, bukan sekadar emosi semata-mata.

“Cara untuk menggalakkan ruang berani ialah untuk membiasakan perbualan yang bernuansa, yang berlapis dan memahami bahawa isu-isu ini bukan sekadar (bersifat) polar,” tambah beliau.

Salah seorang peserta yang ditemui BH, Cik Mumtaz Abdul Halim, 26 tahun, menyatakan ini merupakan kali pertama beliau menyertai sesi dialog sebegini.

Beliau mendapati ia menyatukan peserta untuk berbual secara objektif dan pragmatik, meskipun topik seperti konflik di Gaza mungkin dianggap rumit untuk diperbualkan bagi sesetengah orang.

“Mungkin ini disebabkan mereka tidak rasa bahawa mereka tahu secukupnya untuk mengambil endah.

“Tetapi selepas menghadiri sesi dialog dan berbual dengan peserta yang lain, ada daripada mereka yang datang dengan minda terbuka.

“Jadi, ia amat bermanfaat untuk saya faham tentang perbezaan pendapat dan juga untuk kami sama-sama mempunyai perbualan yang objektif dan pragmatik tentang isu sebegini,” kata beliau, yang merupakan lulusan Sarjana Undang-Undang (LLM) dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg