Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPPMS: Peniaga perlu atasi cabaran manfaatkan sokongan pemerintah

Feb 21, 2025 | 3:33 PM
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dalam satu kenyataan pada 18 Februari, menyatakan bantuan pemerintah dapat menyokong perniagaan dalam menangani kos yang semakin tinggi, meningkatkan operasi dan juga keupayaan tenaga kerja.
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dalam satu kenyataan pada 18 Februari, menyatakan bantuan pemerintah dapat menyokong perniagaan dalam menangani kos yang semakin tinggi, meningkatkan operasi dan juga keupayaan tenaga kerja. - Foto fail

Bantuan segera dan usaha jangka panjang yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2025 untuk memupuk pertumbuhan dan transformasi perniagaan akan membantu perusahaan tempatan, kata Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

DPPMS, dalam satu kenyataan pada 18 Februari, menyatakan bantuan pemerintah dapat menyokong perniagaan dalam menangani kos yang semakin tinggi, meningkatkan operasi dan juga keupayaan tenaga kerja.

Namun, cabarannya adalah dalam memanfaatkan sokongan yang telah diberikan, ujar pakar strategi logistik, Encik Adil Ashroff.

“Sebagai mantan ketua pegawai operasi (COO) kumpulan bagi tiga perniagaan kecil dan sederhana (SME), cabarannya kini adalah pelaksanaan – sejauh mana perniagaan dapat memanfaatkan inisiatif itu untuk memacu impak sebenar dengan berkesan,” kongsinya.

“Bantuan dan skim hanya berkesan jika ia mudah diakses dan dilaksanakan.

Oleh itu, memastikan syarikat, terutamanya SME, dapat memanfaatkan sepenuhnya akan menjadi penyelesaian sebenar.

“Mungkin Pusat SME di DPPMS boleh mengatur bengkel atau sesi pertemuan bersama anggotanya.”

Langkah seperti rebat cukai pendapatan korporat dan sokongan kewangan untuk syarikat yang tidak mencatat keuntungan akan memberikan kelegaan segera kepada perniagaan yang terjejas oleh peningkatan kos sewa dan kos tenaga kerja.

Dalam pada itu, DPPMS berkata Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) yang dipertingkatkan akan memastikan perniagaan dapat mengekalkan dan memberi ganjaran yang adil kepada pekerja mereka sambil menguruskan tekanan gaji.

Pemerintah akan menaikkan tahap pembiayaan bersama bagi kenaikan gaji daripada 30 peratus pada 2025 kepada 40 peratus, dan daripada 15 peratus pada 2026 kepada 20 peratus.

Selain kelegaan segera, Belanjawan 2025 juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan pertumbuhan dan transformasi perniagaan dalam jangka panjang.

Tokokan sebanyak $3 bilion kepada Dana Produktiviti Nasional dan pelancaran Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan akan menggalakkan perniagaan untuk memanfaatkan penyelesaian berasaskan digital dan kecerdasan buatan (AI), membantu perniagaan kekal bersaing dalam pasaran global yang berkembang pesat.

Dana Pertumbuhan Kredit Swasta sebanyak $1 bilion juga akan menyediakan pilihan pembiayaan penting untuk perusahaan yang berkembang pesat, sekali gus membolehkan perniagaan tempatan mengembangkan skala operasi mereka, kata DPPMS.

Menyokong langkah tersebut, Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkongsi:

“Langkah kewangan ini memberikan kelegaan yang sangat diperlukan untuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana, menyokong kemampanan perniagaan dalam jangka panjang.

“Dengan pelepasan cukai yang disasarkan, sokongan gaji dan pelaburan dalam AI serta transformasi digital, perusahaan tempatan dapat memperkukuh operasi mereka, mengharungi cabaran ekonomi dan kekal berdaya saing dalam pasaran global yang berkembang pesat.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg