Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Pelaku penting’ dalam sindiket jual akaun bank dijel, denda

Jan 2, 2025 | 7:54 PM
Goh Soon Lee bertindak sebagai orang tengah dengan menyediakan kemudahan perbankan Internet untuk beberapa akaun bank yang dibuka atas nama beberapa pemegang permit kerja warga asing.
Goh Soon Lee bertindak sebagai orang tengah dengan menyediakan kemudahan perbankan Internet untuk beberapa akaun bank yang dibuka atas nama beberapa pemegang permit kerja warga asing. - Foto ST

Seorang “pelaku penting” dalam satu sindiket jenayah yang menjual beberapa akaun bank, dihukum penjara tiga tahun enam bulan dan didenda $3,400 selepas dia menerima, memproses dan menghantar 34 kad ATM kepada orang lain antara Julai dengan Oktober 2023.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Matthew Choo berkata Goh Soon Lee telah bersubahat dengan Oh Zhi Xiang, 28 tahun, untuk menggunakan kad-kad ATM yang dikaitkan dengan akaun bank pemegang permit kerja warga asing – akaun tersebut dibuka oleh majikan mereka tanpa pengetahuan mereka.

Penjenayah kemudian boleh menggunakan akaun bank yang dikaitkan dengan kad ATM itu untuk mengubah keuntungan yang diperoleh secara haram, lapor The Straits Times.

Pada 2 Januari, Goh, 26 tahun, mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menyalahgunakan sistem komputer.

Sebanyak 26 pertuduhan lain dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

DPP Choo berkata pada Julai 2023, Goh ditawarkan peluang pekerjaan untuk bertindak sebagai orang tengah Oh, dengan menyediakan kemudahan perbankan Internet bagi akaun bank.

Dia diberitahu bahawa kemudahan itu akan digunakan untuk “perjudian haram dalam talian”.

Goh, yang dijanjikan antara $100 dengan $200 untuk setiap akaun bank yang diuruskannya, menerima tawaran itu.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa dia akan menerima kad ATM, nombor pengenalan peribadi yang sepadan dan kad SIM prabayar daripada kurier yang diatur oleh Oh.

Kad ATM itu dikaitkan dengan akaun bank di bawah nama pemegang permit kerja yang tidak mengesyaki apa-apa.

DPP Choo berkata: “Majikan mereka kononnya dimaklumkan oleh ejen yang mengendalikan permohonan permit kerja untuk individu itu bahawa mereka telah (meminta) akaun bank dibuka untuk tujuan gaji, sedangkan ini tidak berlaku.”

Butiran mengenai majikan dan ejen itu tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Selepas menerima kad ATM itu, Goh akan menyediakan kemudahan perbankan Internet yang dikaitkan dengannya.

Dia kemudian akan menerima arahan daripada Oh dan menghantar barangan seperti kad ATM kepada pembeli akaun itu, kata DPP Choo.

Antara Julai dengan Oktober 2023, Goh mengendalikan 34 kad ATM, dengan purata 10 kad diproses setiap bulan.

Pada Oktober 2023 misalnya, Goh menghantar barangan yang mengandungi empat kad ATM kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Lim Guo Hui, 31 tahun.

“Lim bekerja sebagai ‘penghantar ATM’ untuk sindiket jenayah, yang menghendakinya mengeluarkan wang daripada akaun bank menggunakan kad ATM yang disediakan dan menyerahkan wang kepada individu tersebut seperti yang diarahkan oleh sindiket jenayah itu,” kata DPP Choo.

Goh ditangkap pada 23 Oktober 2023 dan didakwa di mahkamah pada tahun yang sama.

Ikat jaminnya ditetapkan $15,000 pada 2 Januari dan dia dijangka mula menjalani hukuman pada 17 Februari.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan keputusan kes melibatkan Lim dan Oh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg