Seorang anak kapal Singapura yang telah hilang sejak Jun, apabila beliau jatuh daripada kapal, telah “dianggap meninggal dunia” oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat, kata kakak anak kapal itu di Facebook pada Jumaat.
Encik Muhammad Furqan Mohamed Rashid, 25 tahun, telah jatuh daripada kapal yang sedang belayar di Selat Santa Barbara dekat California di Amerika Syarikat pada 20 Jun.
Kakaknya, Cik Nur Afifah Mohamed Rashid berkata di Facebook bahawa keluarganya masih menantikan laporan rasmi Pengawal Pantai AS.
“Kami berharap laporan itu akan diberikan kepada kami dengan segera supaya ia dapat memberi keluarga kami jawapan yang kami sedang cari dan harap-harap lebih penjelasan tentang apa mungkin telah terjadi,” tambahnya.
Encik Furqan sedang menghadiri kursus untuk menjadi pegawai dek junior, menurut rakannya, Encik Muhammad Fariz, dalam sebuah pos Facebook sebelum itu.
Pengawal Pantai AS berkata dalam satu kenyataan pada 20 Jun bahawa ia sedang “mencari dengan aktif” seseorang yang jatuh daripada kapal pengangkut pukal 23 kilometer dari pantai Point Conception, California, setelah ia dimaklumkan tentangnya kira-kira 5 pagi waktu tempatan.
Menurut Los Angeles Daily News, Pengawal Pantai AS membatalkan pencarian aktif menerusi udara dan laut untuk anak kapal yang hilang itu pada petang 20 Jun, setelah hampir 15 jam.
Kedua-dua laporan tidak menamakan Encik Furqan.
Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) Singapura mengesahkan pada Jun bahawa Pengawal Pantai AS diaktifkan untuk membantu dalam usaha pencarian tetapi tidak dapat menemui Encik Furqan.
Dalam pos Facebook pada Jumaat, Cik Afifah mengucapkan terima kasih kepada pengikut media sosialnya atas doa mereka, serta mereka yang telah membantu keluarganya sepanjang tempoh ini.
Ia tempoh sukar buat keluarga mereka tetapi doa orang ramai telah memberi mereka kekuatan untuk meneruskan kehidupan, katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masjid dan para jemaah yang mendirikan solat jenazah ghaib bagi adiknya, Encik Furqan pada solat Jumaat minggu sebelumnya.
“Terima kasih juga kepada mereka yang memberi sedekah atau melakukan kebaikan atas namanya. Mohon agar (anda) terus mendoakannya dan semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman (righteous), insyaAllah,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg