Akhbar pelajar Berita Harian (BH), Gen G, aktif dalam mendekati pelajar serta para guru dalam melengkapi mereka dengan kemahiran podcast pada 2025.
Satu pertandingan podcast dalam bahasa Melayu diadakan bagi murid peringkat atasan sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah, yang disertai 28 pasukan dan lebih 100 pelajar daripada 21 sekolah.
Setiap pasukan telah menghasilkan podcast berdasarkan tema, ‘Singapura SG100: Impian Hebat Saya!’, atau ‘Bahasa Kita, Masa Hadapan Kita’.
Pasukan Sekolah Menengah Bukit Batok dan Sekolah Rendah West Spring menjadi juara bagi pertandingan itu.
Mereka menerima trofi dan sijil daripada Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, dalam satu acara majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Auditorium SPH pada 31 Oktober.
Awal daripada itu, para pelajar dan guru juga menyertai bengkel bagi mengetahui selok-belok menulis skrip dan menghasilkan podcast.
Satu majlis menghargai guru juga diadakan pada November, yang disertai lebih 70 guru Bahasa Melayu daripada sekolah rendah dan menengah.
Mereka belajar cara menjadikan pengajaran Bahasa Melayu lebih interaktif melalui aplikasi Canva daripada duta Canva di Singapura, Cik Nurliyana Ahmad.
Selain itu, mereka turut mempelajari daripada guru Bahasa Melayu Sekolah Rendah Wellington, Encik Muhammad Shahzulhari Johari, cara beliau memanfaatkan Gen G di bilik darjah.
Gen G juga mengendalikan beberapa sesi kembara ilmu dan bengkel kewartawanan bagi beberapa pelajar sekolah rendah dan menengah yang mengunjungi bilik berita BH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg