Seiring semangat persaingan sihat dan kebersamaan dengan masyarakat, pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah sekali lagi mengharumkan nama sekolah mereka dengan meraih kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa, selain terus aktif menyertai program pembangunan diri anjuran sebuah agensi Singapura.
Pada Julai 2025, pelajar rendah madrasah itu mengambil bahagian dalam Cabaran Lionhearter Pertahanan Awam Junior serta Upacara Pelantikan Lionhearter di Balai Bomba Punggol. Acara anjuran Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) itu memberi peluang kepada pelajar sekolah rendah untuk dilatih sebagai Duta Persediaan Kecemasan, atau EP Ambassadors.
Mereka dilatih untuk menguasai kemahiran asas seperti memberi pertolongan cemas (first aid), bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) dan keselamatan kebakaran. Pelajar itu kemudian diuji melalui pertandingan yang mengukur tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan mereka dalam menghadapi situasi kecemasan.
Pelajar Madrasah Al-Ma’arif menduduki tempat kedua dalam cabaran itu.
Selain mengasah kecekapan, program itu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan persediaan menghadapi sembarang kemungkinan.
Selain itu, Madrasah Al-Ma’arif melakar sejarah sendiri apabila pelajarnya muncul sebagai juara dunia dalam Pertandingan Drama Sains Antarabangsa (International Science Drama Competition (ISDC)) 2025 bagi sebuah kategori baru, Short Clips (Klip Pendek). Pertandingan berprestij anjuran Pusat Sains Singapura itu berlangsung pada 3 Ogos dengan tema ‘Energy Matters!’, sejajar dengan pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjadikan 2025 sebagai Tahun Antarabangsa bagi Sains dan Teknologi Kuantum, serta ulang tahun ke-100 perkembangan mekanik kuantum.
Kategori Short Clips, yang diperkenalkan pada 2025, memberi cabaran baru kepada peserta untuk menghasilkan video berdurasi seminit yang sesuai bagi platform media sosial. Kaedah ini membolehkan mesej saintifik disampaikan secara ringkas, padat dan berkesan.
Pasukan Madrasah Al-Ma’arif menewaskan peserta daripada institusi tempatan lain, termasuk Politeknik Nanyang, untuk menduduki tempat pertama pada peringkat Singapura dan terpilih mewakili negara ini pada peringkat antarabangsa. Di pentas dunia, mereka sekali lagi membuktikan keupayaan mereka dengan menewaskan pesaing dari Indonesia, Bolivia dan China untuk muncul juara dunia kategori tersebut.
Pengurus Pentadbiran Madrasah Al-Ma’arif, Cik Mukhlisah Johan, berkata madrasah itu bersyukur dan berasa bangga akan pencapaian itu.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar kami bukan berupaya bersaing pada peringkat nasional sahaja, malah berupaya mengharumkan nama Singapura di pentas antarabangsa. Lebih penting, mereka menunjukkan keberanian, kreativiti dan kemahiran komunikasi, di samping mengaitkan sains dengan kehidupan harian,” kata beliau.
Cik Mukhlisah menambah bahawa kemenangan itu sejajar dengan matlamat Madrasah Al-Ma’arif melahirkan pelajar perempuan serba boleh dan cemerlang.
“Bagi kami, pencapaian ini bukan sekadar mengenai kemenangan. Ia menggambarkan usaha berterusan madrasah ini mengembangkan potensi pelajar secara holistik, bukan dalam bidang akademik sahaja, bahkan dalam aspek seni, inovasi dan keyakinan diri. Inilah yang menjadikan mereka generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujar beliau lagi.
Keputusan penuh kategori ‘Short Clips’ ISDC 2025 adalah seperti berikut:
Tempat pertama – Everywomen, Singapura (Madrasah Al-Ma’arif)
Tempat kedua – Team R.A. Stories, Indonesia
Tempat ketiga – Guayaba’s Bolivia, Bolivia
Anugerah Merit – Muzium Sains dan Teknologi Zhumadian, China
Anugerah Paling Kreatif dan Menarik – Guayaba’s Bolivia, Bolivia
Pencapaian itu melebihi kejayaan Madrasah Al-Ma’arif pada 2019 apabila mereka menduduki tempat ketiga peringkat Singapura dalam kategori Drama Terbuka melalui persembahan pentas bertajuk Alice in Wonder-brain.
ISDC bertujuan menghubungkan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dengan seni persembahan agar pembelajaran sains lebih menarik, mudah difahami dan relevan kepada masyarakat.
Sementara itu, dua acara penting Madrasah Al-Ma’arif bakal menyusul. Pertama adalah Majlis Bacaan Maulid bersama Alumni dan Asatizah, pada 4 September. Kedua, Festival Pembelajaran Ma’arif (Ma’arif Learning Festival) pada 20 September. Kedua-dua acara itu dijangka terus menyerlahkan potensi pelajar Madrasah Al-Ma’arif serta memperkukuh hubungan erat madrasah itu dengan masyarakat.
Sumbangan boleh disampaikan melalui:
1. PayNow UEN: S36MM0001G
2. Perbankan Internet: OCBC 507018232001
3. Pungutan dari rumah (minimum $100): Dengan WhatsApp ke talian 9182-4766 (nyatakan nama, alamat rumah dan jumlah sumbangan)
4. Datang ke pejabat Madrasah Al-Ma’arif: Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 4 petang)
5. Hantarkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah’ dan pos ke alamat No 3 Lorong 39 Geylang, Singapura 387865
6. Melalui laman www.infaqmadrasahalmaarif.com


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg