Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) mengeluarkan satu Arahan Pembetulan yang Disasarkan (TCD) kepada Meta Platforms, Inc. and X Corp., ekoran tindakan Kokila Annamalai tidak mematuhi Arahan Pembetulan yang dikenakan ke atasnya pada 5 Oktober.
Kededua platform itu dikehendaki memberi peringatan kepada pengguna yang telah melihat kiriman Facebook Annamalai bahawa ia mengandungi kenyataan palsu.
“Kenyataan palsu ini mengatakan pemerintah menjadualkan dan mengekalkan hukuman mati dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira proses undang-undang yang sewajarnya, dan bahawa pemerintah tidak menanggung beban undang-undang untuk membuktikan pertuduhan pengedaran dadah terhadap individu yang dituduh,” jelas satu kenyataan media Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 11 Oktober.
Ini menyusuli kenyataan yang dibuat oleh kumpulan aktivis Transformatif Justice Collective (TJC) berhubung proses undang-undang bagi banduan yang menunggu hukuman mati dan pendakwaan tuduhan mengedar dadah berkaitan Mohammad Azwan Bohari.
Kesalahan Azwan telah disabitkan dan dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta rotan lima kali, kerana mengedar methamphetamine dan diamorfin, dan menggunakan methamphetamine dan morfin, serta memiliki ganja, derivatif cannabinol dan diamorfin (heroin tulen) pada 2009.
MHA berkata dia ditangkap lagi pada 17 Oktober 2015 kerana mengedar dadah dan menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan telah melalui proses undang-undang sewajarnya.
Selepas perbicaraan, pada 11 Februari 2019, Azwan disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman mati kerana memiliki tidak kurang 26.5g diamorfin bagi untuk tujuan perdagangan.
Dakwaan palsu itu dibuat dalam artikel TJC yang dimuat naik ke laman webnya pada 2 Oktober, dan di akaun Facebook, Instagram, TikTok dan X kumpulan itu pada hari sama.
Annamalai memuat naik dakwaan itu di Facebooknya pada 2 Oktober dan di akaun X pada esoknya, lapor The Straits Times.
Arahan itu juga memerlukan pengguna disediakan dengan pautan ke artikel betul dengan nama “Pembetulan mengenai pernyataan palsu mengenai proses undang-undang untuk banduan yang menunggu hukuman mati dan pendakwaan bagi tuduhan mengedar dadah” di https://www.gov.sg/article/factually051024.
Selain itu, MHA akan merujuk Annamalai kepada pejabat Pofma bagi siasatan berhubung ketidakpatuhan terhadap arahan pembetulan yang telah dikeluarkan ke atasnya pada 5 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg