Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Al-Falah Academy SG gigih terangi hidup penduduk India, Indonesia

Bantu masyarakat terpinggir yang hidup tanpa bekalan elektrik
May 16, 2025 | 5:30 AM
al-falah academy sg, korban, india, indonesia
Pengasas Al-Falah Academy SG (AFASG), Ustaz Muhammad Ferozudeen Al Hafiz (kiri), mengedarkan pek barangan runcit dan daging kepada salah seorang penerima manfaat di Magelang, Indonesia, pada 2024. - Foto AL-FALAH ACADEMY SG (AFASG)

Pergunungan tinggi, laluan yang menyukarkan dan mencabar tidak pernah mematahkan semangat pengasas Al-Falah Academy SG (AFASG) , Ustaz Muhammad Ferozudeen Al-Hafiz, dalam usaha murninya menyantuni masyarakat kurang bernasib baik di kawasan pedalaman Indonesia dan India.

Baginya, cabaran yang dihadapi hanyalah ujian kecil berbanding keperluan besar yang menanti warga miskin yang lain. Misi kemanusiaan beliau ke Magelang, Indonesia, buka mata dan menyentuh hati apabila melihat sendiri kehidupan penduduk yang masih bergelut dengan keperluan asas.

“Indonesia terdiri daripada ribuan pulau dan sangat luas. Ramai yang menyangka negara ini telah menerima pelbagai bentuk bantuan. Namun hakikatnya, masih banyak kampung terpencil yang belum disentuh oleh mana-mana badan kebajikan,” jelas Ustaz Ferozudeen.

Beliau turut berkongsi pengalaman di India, di mana sebahagian penduduk kampung di kawasan pedalaman terpaksa mengembara sejauh dua kilometer semata-mata mendapatkan air bersih. Lebih menyedihkan, ramai yang terpaksa menjalani kehidupan harian tanpa bekalan elektrik. Namun begitu, semangat mereka tetap tidak luntur.

“Apa yang menyentuh hati saya ialah, meskipun hidup serba kekurangan, wajah mereka tetap dihiasi senyuman. Malah, ramai kanak-kanak yang bercita-cita tinggi untuk mendapatkan pendidikan asas,” katanya.

Inilah yang mendorong AFASG memberi tumpuan kepada pembinaan dan sokongan madrasah percuma di kawasan pedalaman. Anak-anak ini tetap bersemangat hadir di madrasah walaupun perlu berjalan jauh dari tempat tinggal mereka. Menyedari keperluan ini, AFASG dengan sokongan para penderma telah membantu membiayai madrasah di kedua-dua negara.

Komitmen AFASG: Ketelusan dan kepercayaan

Sejak penubuhannya, AFASG menekankan ketelusan dalam setiap aspek pengurusan bantuan. Menurut Ustaz Ferozudeen, ramai penderma yang memberikan sokongan secara tetap kerana yakin dengan laporan kemas kini yang disampaikan serta kejujuran menjalankan amanah.

“Kami percaya setiap peserta dan penderma perlu tahu dengan jelas bagaimana ibadah atau sumbangan mereka dilaksanakan. Ketelusan adalah asas kepercayaan,” katanya.

Kepercayaan yang dibina selama bertahun-tahun telah membolehkan AFASG memperluaskan bantuan bukan sahaja ke luar negara, malah di dalam negara. Kini, akademi tersebut giat menyalurkan bantuan makanan serta barangan keperluan kepada masyarakat kurang bernasib baik di Singapura sendiri.

Daya usaha perniagaan bertunjangkan kebajikan

Menariknya, semangat mahu memberi ini turut dilaksanakan menerusi cabang perniagaan yang diusahakan oleh Ustaz Ferozudeen – Premium Butchery SG Meat Shop (PBSG Meat Shop), yang terletak di 11 Dunlop Street, bersebelahan Masjid Abdul Gafoor.

Kedai ini bukan sahaja menyediakan daging halal bermutu pada harga kompetitif, malah telah memperkenalkan perkhidmatan penghantaran percuma ke rumah. Daya usaha ini memudahkan golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli barangan runcit harian.

“Perkhidmatan ini sangat membantu, terutamanya bagi mereka yang tidak mendapat sebarang bentuk bantuan dan sukar untuk keluar membeli barangan asas,” ujarnya.

Korban 2025: Menyantuni masyarakat merentasi sempadan

Menjelang musim ibadah korban tahun ini, AFASG sekali lagi membuka peluang kepada umat Islam untuk menyertai program korban di tempat-tempat strategik yang memerlukan termasuk Indonesia, India dan Australia.

Menariknya, daging korban dari Australia akan disembelih di negara tersebut, dibungkus secara vakum dalam pek seberat 1 kilogram, dan diterbangkan ke Singapura. Peserta korban berpeluang menerima dua pertiga daripada daging korban mereka terus ke rumah, tanpa sebarang caj penghantaran.

“AFASG akan memantau setiap operasi korban dengan teliti bagi memastikan ia dilakukan mengikut syariat dan penuh keberkatan,” jelas Ustaz Ferozudeen.

Peluang menyumbang dan bersama dalam misi kemanusiaan

Dengan gabungan semangat dakwah, keprihatinan dan kecekapan pengurusan, AFASG terus melangkah ke hadapan dalam usaha menyantuni umat – tanpa mengira sempadan, bangsa atau agama. Seperti yang dinyatakan Ustaz Ferozudeen, “Keberkatan datang apabila kita memberi, bukan hanya daripada apa yang lebih, tetapi daripada apa yang kita cintai.”

SEKILAS:

Orang ramai boleh membuat pesanan terus melalui laman web rasmi kedai di www.premiumbutchery.sg.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program-program anjuran AFASG atau menyertai ibadah korban tahun ini, bolehlah melayari laman: linktr.ee/afa.sg

Harga seekor kambing bagi korban di Indonesia ditetapkan pada $160, manakala seekor lembu di India berharga $595. Bagi korban di Australia pula, AFASG menawarkan harga $340 bagi kambing dan $350 bagi kambing biri-biri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg