Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aktivis lawan hukuman mati disiasat Pejabat Pofma kerana tentang arahan pembetulan

Oct 31, 2024 | 9:47 PM
Aktivis
Aktivis - Foto FAIL BH

Seorang aktivis anti-hukuman mati telah dirujuk ke pejabat yang mentadbirkan undang-undang berita palsu di Singapura untuk disiasat.

Ini selepas beliau tidak mengendahkan arahan untuk menerbitkan notis pembetulan dalam kiriman media sosial mengenai proses perundangan untuk banduan yang dihukum mati.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pada 31 Oktober, Cik Kokila Annamalai memilih untuk tidak mematuhi arahan pembetulan yang dikeluarkan pada 5 Oktober, walaupun telah diingatkan berulang kali.

Beliau, yang berusia 36 tahun, juga tidak bertindak untuk mencabar arahan pembetulan itu di mahkamah, walaupun beliau berhak berbuat demikian jika beliau percaya tidak menerbitkan sebarang kepalsuan, kata MHA.

Kementerian itu juga berkata kumpulan Transformative Justice Collective, yang dianggotai Cik Kokila, dan yang mengeluarkan kenyataan yang sama dengannya, telah mematuhi arahan pembetulan yang dikenakan di bawah Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) itu. 

Pemerintah tidak menjadikan sasaran individu atau pertubuhan yang menyuarakan tentangan terhadap hukuman mati,” kata MHA dalam kenyataan.

“Namun, apabila kenyataan palsu dilakukan berkenaan dasar pemerintah yang menarik perhatian awam, ia adalah penting pembaca diberitahu apa yang mungkin dibaca mereka disifatkan palsu oleh pemerintah.”

Cik Kokila dikenakan arahan pembetulan bagi kenyataan yang diterbitkannya di platform media sosial, Facebook pada 2 Oktober dan menyusuli itu, di X pada hari selanjutnya.

Kenyataan itu berhubung Mohammad Azwan Bohari, 48 tahun yang dihukum mati pada 4 Oktober selepas beliau didapati bersalah pada 2019 kerana memiliki tidak kurang 26.5 gram diamorphine, atau heroin bagi tujuan mengedarnya. 

MHA, pada 5 Oktober berkata Cik Kokila secara palsu mendakwa pemerintah menjadualkan dan menangguh pelaksanaan hukuman mati secara rambang, tanpa mengikuti proses. Beliau juga mendakwa pemerintah tidak menggalas beban undang-undang untuk membuktikan tuduhan mengedar dadah ke atas tertuduh.

Menyangkal dakwaan ini, MHA berkata hukuman mati dilaksanakan hanya selepas banduan menghabiskan semua hak rayuan dan proses memohon belas kasihan.

Dalam kes Azwan, rayuannya ke atas sabit kesalahan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya ditolak Mahkamah Rayuan pada 2019, dan permohonan susulan untuk ditunjukkan belas kasihan ditolak Presiden pada 2020 dan 2022.

Beliau pada awalnya dijadual dihukum mati pada April, tetapi pelaksanaan hukuman ini ditangguh kerana dia terlibat dalam permohonan kepada mahkamah yang sedang diproses pada masa itu, kata MHA.

Pada 1 Oktober, tiga hari sebelum dia digantung, Azwan menyerahkan satu lagi permohonan supaya hukumannya ditangguh.

Permohonan tersebut ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

MHA juga berkata pendakwa sentiasa menanggung beban undang-undang untuk membuktikan kesnya ke atas tertuduh supaya melebihi sebarang keraguan munasabah, walaupun ia bergantung pada anggapan di bawah Akta Salah Guna Dadah.

Inilah yang berlaku dalam perbicaraan Azwan, kata kementerian itu.

Pada 22 Oktober, lebih dua minggu selepas MHA mengarahkan Pejabat Pofma mengeluarkan arahan pembetulan ke atas Cik Kokila, beliau menerbitkan kiriman di Facebook yang menyatakan beliau tidak akan mematuhi arahan itu.

Cik Kokila berkata tiada maklumat palsu dalam kiriman lebih awal dan beliau sekadar menyatakan pandangannya.

Beliau juga berkata MHA telah mengarahkan X dan syarikat pemilik Facebook, Meta, supaya menerbitkan notis pembetulan berhubung kiriman beliau itu.

Dalam responsnya pada 31 Oktober, MHA berkata arahan Pofma itu tidak melarang Cik Kokila daripada berkongsi pandangannya, dan tiada tuntutan supaya teks kiriman asalnya itu dihapuskan.

Sebaliknya, beliau diminta menerbitkan pautan kepada artikel yang menyatakan pendirian pemerintah. Ini supaya pembaca boleh membuat kesimpulan sendiri,” kata MHA.

“Jika benar Cik (Kokila) telah mengemukakan kepalsuan, kredibiliti beliau akan terjejas. Sementara itu, jika Pemerintah mengeluarkan tuduhan tidak berasas, kredibiliti pemerintah akan terjejas. Ini adalah prinsip kebebasan berbicara,” kata kementerian itu

MHA berkata Cik Kokila berhak melemahkan keyakinan terhadap institusi awam, khususnya sistem keadilan jenayah, jika beliau berbuat demikian berdasarkan fakta.

“Namun, apabila beliau berbuat demikian berdasarkan kepalsuan, pemerintah berhak memberikan respons,” katanya.

Mereka yang menerima arahan Pofma boleh memohon kepada menteri yang mengeluarkannya untuk mengubah atau membatalkan arahan itu. Jika menteri tersebut menolak permohonan tersebut, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi.

Cik Kokila memberitahu The Straits Times beliau tidak mengemukakan rayuan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam untuk mengubah arahan Pofma kerana ini memerlukan Cik Kokila mematuhi arahan itu terlebih dahulu dan beliau tidak percaya akan dilayan secara adil.

“Saya kekal percaya pada apa yang saya katakan dalam kiriman saya,’ kata beliau.

Di bawah Pofma, individu yang didapati bersalah kerana tidak mematuhi arahan pembetulan tanpa sebab yang munasabah boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga setahun atau kededuanya.

Sementara itu, individu yang didapati bersalah menyampaikan kenyataan palsu boleh didenda sehingga $50,000, dipenjara sehingga lima tahun atau kededuanya.

Dalam kes berasingan, Cik Kokila dan dua lagi wanita, pada 27 Jun, dikenakan tuduhan kerana didakwa menganjur perarakan untuk menyokong Palestin berhubung konflik Israel-Palestin tanpa permit di luar Istana, iaitu tempat larangan, pada 2 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg