Semasa hayatnya, Allahyarhamha Cikgu Sarinah Haniff merupakan tonggak utama bagi suaminya, Allahyarham Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad.
Ke mana sahaja suaminya berada, sama ada dalam majlis ilmu, pertemuan sastera mahupun acara kebahasaan, biasanya Allahyarhamha sentiasa berada di sisi suami tercinta.
Demikian pandangan beberapa orang yang hadir di Masjid Pusara Aman, ketika menziarahi jenazah Allahyarhamha dari sekitar 10 pagi pada 20 Oktober.
Sekitar 50 orang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir, termasuk Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Yatiman Yusof; mantan wartawan kanan Berita Harian (BH), Encik Mohd Raman Daud; serta anak saudara Allahyarham Dr Ariff, Encik Maarof Salleh, yang juga merupakan mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Semasa ditemui di Masjid Pusara Aman, Encik Yatiman berkata Allahyarhamha merupakan seorang isteri yang setia dan sentiasa mendampingi suaminya ke mana sahaja.
“Allahyarhamha ini tidak lekang, seperti isi dengan kuku bersama Allahyarham Cikgu Ariff.
“Jadi ke mana Cikgu Ariff pergi, Cikgu Sarinah akan menemani beliau, selalu medampinginya seperti pendamping yang kekal.
“Anak-anaknya pun tidak rapat sebegitu, tetapi Allahyarhamha ini pendampingnya,” kongsi Encik Yatiman yang kini berusia 79 tahun.
Menurut Encik Yatiman lagi, Allahyarhamha merupakan seorang yang rendah hati dan tidak pernah menonjolkan diri depan khalayak ramai.
Katanya, Allahyarhamha sebaliknya lebih selesa berperanan di belakang tabir, memberi sokongan kepada suaminya sementara Allahyarham Cikgu Ariff tampil ke hadapan memberi ucapan dalam majlis-majlis kesusasteraan atau kebahasaan.
“Beliau tidak pernah ke hadapan untuk memberi ucapan dalam majlis-majlis tertentu, kecuali dalam kumpulan ibu-ibu dan guru-guru. Beliau menjadi seorang ibu yang mengetuai dan mengasah mereka.
“Jadi, beliau dianggap sebagai rakan, pendamping, penggalak kepada Allahyarham Cikgu Ariff,” kongsi Encik Yatiman.
Menurut sijil kematian yang dilihat wartawan, Allahyarhamha, 94 tahun, menghembuskan nafas terakhir akibat kolangitis, sejenis keradangan pada saluran hempedu, di Kampus Kesihatan Woodlands (WHC) pada 19 Oktober, 4.20 petang.
Allahyarhamha meninggalkan empat anak, enam cucu dan enam cicit.
Dalam hantaran Facebook beliau pada 20 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut mengucapkan takziah dan mengenang jasa Allahyarhamha sebagai tonggak kepada Allahyarham Cikgu Ariff.
“Semasa hayatnya, Allahyarhamha merupakan tonggak yang menyokong perjuangan dan sumbangan besar Cikgu Ariff kepada pengembangan bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat, Insya-Allah,” kata Dr Faishal.
Allahyarham Dr Ariff, seorang pendeta bahasa dan budaya yang dikenali sebagai MAS atau dengan panggilan mesra, Cikgu Ariff, meninggal dunia pada Mac 2016.
Sementara itu, Encik Mohd Raman pula berkata rumah Allahyarhamha bersama suaminya di Nemesu Avenue dekat Upper Thomson Rd, sentiasa terbuka kepada tetamu.
Pasangan itu juga mengekalkan prinsip tegas dalam mendidik anak-anak dan Allahyarhamha membantu suaminya menangani perkara-perkara masyarakat secara tersusun, kata Encik Mohd Raman.
“Allahyarham Cikgu Ariff jarang bawa masalah tempat kerja atau hal persatuan pulang ke rumah. Namun, kadangkala ada orang yang datang mengadu dan isteri beliau akan mendengar dan kadangkala menasihati suaminya, misalnya, agar tidak terlalu diambil hati.
“Jadi, Allahyarhamha ibarat penasihat juga,” kongsi Encik Mohd Raman.
Ketika ditemui BH, anak ketiga Allahyarhamha, Cik Shahrulbahriah Muhammad Ariff, 63 tahun, berkata:
“Di sebalik setiap lelaki yang kuat, ada seorang wanita yang hebat.”
Seorang tokoh sastera dan budayawan, Allahyarham Dr Ariff merupakan pengasas Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50) bersama sekumpulan penulis Melayu.
Beliau juga menerima banyak anugerah, termasuk Pingat Budaya bagi Kesusasteraan pada 1987 dan Pingat Bakti Setia pada 1989.
Jenazah Allahyarhamha telah disembahyangkan di Masjid Pusara Aman dan selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 12 tengah hari pada 20 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg