Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Boyband’ Alpha kukuhkan pengaruh, raih sambutan hangat dengan lagu ‘P Ramlee Saloma’

Bakal ke Korea Selatan bagi jalani latihan intensif pada November
Oct 31, 2025 | 5:30 AM
Alpha, Boyband, Celebfest
Kumpulan Alpha yang dianggotai oleh (atas, kiri) Daniel Sher, Afiq Sky, Araff, Rizal Rasid, (bawah, kiri) Ray-D, Ariel Fesol dan Izat Ibrahim berjaya mendapat perhatian pendengar dengan lagu ‘Monalisa (Bang Bang)’ dan ‘P Ramlee Saloma’. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setelah hampir lima bulan ditubuhkan di bawah naungan syarikat pengurusan, Rocketfuel Entertainment, kumpulan Alpha semakin menunjukkan pengaruhnya dalam industri hiburan serantau.

Menampilkan aura segar dan keunikan personaliti setiap tujuh ahlinya, kumpulan ini berjaya menarik perhatian ramai bukan sahaja dalam kalangan peminat setia, malah juga daripada penggiat muzik yang melihat potensi besar mereka sebagai bintang baru.

Berawal daripada program realiti anjuran Astro, Big Stage Alpha, kumpulan yang dianggotai oleh Daniel Sher, Rizal Rasid, Izat Ibrahim, Arief Fesol, Araff, Ray-D, dan Afiq Sky, kini sedang menaiki tangga populariti serta memiliki kelab peminat tersendiri yang digelar, Alphanites.

Memulakan langkah baru sebagai kumpulan ‘boyband’ dalam arena muzik dengan lagu sulung berjudul, Mona Lisa (Bang Bang), Alpha bagai tidak menang tangan melancarkan tiga lagi single baru termasuk, P Ramlee Saloma, Sahabat dan Bujang.

Baru-baru ini, wartawan Berita Harian berpeluang menemui Alpha sejurus selepas persembahan mereka di acara dagang Celebfest yang berlangsung pada 17 Oktober lalu.

Daniel, atau nama sebenarnya, Daniel Sher Aaron Bahadur, 35 tahun, mengakui ini adalah kali pertama mereka menjelajah sekali gus menemui peminat di Singapura, sebagai satu kumpulan.

Lebih memuaskan lagi apabila mereka disambut dengan kehadiran dan sorakan ratusan peminat yang memenuhi dewan Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.

Mereka juga sempat meraikan ulang tahun Izat, anak kelahiran Kota Singa, yang kini berusia 35 tahun.

“Walaupun ramai di antara (ahli) kami berasal dari Malaysia, kami amat hargai sokongan dan sambutan padu daripada peminat Singapura.

“Lebih memberangsangkan lagi ketika melihat mereka turut menyanyikan lagu-lagu kami sewaktu persembahan tadi (17 Oktober),” kata Daniel, ketua kumpulan Alpha, dengan teruja.

Beliau dan anggota Alpha yang lain ditemui BH di Hotel Boss yang terletak di Jalan Sultan.

Berkongsi lanjut tentang dua lagu hit mereka, Mona Lisa (Bang Bang) dan P Ramlee Saloma, kededua lagu itu menyerlahkan kelainan Alpha, yang tak hanya mampu memukau dengan gerakan tarian yang ligat, malah kekuatan vokal yang menjadi santapan halwa telinga.

“Bagi saya, ramai yang mungkin melihat lagu debut kami iaitu Mona Lisa sebagai era baru bagi muzik M-Pop (Pop Malaysia) di Malaysia.

“Jika Mona Lisa lebih menonjol dari segi keseluruhan visual, termasuk tarian dan vokal secara berkumpulan, P Ramlee Saloma pula berjaya menampilkan kehebatan vokal kami masing-masing.

“Setiap ahli Alpha mempunyai cara bernyanyi yang unik dan berbeza. 

“Secara tak langsung, inilah yang ingin kami tunjukkan kepada peminat, kelebihan vokal yang ada pada setiap ahli, lantas membuatkan kumpulan ini menyerlah,” ujar Rizal, 30 tahun, yang berasal dari Brunei Darussalam. 

