Usia bukan halangan bagi Cik Nurhadaina Ariffin untuk mencipta nama di persada muzik antarabangsa.
Apakan tidak, pada usia 25 tahun, Cik Nurhadaina kini seorang penulis lirik dan komposer bagi kumpulan K-pop dan J-pop.
Dalam tempoh lima tahun beliau berkecimpung dalam industri muzik, Cik Nurhadaina, yang lebih mesra dengan panggilan Daina, telah mencipta sebanyak 19 lagu bagi kumpulan K-pop dan J-pop yang agak terkenal.
Antaranya termasuk kumpulan K-pop seperti ITZY dan J-pop seperti MiSaMo.
Bermula dengan penampilannya di bawah sebuah label muzik berpangkalan di Canada, beliau kini menjadi antara bakat muda yang berjaya menembusi pasaran muzik Korea Selatan.
Beliau bekerjasama sebanyak tiga kali dengan sebuah syarikat hiburan terbesar di Korea Selatan, JYP Entertainment, yang telah melahirkan nama-nama besar seperti TWICE dan ITZY, karyanya kini tidak lagi asing di negara tersebut.
Pencapaian terbarunya turut mendapat perhatian apabila pada 7 Oktober lalu, beliau melancarkan lagu ciptaannya bagi kumpulan K-pop, ITZY, berjudul Rock & Roll yang telah meraih sebanyak 5.9 juta tontonan di Youtube.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg