RIYADH: Hospital Pakar dan Pusat Penyelidikan King Faisal (KFSHRC) di Riyadh telah mencapai kejayaan besar dalam bidang perubatan selepas melakukan pembedahan tumor intrakranial robotik pertama di dunia.
Kejayaan Arab Saudi itu menandakan mercu tanda peringkat sejagat dalam kejituan dan pemulihan pembedahan saraf.
Prosedur selama sejam itu dijalankan ke atas seorang lelaki berusia 68 tahun yang mengalami sakit kepala serius dan hilang tumpuan.
Pakar bedah mengeluarkan ketumbuhan otak sepanjang 4.5 sentimeter dengan menggunakan lengan robot dan pesakit dibenarkan keluar dalam keadaan sedar sepenuhnya dalam masa 24 jam.
Ia hampir empat kali lebih cepat daripada tempoh pemulihan konvensional untuk pembedahan serupa.
Ketua Pegawai Eksekutif KFSHRC, Dr Majid Alfayyadh, berkata kejayaan itu menyerlahkan iltizam hospitalnya terhadap inovasi dan peranan dalam membentuk masa depan perubatan peringkat sejagat.
“Pencapaian ini sejajar dengan visi kami untuk menyepadukan teknologi canggih dengan penjagaan berpusatkan pesakit untuk mentakrifkan semula penyaluran penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, perunding tumor tengkorak, Dr Homoud Aldahash, yang mengetuai pembedahan itu, berkata sistem robotik itu membolehkan ketepatan dan keselamatan yang sukar dicapai sebelum ini dalam mengemudi struktur neurovaskular kritikal.
“Pelepasan pesakit pada hari yang sama dalam keadaan sedar sepenuhnya dan tanpa kerumitan merupakan penanda aras baru untuk inovasi pembedahan saraf,” tambahnya.
Prosedur itu menggunakan lengan robotik yang dipandu oleh sistem optik tiga dimensi (3D) dan teknologi mengemudi berpandukan imej untuk memastikan penyingkiran tumor secara tepat sambil melindungi bahagian otak yang penting.
Ia sekali gus dapat meminimumkan trauma akibat pembedahan dan meningkatkan hasil pemulihan.
Kejayaan itu dibina berdasarkan rekod perintis pembedahan robotik KFSHRC, termasuk pemindahan jantung dan hati robotik pertama di dunia, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam perubatan robotik.
KFSHRC menduduki tempat pertama di Timur Tengah dan Afrika Utara serta tempat ke-15 di peringkat sejagat sebagai antara 250 pusat perubatan akademik terbaik dunia pada 2025.
Ia juga telah disenaraikan oleh Newsweek sebagai antara Hospital Terbaik Dunia dan Hospital Pintar Terbaik Dunia. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg