Aktivis Jolovan Wham menghadapi lima tuduhan di bawah Akta Ketenteraman Awam pada 3 Februari.
Warga Singapura berusia 45 tahun itu dituduh mengambil bahagian dalam perhimpunan awam tanpa permit lima kali antara Mac 2022 dengan April 2023.
Menurut kertas tuduhan, Wham didakwa menghadiri perhimpunan menyalakan lilin di sekitar Penjara Changi tiga kali walaupun tiada permit diberikan untuk perhimpunan awam itu.
Perhimpunan menyalakan lilin, atau candlelight vigil, adalah satu perhimpunan atau upacara dengan peserta menyalakan lilin di ruang awam sebagai tanda peringatan, penghormatan atau untuk meningkatkan kesedaran terhadap sesuatu isu.
Ia biasanya diadakan pada waktu malam.
Wham juga didakwa menghadiri perhimpunan menyalakan lilin berhampiran sebuah perhentian bas bertentangan Penjara Wanita Changi pada 29 Mac 2022 dan di sebuah taman permainan berhampiran Mariam Walk pada 27 April 2022.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ng Jun Chong memohon penangguhan kes lapan minggu bagi memberi laluan bagi siasatan diselesaikan, lapor The Straits Times (ST).
DPP Ng berkata setakat ini pengakuan tidak ditawarkan kerana Wham masih disiasat untuk lima kes lain.
Tiada butiran lanjut mengenai kes-kes ini diberikan. Kes Wham ditangguhkan ke 1 April.
Mereka yang disabitkan dengan kesalahan mengambil bahagian dalam perhimpunan awam tanpa permit boleh didenda sehingga $3,000.
Pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga $5,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg