Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlat AI baharu SGH bantu kesan pendarahan otak dalam 6 minit
Alat AI baharu SGH bantu kesan pendarahan otak dalam 6 minit
Satu alat kecerdasan buatan (AI) baharu yang dibangunkan bersama oleh Hospital Besar Singapura (SGH) dapat mengesan pendarahan otak daripada imbasan dalam sekitar enam minit, berbanding 30 minit hingga sejam yang diperlukan oleh pakar radiologi hospital itu bagi kes kecemasan.
Model AI yang dinamakan iScreen itu menganalisis imbasan Tomografi Berkomputer (CT) dan mengesan titik putih yang menandakan pendarahan dalam otak, serta lokasi pendarahan yang mungkin memberi kesan lebih teruk kepada pesakit.
Kes-kes akut mungkin memerlukan pembedahan untuk menghentikan pendarahan.
“Pengurangan masa pelaporan sebenarnya boleh menjadi penentu antara hidup dan mati, atau antara pemulihan sepenuhnya dan kecacatan berkekalan,” kata perunding kanan Dr Robert Chen, ketua jabatan neuroradiologi di SGH dan Institut Neurosains Kebangsaan (NNI).
Sebaik model AI itu mengesan keputusan positif, satu mesej pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada kedua-dua pakar neuroradiologi dan doktor yang bertugas, kata perunding kanan, Dr Sarat Kumar Sanamandra, yang juga dari jabatan yang sama.
Ini akan menggesa pakar neuroradiologi untuk mengutamakan semakan keputusan AI bagi pesakit tersebut, mendahului semua imbasan lain dalam senarai giliran.
Bagi kes yang dinilai sebagai pesakit yang mengalami pendarahan, pakar radiologi akan melaporkan kes itu kepada doktor yang bertugas.
Data SGH berkaitan 3,475 imbasan CT otak pada November dan Disember 2025 menunjukkan bahawa sensitiviti iScreen adalah 93.1 peratus.
Ini bermakna 6.9 peratus daripada kes yang dikesan positif untuk pendarahan sebenarnya adalah positif palsu.
Data hospital itu turut menunjukkan bahawa peratusan kes pendarahan yang mengambil masa lebih sejam untuk dilaporkan menurun daripada 14.6 peratus kepada 5 peratus dengan penggunaan iScreen.
Dr Sarat menegaskan bahawa penggunaan AI bertujuan untuk menyokong pakar radiologi, bukan menggantikan mereka. SGH mempunyai sekitar 100 pakar radiologi, dengan 21 daripadanya merupakan pakar neuroradiologi.
Hospital itu mengendalikan ribuan imbasan setiap hari, dengan kira-kira 50 daripadanya merupakan imbasan CT kepala, dan sekitar 10 peratus daripadanya menunjukkan tanda pendarahan.
Tiada had pada bilangan imbasan yang boleh diproses secara serentak oleh iScreen.
Pendarahan dalam otak, juga dikenali sebagai pendarahan intrakranial, boleh berlaku pada mereka yang mengalami strok, atau saluran darah di otak pecah (ruptured aneurysm) dan tumor.
Kecederaan kepala akibat trauma juga boleh menyebabkan pendarahan otak, terutamanya bagi warga emas atau mereka yang mengambil ubat pencair darah tertentu.
Pesakit sebegini boleh mengalami pendarahan dalam otak, meskipun dengan pelanggaran fizikal yang kecil seperti kepala terlanggar pintu atau tergelincir dan terjatuh.
Syarikat pemula tempatan, Iota MedTech, memulakan kerjasamanya dengan NNI dan SGH sejak 2019 untuk membangunkan model AI tersebut.
Seorang perunding di jabatan pembedahan saraf NNI, Dr Justin Ker, berkata model itu bermula sejak zaman latihannya ketika beliau meneliti cara untuk memperluas sumber berharga yang terlibat dalam prosedur pembedahan otak bagi membantu lebih ramai pesakit.
“Campur tangan tepat pada masanya bagi kes-kes ini akan menentukan berapa lama pesakit itu akan berada dalam unit rawatan rapi, di hospital, dan bila beliau dapat kembali bekerja,” tambah Dr Ker.
Ketua pegawai eksekutif Iota MedTech, Encik Benjamin Hong, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa syarikat itu akan terus bekerjasama dengan SGH untuk membangunkan kegunaan klinikal lain bagi model AI tersebut.
Syarikat itu juga kini sedang berbincang dengan hospital awam lain untuk menggunakan iScreen.