Salah satu cara masyarakat dapat maju dari segi ekonomi dan menyumbang secara meluas adalah dengan mengenal pasti dan mengambil bahagian dalam sektor yang pesat berkembang, yang melakar ekonomi masa hadapan.
Ini sekali gus dapat meningkatkan peluang kestabilan bagi jangka panjang, jelas Pengarah Eksekutif AMP Singapore, Encik Mohksin Rashid, yang menyifatkan sektor tersebut sebagai industri teknologi tinggi berpotensi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan kepada karyawan yang menghadiri siri perbualan Kopi With Sustainability yang dianjurkan AMP Singapore buat julung-julung kalinya di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat pada 22 Februari.
Siri tersebut tertumpu pada pemerkasaan karyawan Islam untuk meneroka industri teknologi tinggi berpotensi dan menyumbang kepada perubahan masyarakat yang bermakna.
Encik Mohksin berkata komitmen pemerintah terhadap kemampanan dan penyelesaian tenaga bersih menjadikan bidang tumpuan ini satu kuasa ekonomi yang menawarkan pelbagai peluang inovasi, pertumbuhan perniagaan dan pembangunan kerjaya.
Ini susulan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Beliau mengumumkan bahawa sebahagian Belanjawan diperuntukkan bagi tujuan kemampanan dan huraian tenaga bersih – $5 bilion ditokok bagi Dana Tenaga Masa Depan dan lagi $5 bilion diperuntukkan di bawah Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir.
Pelaburan besar ini, jelas beliau, memberi isyarat bidang kemampanan kian memainkan peranan sebagai kuasa ekonomi.
“Tidak seperti industri tradisional, kemampanan bukan sahaja industri teknologi tinggi berpotensi, ia juga industri pemulih. Ia membolehkan kita membangunkan kerjaya yang bermanfaat dari segi kewangan sambil menyumbang secara positif kepada masyarakat dan bumi,” ujar beliau.
Beliau akur bahawa karyawan hari ini menempuhi landskap ekonomi yang pesat berubah dan industri seperti tenaga boleh diperbaharui “diunjurkan untuk berkembang secara eksponen sepanjang dekad seterusnya”.
Ini sekali gus membuka ruang bagi kerjaya bergaji tinggi dan menjangkau masa hadapan, tambahnya.
Encik Mohksin berkata: “Bagi karyawan Islam, memasuki atau turut serta dalam industri sedemikian bukan hanya berkenaan kejayaan peribadi, ia adalah mengenai mobiliti ekonomi, keselamatan kewangan dan memastikan kita menyumbang kepada kesejahteraan alam kita.
“Ia adalah bagi memastikan kita bukan sahaja peserta dalam ekonomi, tetapi pemimpin dalam mengorak masa hadapan kita.”
Salah seorang panelis, Cik Liu Weiting, berkata kemampanan berkaitan “penciptaan masa hadapan yang berdaya tahan, sihat dan makmur” ke arah kesaksamaan untuk semua. Perunding kemampanan bebas itu menambah para karyawan, khususnya yang lebih muda, seharusnya menguasai disiplin masing-masing untuk membina kepakaran tersendiri.
“Asas ini membantu mereka membangunkan lensa terhadap kemampanan, mengenal pasti jurang dan ketidakcekapan yang mewujudkan peluang untuk inovasi, penyelesaian mampan dan kepimpinan dalam ekonomi hijau,” katanya.
Panelis lain adalah Pengerusi Eksekutif Enercon Asia, Encik Azhar Othman; wakil belia Singapura bagi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29), Encik Ismail Weiliang dan calon Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Universiti Nasional Singapura (NUS) bagi Penyelesaian Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi, Cik Shakura Bashir.
Seorang peserta, Cik Hazirah Ghazali, berkata adalah penting untuk menyelaraskan kerjaya dengan membuat perubahan terhadap persekitaran yang positif.
Ini kerana penolong pengurus pemasaran produk berusia 31 tahun itu menambah ia bukan sahaja memperteguhkan hala tujuan, tetapi ia juga akan memberi impak yang berkekalan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg