Pengguna digesa supaya berhati-hati apabila membeli produk bayi daripada platform e-dagang selepas beberapa barangan yang disenaraikan didapati tidak selamat.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2024, sebanyak 15 daripada 23 sampel produk yang dibeli daripada wadah dalam talian Shopee dan Lazada didapati tidak selamat selepas pemeriksaan dilakukan, kata Enterprise Singapore (ESG) dalam satu kenyataan pada 26 September. .
Produk-produk itu termasuk buaian (baby bouncer), serta permainan dengan bahagian mudah terpisah, yang boleh menyebabkan bayi tercekik.
Penjual e-dagang terlibat telah pun dihubungi dan mengeluarkan produk-produk tersebut daripada senarai mereka.
Pembeli produk yang terjejas dinasihatkan supaya berhenti menggunakannya, tambah ESG.
Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) menyaksikan purata tahunan sebanyak 46 kejadian yang melibatkan kanak-kanak menelan mainan yang ada bahagian kecil dalam tempoh dua tahun.
Dalam kes-kes yang teruk, ada yang menyebabkan usus tersekat atau kematian.
Lebih 10 kes kecederaan yang timbul akibat penggunaan alat berjalan bagi bayi dan buaian juga dilaporkan oleh hospital tersebut setiap tahun.
Pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan barangan yang dibeli dalam talian adalah selamat, kerana tidak dapat memeriksa produk secara fizikal.
Mereka dinasihatkan membeli produk jika penjual mempunyai reputasi baik dan menganggap produk tersebut selamat selepas mengetahui had umur atau arahan keselamatan.
Menurut ESG, pengguna turut dinasihatkan supaya:
1. Membeli dari kedai atau jenama yang terkenal.
2. Menyemak senarai dalam talian dan label produk untuk arahan umur dan keselamatan.
3. Meneliti kedua-dua reviu positif dan negatif terhadap produk daripada pembeli lain untuk menilai kualiti dan keselamatan produk tersebut.
4. Hubungi penjual untuk mendapatkan maklumat lanjut jika produk yang disenaraikan menerangkan ciri-ciri, fungsi, dan arahan keselamatan dengan jelas.
5. Memeriksa produk yang diterima untuk sebarang bahagian yang patah atau tidak selamat sebelum ia digunakan.
6. Perhatikan anak ketika mereka menggunakan atau bermain dengan produk tersebut.
Sesiapa yang tidak mematuhi arahan menghentikan penjualan produk yang tidak selamat boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg