Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar 14 tahun, wanita jadi radikal sendiri dikenakan Arahan Sekatan

Shanmugam: Tindakan diambil bukan kerana sokong Palestin tetapi disebabkan sokong pengganasan
Jul 15, 2024 | 6:30 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat untuk “cuba dan memperdalam usaha jangkauan” bagi menangani fahaman radikal belia.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat untuk “cuba dan memperdalam usaha jangkauan” bagi menangani fahaman radikal belia. - Foto ST

Seorang pelajar Menengah 3 berusia 14 tahun menjadi individu termuda dikenakan Arahan Sekatan (RO) – yang membataskan pergerakan seseorang dan akses kepada Internet – di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).

Pelajar itu, yang namanya tidak disiarkan, salah seorang daripada dua individu yang dikenakan tindakan tersebut setelah mereka didapati terpengaruh oleh fahaman radikal, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan pada 15 Julai.

Seorang lagi adalah seorang wanita, An’nadya An’nahari, 33 tahun, yang dikenakan RO pada Julai.

Jabatan itu menjelaskan mereka secara berasingan menjadi radikal secara sendiri melalui wadah dalam talian berhubung konflik Israel-Hamas yang sedang berlarutan.

Menurut ISD, RO dikeluarkan ke atas pelajar itu pada Jun setelah dia menanam hasrat bertempur di bawah Tentera Bendera Hitam – seperti yang diguna pakai oleh kumpulan pengganasan ISIS – dan melakukan serangan di Singapura.

Sebelum ini individu termuda dikenakan tindakan di bawah ISA ialah seorang remaja lelaki warga Singapura berusia 15 tahun.

Dia dikenakan Perintah Tahanan (DO) pada Disember 2022 kerana berfahaman radikal, di samping menyokong kumpulan pengganasan Al-Qaeda dan ISIS.

Mengenai An’nadya, ISD mengatakan dia penyokong tegar Axis of Resistance (AOR), iaitu rangkaian ekstremis dan pengganas, yang termasuk kumpulan politik dan separa tentera Hizbollah di Lebanon dan Briged Al-Qassam (AQB), iaitu sayap tentera kumpulan Hamas di Jaluran Gaza.

Bekas pengurus di sebuah lembaga berkanun itu turut menyokong penggunaan kekerasan terhadap warga Israel dan bangsa Yahudi.

Dia merupakan penjawat awam kedua dikenakan tindakan di bawah ISA selepas Mohamed Khairul Riduan Mohamed Sarip, yang dikenakan DO pada November 2022.

Mohamed Khairul merancang pergi ke Gaza untuk melibatkan diri dalam konflik di sana dengan menyertai Hamas dan AQB. Dia masih berada dalam tahanan, tambah ISD.

Dalam satu sidang media di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 15 Julai, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K.Shanmugam, berkata tindakan diambil ke atas kedua-dua individu itu bukan kerana sokongan mereka kepada Palestin.

Sebaliknya, tindakan diambil kerana sokongan mereka kepada pengganasan.

“Ramai daripada kita bersimpati dengan nasib yang melanda Palestin. Saya bersimpati dengan nasib yang melanda Palestin.

“Mereka sepatutnya mempunyai negara sendiri dan tidak melalui penderitaan seperti itu… dan kita menunjukkan sokongan kita dalam pelbagai cara.

“Tetapi tindakan diambil ke atas kedua-dua individu itu kerana sokongan mereka terhadap keganasan bersenjata,” ujarnya.

Beliau akur trend golongan lebih muda terpengaruh oleh fahaman radikal secara global. Di Singapura sahaja, 13 daripada 40 warga Singapura yang dikenakan tindakan di bawah ISA sejak 2015 terdiri daripada golongan berusia 20 tahun ke bawah.

Justeru, ISD akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat untuk “cuba dan memperdalam usaha jangkauan” bagi menangani fahaman radikal belia.

Mengenai keputusan mengenakan RO, Encik Shanmugam berkata ISD boleh memutuskan dan menyarankan kepada Menteri sama ada mengenakan DO atau RO.

Kes sedemikian dinilai secara individu dan “perintah yang dikenakan ditentukur dengan cara yang sesuai dengan penilaian ancaman”, kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg