Misi mencari seorang anak kapal yang hilang di perairan Singapura sedang giat dijalankan.
Dalam satu kenyataan, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) telah dimaklumkan mengenai insiden itu pada 3.30 pagi pada 15 Mac.
MRCC dikendalikan oleh MPA.
Individu yang hilang itu berada di atas kapal dengan bendera Liberia, Utopia, lapor The Straits Times.
Kapal daripada MPA, pengawal pantai polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura telah dikerah untuk mencari anak kapal yang hilang, kata MPA.
Siaran keselamatan pelayaran telah dikeluarkan oleh MPA serta permintaan bagi kapal supaya mengawasi dan melaporkan kepada MRCC jika terlihat individu berkenaan.
Menurut laman pengesanan kapal marin, marinetraffic.com, Utopia ialah pengangkut pukal yang kini berlabuh di Pelabuhan Timur Singapura, di perairan selatan Taman East Coast.
Pengangkut pukal adalah sejenis kapal dagang yang mengangkut sejumlah besar kargo pukal yang tidak dibungkus, seperti bijih logam, arang batu, bijirin atau garam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg