Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AMP: Sokongan terhadap nasib warga Palestin harus disalur melalui cara sah, aman

Jul 15, 2024 | 9:11 PM
Rasa empati terhadap nasib warga Palestin seharusnya disalurkan melalui cara yang sah dan aman, jelas AMP Singapura dalam satu kenyataan pada 15 Julai susulan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) yang dikenakan terhadap dua warga Singapura.
Rasa empati terhadap nasib warga Palestin seharusnya disalurkan melalui cara yang sah dan aman, jelas AMP Singapura dalam satu kenyataan pada 15 Julai susulan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) yang dikenakan terhadap dua warga Singapura. - Foto AMP SINGAPURA

Di sebalik situasi genting yang melanda Gaza dek konflik Israel-Hamas, adalah penting rasa empati terhadap nasib warga Palestin disalurkan melalui cara yang sah dan aman.

Demikian dinyatakan AMP Singapura dalam satu kenyataan media pada 15 Julai susulan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) dikenakan terhadap dua warga Singapura.

Dalam satu kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 15 Julai, seorang pelajar Menengah Tiga berusia 14 tahun menjadi individu termuda dikenakan RO – yang membataskan pergerakan seseorang dan akses kepada Internet – di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).

Pelajar itu, yang namanya tidak disiarkan, dikenakan tindakan tersebut pada Jun setelah dia didapati terpengaruh oleh fahaman radikal, menurut ISD.

Seorang lagi adalah seorang wanita, An’nadya An’nahari, 33 tahun, dikenakan RO pada Julai.

Jabatan itu menjelaskan mereka secara berasingan menjadi radikal secara sendiri melalui wadah dalam talian berhubung konflik Israel-Hamas yang sedang berlarutan.

Oleh demikian, AMP menggesa agar masyarakat menyokong nasib yang melanda warga Palestin melalui saluran seperti sumbangan derma kepada pertubuhan kemanusiaan yang diiktiraf dan kegiatan lain yang sah di sisi undang-undang.

“Walaupun AMP Singapura memahami dan mengakui empati mendalam yang dirasakan masyarakat terhadap nasib yang melanda warga Palestin, adalah penting untuk sokongan ini disalurkan melalui cara yang sah dan aman,” kata AMP.

Bagi golongan Islam, doa bagi mereka yang memerlukan, termasuk rakyat Palestin, juga memadai, tambah kenyataan itu.

Di samping itu, sebagai Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), AMP turut memberi penekanan terhadap “peranan penting yang dimainkan anggota keluarga dalam memastikan keselamatan mereka yang tersayang”.

“Keluarga merupakan tunjang bagi masyarakat yang kukuh dan berdaya tahan. Komunikasi terbuka membenarkan anggota keluarga untuk mengutarakan sebarang kebimbangan atau ketidakpuasan seseorang anak, sekali gus membantu mereka mendapatkan wadah sihat bagi meluahkan emosi,” katanya.

AMP juga menambah ia menghargai campur tangan awal oleh pihak berkuasa, yang mengetengahkan kepentingan terhadap “langkah proaktif dalam memastikan keselamatan masyarakat”.

“Walaupun AMP Singapura memahami dan mengakui empati mendalam yang dirasakan masyarakat terhadap nasib yang melanda warga Palestin, adalah penting untuk sokongan ini disalurkan melalui cara yang sah dan aman.”
Kenyataan AMP Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg