Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Anak istimewa’ gigih dalami ilmu celik kewangan dan digital

May 21, 2024 | 4:31 PM
Encik Muhammad Sayfullah Mohamad Sahrin menghidapi palsi serebrum quadriplegic dan isu pertuturan sejak lahir. Beliau kini seorang pereka digital bebas dan bangga dengan hasil karya yang digantung (kanan) di dinding rumahnya. Bersama beliau ialah ibunya, Cik Siti Fadillah Mohamed Noor.
Encik Muhammad Sayfullah Mohamad Sahrin menghidapi palsi serebrum quadriplegic dan isu pertuturan sejak lahir. Beliau kini seorang pereka digital bebas dan bangga dengan hasil karya yang digantung (kanan) di dinding rumahnya. Bersama beliau ialah ibunya, Cik Siti Fadillah Mohamed Noor. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dengan senyuman lebar terukir di wajah sambil berbaring di atas katil, Encik Muhammad Sayfullah Mohamad Sahrin berkongsi harapan untuk membuka kafe berteraskan teknologi bagi menyokong golongan kurang upaya yang senasib dengannya, sekali gus mengorak langkah ke arah kehidupan lebih berdikari.

Anak sulung dalam keluarga tiga beradik berusia 21 tahun itu menghidapi palsi serebrum quadriplegic dan isu pertuturan sejak lahir.

Keadaan ini membuatnya tidak dapat mengawal pergerakan anggota badan dengan berkesan.

Mentelah beliau perlu memanfaatkan penggunaan kereta sorong peribadi untuk bergerak, di samping menggunakan aplikasi pada peranti iPad bagi memudahkan komunikasi.

Lantaran itu, beliau masih bergantung pada ibunya, Cik Siti Fadillah Mohamed Noor, dan adik-beradiknya bagi kegiatan harian.

Berkongsi dengan Berita Harian ketika ditemui di kediamannya di Eunos baru-baru ini, Encik Sayfullah berkata:

“Saya nak jual apple crumble (sejenis pastri mengandungi epal), kopi dan banyak lagi di kafe.”

Tetapi sebelum dapat melakukan sedemikian, beliau akur perlu mempersiapkan diri terutama dari segi ilmu kewangan.

Berbekalkan semangat ingin memperkasa diri demi mencapai cita-cita tersebut, beliau dan ibunya menyertai bengkel celik kewangan yang dikelola DBS Foundation dan SG Enable pada November 2023.

Beliau merupakan antara peserta awal yang menyertai bengkel perintis itu – satu inisiatif hasil perkongsian strategik antara kededua pertubuhan tersebut.

Di bawah perkongsian itu, DBS Foundation telah menyumbang $1 juta kepada inisiatif bagi memperkasa golongan kurang upaya dalam kemahiran celik kewangan dan digital, yang dibangunkan secara bersama oleh SG Enable, jelas DBS dalam satu kenyataan media pada November 2023.

Cik Fadillah berkata: “Kemahiran kewangan ini penting, lebih-lebih lagi bagi anak istimewa kerana ia sebahagian daripada langkah ke arah mempersiapkan mereka menjadi lebih berdikari.

“Saya dan Sayfullah raih pelbagai manfaat (menerusi bengkel itu) kerana antara aspek yang diterapkan termasuk mengenali denominasi wang dan membezakan harga barangan, antara lain.”

Lebih daripada itu, ia turut memperhalusi kemahiran membuat keputusan bagi anak sulungnya itu supaya Encik Sayfullah lebih peka dan bijak membuat pilihan ketika membeli atau menilai barangan.

Mentelah lagi Encik Sayfullah kini telah tamat persekolahan dan menjadi pereka digital secara bebas, justeru bab pengurusan wang semakin penting kerana permintaan kerja yang ada kalanya tidak menentu, tambah beliau.

Berkongsi cabaran membesarkan anak istimewa, Cik Fadillah berkata ia sememangnya bukanlah mudah kerana ia memerlukan seluruh keringat beliau dan suaminya, serta pengorbanan mental, fizikal, kewangan dan masa.

Ini di samping memberi tumpuan kepada dua anaknya yang lain – masing-masing berusia 19 tahun dan 11 tahun – yang turut terlibat sama menyokong pembangunan Encik Sayfullah.

Bahkan, beliau telah berhenti daripada pekerjaan sepenuh masa sekitar 2008 selepas menceburi sektor penerbangan selama 12 tahun, semata-mata untuk tumpu kepada penjagaan anak-anak beliau, khususnya Encik Sayfullah, katanya.

Cik Fadillah menjelaskan beliau meletakkan matlamat lima tahun untuk anaknya itu agar mereka sama-sama dapat berusaha ke arahnya.

Cik Fadillah berkata: “Misalnya bermula pada 2013, Sayfullah belajar guna iPad untuk berkomunikasi melalui aplikasi Touch Chat.

“Pada 2017, beliau belajar cara menghasilkan karya seni digital, dan 2022 pula, tumpuannya adalah kerjaya sebagai pereka digital bebas.

“Pada masa hadapan... sekiranya saya tiada lagi di dunia dan Sayfullah harus berdikari, beliau sedikit sebanyak tahu dan dapat meneruskan (kehidupan).”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg