Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas baru berumur lima tahun, namun jadualnya padat dengan program pengayaan.

Kanak-kanak di Tadika 1 itu mengikuti kelas agama, mengaji, bahasa Cina, fonik, matematik dan renang.

Ibunya, Cik Dina Mariyati, membelanjakan sekitar $860 sebulan bagi kelas pengayaan untuk anak tunggalnya itu.

Ibu empat anak, Cik Mursalina Mohd Saim, pula memasukkan anak-anaknya ke kelas renang, seni, bahasa Arab, bola sepak dan membaca.

Secara keseluruhan, beliau membelanjakan sekitar $1,000 sebulan bagi kelas pengayaan untuk anak-anaknya yang berumur 13, 12, 10 dan enam tahun itu.

Seorang daripada anak lelakinya kini bermain dalam kejohanan bola sepak belia peringkat kebangsaan.

Seorang lagi ibu, Cik Hafizah Awang, juga membelanjakan sekitar $1,000 sebulan untuk kelas pengayaan tiga anaknya yang berumur 10, tujuh dan dua tahun.

Beliau memasukkan anak-anaknya ke kelas pengayaan sejak mereka sekecil tiga bulan.

Antara program pengayaan yang anak-anaknya pernah sertai ialah kelas renang, piano, muay thai, seni, bola jaring, taranum Al-Quran, tarian balet, pengucapan awam dan gimnastik.

Bagi ketiga-tiga keluarga ini, ibu bapa memasukkan anak-anak ke dalam program pengayaan antaranya untuk mendedahkan mereka kepada kegiatan berbeza, membantu mereka mengenali minat, mengisi masa mereka dengan mempelajari sebanyak mungkin kemahiran, melengkapi mereka dengan asas baik sebelum memasuki sekolah rendah, dan meraih kemahiran hidup penting.

Ibu bapa itu juga merancang memasukkan anak-anak mereka ke dalam lebih banyak kelas pengayaan, namun menegaskan pemilihan kelas berdasarkan minat anak-anak itu sendiri, dan bukan atas kehendak atau desakan ibu bapa.

Peningkatan pelaburan dalam aktiviti pengayaan

Apabila ditugaskan mengupas topik kelas pengayaan bagi laporan khas ini, wartawan mendapati tidak sukar mencari keluarga Melayu/Islam yang memasukkan anak-anak mereka ke dalam program sedemikian.

Contoh keluarga di atas yang membelanjakan ratusan dolar untuk kelas pengayaan anak-anak mereka ini sejajar dengan dapatan kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) ke atas keluarga yang mempunyai anak di sekolah rendah tempatan pada 2026.

Kajian yang diterbitkan pada September itu mendapati ibu bapa membelanjakan purata $260 sebulan untuk program pengayaan anak-anak mereka.

Ini adalah satu peningkatan berbanding $48 sebulan pada 2016. Angka pada 2016 telah diselaraskan dengan kadar inflasi.

Kajian IPS itu juga mendapati tujuh dalam 10 responden berkata mereka akan membelanjakan lebih banyak bagi kelas tuisyen dan kegiatan pengayaan.

Sekitar 88.9 peratus responden mengaitkan aktiviti pengayaan dengan membangunkan kemahiran di luar bilik darjah.

Kira-kira 31.8 peratus responden pula menggunakan pengayaan untuk mempersiapkan anak mereka bagi Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA).

Kajian itu juga mendapati keluarga yang tinggal di rumah privet membelanjakan lebih banyak wang bagi kelas tambahan di luar sekolah seperti tuisyen dan pengayaan.

Cik Mursalina Mohd Saim memasukkan anaknya, Nasr ‘Irfan, enam tahun, ke dalam kelas pengayaan seperti bola sepak.
Cik Mursalina Mohd Saim memasukkan anaknya, Nasr ‘Irfan, enam tahun, ke dalam kelas pengayaan seperti bola sepak. - Foto MURSALINA MOHD SAIM

Manfaat program pengayaan

Menurut ahli psikologi klinikal di Annabelle Psychology, Dr Annabelle Chow, walaupun sekolah sudah menyediakan pelbagai peluang bermanfaat, kelas pengayaan dapat memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka minat dan mengenal pasti kekuatan diri di luar persekitaran akademik.

Bagi kanak-kanak yang lebih kecil, mencuba pelbagai jenis aktiviti memberi mereka pengalaman meneroka perkara yang menarik perhatian mereka.

Lama-kelamaan, pengalaman ini dapat membantu kanak-kanak mengenali minat dan identiti mereka, yang ibu bapa kemudian boleh sokong dan pupuk.

Selain itu, setiap kegiatan mencabar dan mengembangkan keupayaan kanak-kanak dalam cara berbeza, kata Dr Chow.

Misalnya, permainan catur mengasah kemahiran merancang, menyelesaikan masalah dan berfikir secara fleksibel. Kegiatan seperti memanah dan menunggang kuda pula melatih koordinasi fizikal, daya tumpuan serta disiplin diri.

Bagi kanak-kanak yang lebih besar, aktiviti pengayaan yang benar-benar diminati boleh menjadi cara untuk mereka berehat, meluahkan diri dan membina keyakinan terhadap kebolehan sendiri di luar persekitaran sekolah.

Aspirasi, keresahan ibu bapa

Berkongsi pemerhatiannya tentang mengapa ibu bapa kian melabur dalam kelas pengayaan untuk anak-anak mereka, Profesor Madya Dr Intan Azura Mokhtar, berkata ia disebabkan oleh gabungan beberapa faktor dan bukannya satu sebab sahaja.

Salah satu daripadanya ialah laluan pendidikan yang semakin jelas dan maklumat mengenai peluang yang mudah diperoleh dan dibandingkan boleh menimbulkan tanggapan bahawa anak-anak perlu terus melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran, sama ada dalam bidang akademik mahupun bukan akademik, agar kekal berdaya saing.

Pada masa sama, ramai ibu bapa sebenarnya sedang mencari cara untuk menyokong pembelajaran, keyakinan diri dan perkembangan anak-anak melangkaui apa yang dapat ditawarkan oleh pendidikan formal semata-mata.

Kelas pengayaan kini juga tidak lagi terhad kepada bimbingan akademik, dan semakin ramai ibu bapa berminat membangunkan kecekapan seperti komunikasi, kreativiti, literasi digital, penyelesaian masalah serta kemahiran sosial dan emosi, kata Dr Intan.

Selain itu, dengan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengautomasikan tugasan rutin dan berulang, kemahiran yang semakin diperlukan pada masa ini ialah kemahiran dan nilai kemanusiaan.

“Antaranya termasuk keupayaan berinteraksi dengan orang lain, memahami nuansa dalam perhubungan, bekerjasama, memimpin, berfikir secara kritis serta membuat pertimbangan berlandaskan etika. Ciri-ciri ini merupakan aspek penting yang masih sukar digantikan oleh AI,” kata Dr Intan.

“Justeru, anak-anak perlu diberi peluang untuk berinteraksi dan belajar bersama orang lain bagi membina kemahiran tersebut, dan bukan hanya bergantung pada pembelajaran dalam talian atau latihan akademik seperti menjawab soalan kertas peperiksaan tahun-tahun lalu,” tambahnya, yang juga Naib Provos Bersekutu untuk Pembelajaran Melibatkan Masyarakat di Institut Teknologi Singapura (SIT).

Pengurus Pusat Sains Tingkah Laku Gunaan di Politeknik Temasek, Dr Gabrielle Lai, berkata kebimbangan bahawa anak-anak mungkin ketinggalan berbanding rakan sebaya dan terlepas peluang juga boleh mengukuhkan tanggapan ibu bapa bahawa mereka perlu mendaftarkan anak-anak dalam lebih banyak aktiviti.

“Pengaruh rakan sebaya dan perbandingan sosial juga boleh menyumbang kepada trend ini,” ujarnya.

Walaupun memasukkan anaknya, Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas, lima tahun, ke dalam enam kelas pengayaan termasuk kelas bahasa Cina, Cik Dina Mariyati memastikan jadual si kecil itu tidak dipenuhi kelas setiap hari.
Walaupun memasukkan anaknya, Dhefin Alfarellza Masagoes Abbas, lima tahun, ke dalam enam kelas pengayaan termasuk kelas bahasa Cina, Cik Dina Mariyati memastikan jadual si kecil itu tidak dipenuhi kelas setiap hari. - Foto ihsan DINA MARIYATI

Pemilihan program

Dalam memilih program pengayaan, timbalan pengarah, unit pembangunan penyelidikan dan pusat jagaan pelajar, PPIS, Cik Sabrena Abdullah, menggalak ibu bapa agar mengambil kira minat, kekuatan dan keperluan pembelajaran individu anak-anak mereka, dan tidak hanya mengikut kegiatan yang popular atau yang disertai oleh keluarga lain.

“Aktiviti pengayaan seharusnya memupuk sifat ingin tahu dan keseronokan anak-anak dalam menimba ilmu, bukannya hanya memberikan tumpuan kepada pencapaian atau kelayakan yang boleh dimanfaatkan pada masa hadapan,” ujarnya.

Dr Lai menasihatkan ibu bapa agar beralih daripada bertanya: “Kelas pengayaan manakah yang dapat memberikan kelebihan kepada anak saya?” kepada “Apakah pengalaman yang dapat membantu anak saya berkembang, mengenal pasti kekuatan diri dan memupuk minat serta kecintaan terhadap pembelajaran?”.

“Ibu bapa boleh mempertimbangkan aktiviti yang dapat membantu anak-anak memupuk minat terhadap pembelajaran, belajar menghadapi kegagalan dan cabaran, berdikari, bekerjasama dengan orang lain serta berani mencuba perkara baharu. Semua ini merupakan kemahiran asas kehidupan yang akan memberi manfaat kepada anak-anak apabila mereka meningkat dewasa,” kata Dr Lai.

Dr Intan juga menggalak ibu bapa bermula dengan mengenal pasti keperluan perkembangan khusus yang ingin dipenuhi melalui kelas pengayaan tertentu.

“Adakah tujuannya untuk mengatasi kelemahan dalam pembelajaran, memupuk minat yang mendalam, membina keyakinan diri, mengembangkan kemahiran sosial atau memberi pendedahan kepada pengalaman baharu? Mempunyai tujuan yang jelas dapat membantu ibu bapa membuat keputusan tanpa terlalu dipengaruhi oleh perbandingan dengan keluarga lain atau perasaan takut ketinggalan,” ujarnya.

Cik Sabrena turut menyebut tentang pentingnya untuk ibu bapa melibatkan anak-anak dalam membuat keputusan tentang program pengayaan serta memberi mereka peluang untuk meneroka pelbagai aktiviti.

“Ibu bapa boleh memerhatikan reaksi dan respons anak-anak terhadap pengalaman tersebut, di samping bersikap terbuka untuk menyesuaikan pilihan aktiviti apabila minat dan keperluan mereka berubah mengikut perkembangan usia,” tambahnya.

Jadual terlalu padat?

Dr Chow berkata tiada jumlah kelas pengayaan yang boleh dianggap terlalu banyak untuk setiap kanak-kanak.

Sebaliknya apa yang lebih penting ialah kesesuaian antara diri kanak-kanak, aktiviti yang disertai serta aspek-aspek lain dalam kehidupan seharian mereka.

“Kanak-kanak yang benar-benar meminati permainan catur, misalnya, mungkin berasa seronok menghadiri kelas beberapa kali seminggu. Bagi mereka, penyertaan dalam aktiviti tersebut bukanlah sesuatu yang dirasakan sebagai satu kewajipan, sebaliknya sesuatu yang dinanti-nantikan,” kata Dr Chow.

“Namun, jadual yang sama mungkin meletihkan kanak-kanak lain, khususnya jika mereka kurang berminat terhadap aktiviti berkenaan atau sudah berdepan dengan pelbagai tuntutan di sekolah mahupun di rumah,” tambahnya.

Masalah juga boleh timbul apabila aktiviti pengayaan digunakan semata-mata untuk memastikan setiap jam diisi dengan kegiatan yang dianggap produktif, atau dijadikan pengganti kepada masa berkualiti bersama keluarga, kata Dr Chow.

Keadaan ini mungkin berlaku, misalnya, dalam keluarga yang kedua-dua ibu bapanya bekerja dalam tempoh yang panjang.

“Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga memerlukan masa untuk berehat tanpa perlu sentiasa berusaha mencapai sesuatu, meningkatkan prestasi atau dinilai berdasarkan kebolehan mereka,” ujar Dr Chow.

“Jadual yang terlalu padat boleh mengurangkan masa untuk berehat, bermain secara bebas dan meluangkan masa bersama keluarga. Akibatnya, anak-anak mempunyai ruang yang terhad untuk memulihkan tenaga atau menentukan sendiri bagaimana mereka ingin mengisi masa lapang,” tambahnya.

Cik Hafizah Awang memasukkan anaknya, Haifa Nafisah Muhammad Hazwan, tujuh tahun, ke dalam kelas piano.
Cik Hafizah Awang memasukkan anaknya, Haifa Nafisah Muhammad Hazwan, tujuh tahun, ke dalam kelas piano. - Foto HAFIZAH AWANG

Perluas peluang, bukan jurang

Menurut Cik Sabrena, setiap kanak-kanak seharusnya diberi peluang untuk meneroka minat, mengembangkan kebolehan dan merealisasikan potensi diri tanpa mengira kedudukan kewangan keluarga masing-masing.

Namun, bagi kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, kos program pengayaan boleh menjadi penghalang untuk menyertai kegiatan yang dapat menyokong pembelajaran dan perkembangan diri.

“Justeru, di Pusat Jagaan Pelajar PPIS, kami bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat, penderma dan pihak berkepentingan lain untuk memperluas akses kepada aktiviti pengayaan dan pengalaman yang menyokong perkembangan kanak-kanak, yang jika tidak, mungkin sukar diperoleh,” kata Cik Sabrena.

Dr Lai pula berkata menyokong perkembangan yang saksama tidak bermakna lebih banyak kelas pengayaan perlu diberikan subsidi.

Sebaliknya, tumpuan harus diberi kepada usaha memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada pelbagai pengalaman yang bermakna, yang dapat membantu mereka meneroka minat, mengembangkan keupayaan serta membina keyakinan diri.

Di peringkat masyarakat, kemudahan seperti taman permainan yang selamat, ruang rekreasi dan peluang untuk berinteraksi secara sosial di kawasan kejiranan perlu disediakan bagi memastikan kanak-kanak mempunyai ruang bermain dan bergaul.

Inisiatif sedemikian dapat membantu mengurangkan jurang dari segi pengalaman perkembangan dalam kalangan kanak-kanak, di samping menggalakkan interaksi antara mereka daripada latar belakang sosioekonomi yang berbeza.

Di peringkat masyarakat yang lebih luas pula, akses kepada peluang yang mampu dibiayai dan bersifat inklusif boleh diperkukuh melalui kegiatan kokurikulum (CCA) di sekolah, program kemasyarakatan, perpustakaan awam, kemudahan sukan serta kerjasama dengan penyedia program pengayaan.

“Melalui pendekatan ini, kanak-kanak dapat meneroka bidang sukan, seni, membaca dan aktiviti sosial tanpa memerlukan pelaburan kewangan yang besar,” kata Dr Lai.

“Sekolah dan pertubuhan masyarakat juga boleh bekerjasama dengan penyedia program pengayaan untuk menawarkan aktiviti yang kurang mudah diakses, seperti sukan lawan pedang, pengaturcaraan dan muzik,” tambahnya.

Dr Lai berkata ibu bapa juga perlu mengakui nilai perkembangan yang diperoleh melalui permainan bebas tanpa aturan khusus atau unstructured play, yang kadang kala disalah anggap sebagai masa yang tidak produktif, khususnya dalam persekitaran yang terlalu menitikberatkan pencapaian seperti di Singapura.

“Hakikatnya, permainan bebas bukanlah suatu kegiatan yang membuang masa. Sebaliknya, ia menyediakan peluang penting kepada kanak-kanak untuk mengembangkan keupayaan kognitif, sosial dan emosi,” kata Dr Lai.