Kini, video muzik bagi lagu P Ramlee Saloma telah meraih sebanyak 1.6 juta tontonan di laman YouTube, dan sekitar 6.6 juta penstriman di Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.

Ia turut disenarai dalam carta 200 lagu terbaik harian di Spotify Malaysia.

Selain itu, setiap penyanyi atau kumpulan pasti mengimpikan detik lagu mereka diiktiraf di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

Lalu, bagaimana pula takrifan peribadi Alpha bagi nasib kededua lagu mereka itu?

“Sudah tentu setiap penyanyi atau kumpulan mempunyai impian masing-masing.

“AJL merupakan salah satu pentas berprestij yang bukan sahaja diidamkan oleh Alpha, malah bagi sesiapa sahaja yang melangkah ke dunia muzik.

“Pada masa sama, saya dan anggota Alpha yang lain menyerahkan sepenuhnya soal rezeki kepada Allah.

“Seperti lagu P Ramlee Saloma, kami tidak pernah menjangka ia akan tular dan mendapat sambutan begitu luar biasa hingga ke Singapura.

“Pada awalnya, kami sudah cukup gembira apabila lagu itu dijadikan runut bunyi (OST) untuk drama Thariq Ridzuwan.

“Harapan saya ialah agar kami dapat mengekalkan momentum ini dengan lagu-lagu seterusnya, dan semoga karya kami terus mendapat tempat di hati peminat, di mana pun mereka berada,” ujar Ariel yang berusia 27 tahun.

Dalam perkembangan lain, Rizal dan Ariel telah menjayakan drama arahan Datuk Yusry Abdul Halim berjudul, Satu, Dua…Dia?

Diterbitkan Global Film Station Sdn Bhd, drama yang memulakan tayangan perdana di penstriman digital, Viu, pada 23 Oktober itu turut dibintangi oleh Erysha Emyra, Zarif Ghazzi, dan Afiq Hamidon.

“Ini merupakan suatu pengalaman baru bagi saya kerana sebelum ini, saya cuma berlakon dengan penerbitan di Brunei.

“Manakala, bagi Ariel, beliau sudah berpengalaman dan mula berlakon sejak kecil lagi.

“Jadi, apabila diberi peluang untuk bergandingan dengan Ariel, dan juga pelakon lain dalam drama ini, saya amat teruja kerana dapat mempelajari pelbagai hal-hal baru,” kongsi Rizal.

Di samping itu, Alpha juga menyanyikan OST bagi drama terbabit berjudul, Bujang, yang merupakan hasil ciptaan serta dendangan asal penyanyi sekali gus komposer, Hael Husaini pada 2020.

Ditanya BH mengenai perkembangan peribadi anggota Alpha sejak kumpulan itu ditubuhkan pada Jun (2025) lalu, baik dalam aspek tarian mahupun nyanyian, Ray-D, 20 tahun, berkata:

“Kalau nak dikatakan siapa yang paling banyak menunjukkan peningkatan dari segi tarian, saya rasa, Sky.

“Dalam pertandingan Big Stage Alpha, cara Sky menari agak terkinja-kinja – mungkin sebab beliau paling muda dan banyak tenaga!

“Kini, saya nampak ada sedikit peningkatan dalam persembahannya. 

“Namun, dari segi nyanyian, saya rasa masing-masing menunjukkan kemajuan dengan cara mereka tersendiri.”

Memandang ke hadapan, Alpha berkongsi aspirasi mereka untuk membina jati diri yang kukuh dalam industri muzik, dan mencapai kejayaan bersama sebelum melangkah ke usaha yang lebih besar seperti melancarkan single masing-masing.

Seterusnya, Alpha dikatakan akan berangkat ke Korea Selatan pada November (2025), bagi menjalani latihan intensif untuk mempertingkatkan lagi kemahiran menari dan bernyanyi, sekali gus mengorak langkah menembusi pasaran antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg