Sempena Ramadan yang penuh keberkatan, Madrasah Al-Ma’arif menawarkan sampul Raya eksklusif bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri. Sampul Raya yang dijual ini bukan sahaja bertujuan bagi kegunaan peribadi, bahkan sebagai satu daya usaha bagi menggalakkan sumbangan dan infak kepada madrasah.
Menurut pihak madrasah, satu paket sampul Raya yang mengandungi 10 keping dijual pada harga $6, manakala tiga paket ditawarkan pada harga istimewa $15.
Pengurus Pentadbiran Madrasah Al-Ma’arif, Cik Mukhlisah Johan, menekankan kepentingan sokongan masyarakat dalam usaha memperkukuh peranan institusi pendidikan Islam.
“Pada bulan Ramadan yang mulia ini, kami amat mengharapkan sumbangan ikhlas daripada masyarakat. Kami menerima pelbagai bentuk derma, termasuk zakat harta, wakaf, serta sumbangan umum.
“Selain itu, kami turut menjual sampul Raya dengan pelbagai corak menarik yang boleh didapati di kaunter madrasah kami. Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi pelaburan akhirat dan membawa keberkatan kepada kita semua,” katanya.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada para penyumbang yang selama ini terus memberikan sokongan kepada madrasah, sekali gus membantu dalam pembangunan pendidikan Islam.
Orang ramai yang ingin mendapatkan sampul Raya atau menyalurkan sumbangan boleh berkunjung ke Madrasah Al-Ma’arif atau menghubungi pihak pentadbiran bagi maklumat lanjut.
Menurut Cik Mukhlisah, aras dua bangunan madrasah baru sahaja selesai diubah elok. Ini termasuk bilik guru, bilik makanan (pantry), bilik pejabat dan bilik untuk keperluan lain. Program peningkatan ini sudah pun menelan belanja sehingga $1 juta.
“Hingga kini, kami terus mendidik anak-anak muda Muslimah bagi meneruskan legasi pengasas kami, Almarhum Syeikh Muhd Fadhlullah Suhaimi. Bagi memastikan kesinambungan usaha dalam melahirkan generasi Muslimah yang berkaliber tinggi, kami memohon sokongan daripada seluruh umat Islam di Singapura.
“Sumbangan kewangan amat diperlukan bagi membantu operasi harian madrasah, termasuk menanggung kos ubah suai serta penyelenggaraan bangunan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Pihak madrasah juga perlu membayar kos bulanan seperti pembiayaan bil utiliti dan gaji tenaga pengajar. Baru-baru ini, kami juga telah selesai mengubahsuai bangunan kami di tingkat dua. Ini termasuk pejabat guru, pejabat ketua jabatan (HOD), dan pejabat pentadbiran dengan kos hampir $1 juta,” jelas Cik Mukhlisah.
Salah satu pusat pendidikan unggul di negara ini, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, asalnya didirikan pada 1936 di alamat 19 Ipoh Lane. Namun, pada 2006 ia telah dibina semula di Lorong 39, Geylang. Bangunan madrasah baru ini kini berusia hampir 19 tahun. Jadi, secara keseluruhan, madrasah ini telah berdiri teguh selama 89 tahun (1936-2025).
Sumbangan boleh disalurkan dalam beberapa cara:
1. Berikan sumbangan melalui PayNow ke UEN: S36MM0001G.
2. Perbankan Internet: OCBC 507018232001.
3. Pungutan dari rumah (minimum $100): WhatsApp ke talian 9182-4766 (nyatakan nama, alamat dan jumlah sumbangan yang ingin diberikan).
4. Datang terus ke pejabat Madrasah Al-Ma’arif, Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 4 petang).
5. Hantarkan cek atas nama ‘Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah’ dan poskan ke alamat No 3 Lorong 39 Geylang, Singapura 387865.
6. Sila ke laman www.infaqmadrasahalmaarif.com
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg