Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Melayu S’pura terima Biasiswa Rhodes sambung belajar di Oxford

Nov 28, 2024 | 5:00 PM
Encik Salifian Sulaiman merupakan penerima Biasiswa Rhodes ke-30 dari Singapura. Beliau akan mengikuti pengajian kedoktoran Kajian Antropologi dan Penghijrahan di Universiti Oxford di England.
Encik Salifian Sulaiman merupakan penerima Biasiswa Rhodes ke-30 dari Singapura. Beliau akan mengikuti pengajian kedoktoran Kajian Antropologi dan Penghijrahan di Universiti Oxford di England. - Foto ihsan SALIFIAN SULAIMAN

Membesar dalam keluarga sederhana, Encik Salifian Sulaiman, selalu dipesan ibu bapanya supaya menjadi kaya dengan budi bahasa.

Bapanya, Encik Sulaiman Hamzah, 59 tahun, seorang pemandu penghantaran, manakala ibunya, CIk Salwiah Awi, 55 tahun, suri rumah yang menjaga empat anak, kini berusia antara 14 dengan 32 tahun.

Nasihat ibu bapanya itu menjadi pegangan hidup Encik Salifian – anak ketiga dalam empat beradik – hinggalah beliau berjaya ke menara gading.

Baru-baru ini, beliau menerima Biasiswa Rhodes untuk melanjutkan pengajian possiswazah ke Universiti Oxford di England.

Ditubuhkan di Universiti Oxford pada 1903, biasiswa berprestij itu bertujuan memupuk pemimpin yang prihatin dengan masyarakat, serta memupuk hubungan antarabangsa melalui masyarakat cendekiawan peringkat sejagat.

Encik Salifian, 26 tahun, merupakan penerima Biasiswa Rhodes ke-30 dari Singapura.

Penerima lain sebelum ini termasuk mantan Menteri Pengangkutan Raymond Lim; sejarawan Dr Thum Ping Tjin; dan mantan pelajar Kolej Yale-Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Nur Hazeem Abdul Nasser, yang merupakan penerima Melayu pertama dari Singapura. Encik Salifian penerima Melayu kedua dari Singapura.

Encik Salifian merancang memulakan penyelidikan kedoktoran dalam bidang antropologi dan kajian penghijrahan di universiti tersebut pada 2025.

Beliau memberitahu Berita Harian beliau tertarik dengan kisah manusia – terutama mereka yang berjaya mengatasi cabaran demi mengejar kehidupan yang lebih baik.

Merenung perjalanannya sendiri, Encik Salifian berkata: “Semasa saya membesar, kami bukanlah orang berada. Makan di McDonald’s pun satu kemewahan.

“Tetapi ibu bapa saya selalu berpesan agar kami sentiasa membantu orang lain kerana perbuatan inilah yang akan menjadikan kami ‘kaya’ di hati. Saya berpegang kepada nasihat ini dalam kerja sukarelawan dan kerja akademik saya.”

Encik Salifian Sulaiman (dua dari kiri), bergambar dengan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Encik Nikesh Mehta (dua dari kanan) semasa majlis Anugerah Biasiswa United Kingdom pada 27 Ogos 2024. Encik Salifian turut diiringi ibu bapanya, Encik Sulaiman Hamzah (kiri) dan Cik Salwiah Awi (kanan).
Encik Salifian Sulaiman (dua dari kiri), bergambar dengan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Encik Nikesh Mehta (dua dari kanan) semasa majlis Anugerah Biasiswa United Kingdom pada 27 Ogos 2024. Encik Salifian turut diiringi ibu bapanya, Encik Sulaiman Hamzah (kiri) dan Cik Salwiah Awi (kanan). - Foto ihsan SALIFIAN SULAIMAN

Bekas pelajar Maktab Rendah Anderson dan Sekolah Menengah Yishun Town itu akur kejayaannya diukir atas sokongan yang diterima, termasuk program kemasyarakatan dan biasiswa.

Sebelum ini, beliau menerima anugerah Lee Kuan Yew-Quantedge dan Biasiswa Possiswazah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) untuk pengajian sarjana antropologi sosial di Universiti Cambridge.

Sebagai penuntut dwiijazah, beliau juga telah meraih ijazah sarjana muda dalam bidang sejarah daripada NUS, dan ijazah sarjana muda dalam pengajian liberal daripada Universiti Waseda di Tokyo.

Perjalanannya juga dibentuk hasil kerja relawannya bersama masyarakat kurang berkemampuan di Singapura. Sebagai penggemar membuat kek, beliau memulakan inisiatif, Bake As One, yang menggembleng tenaga peniaga kek dari rumah untuk mengumpul dana bagi badan kebajikan.

Beliau turut membantu keluarga kurang berkemampuan di luar negara menerusi projek, Blossom As One di Hokkaido, Jepun, yang bertujuan membantu usahawan muda membangunkan perniagaan mereka melalui pembelajaran media sosial dan penciptaan laman web.

Mengenai topik penghijrahan yang menjadi bidang kajiannya, Encik Salifian berkata kisah penghijrahan manusia sering terlepas pandang atau terpinggir.

“Saya sentiasa mendapat inspirasi daripada keberanian inidvidu yang berhijrah ke tempat asing, sering kali dengan penuh rintangan, dengan harapan membina masa depan yang lebih cerah untuk diri dan keluarga mereka,” kongsi beliau.

“Penghijrahan lebih daripada sekadar angka dan statistik,” jelasnya.

“Pendatang asing juga manusia seperti kita, berusaha untuk meningkatkan kehidupan mereka dan kehidupan keluarga mereka. Saya mahu kajian saya membantu memupuk empati dan mengingatkan kita bahawa ini adalah individu dengan impian, harapan, dan perjuangan, sama seperti orang lain.”

Dengan aspirasi meningkatkan penyertaan golongan minoriti dalam bidang sains sosial, beliau berharap lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dapat memberikan sumbangan bermakna kepada dunia akademik.

“Saya ingin melihat lebih ramai individu daripada latar belakang yang serupa dengan saya – terutamanya golongan Melayu dan pelajar universiti generasi pertama dalam keluarga – menyumbang kepada penyelidikan sosial di Singapura. Saya percaya terdapat banyak potensi yang ada dalam diri mereka,” katanya.

Bagi mereka yang berasa terhalang oleh keadaan, Encik Salifian memberi nasihat:

“Cuba sahaja. Kita tidak akan tahu apa yang boleh kita capai melainkan kita mencuba. Jika anda mempunyai idea yang anda minati, cuba sahaja. Walaupun sekecil membantu rakan menyelesaikan soalan sukar, percubaan sekecil ini juga boleh memberi kesan yang besar.”

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan biasiswa itu, Cik Yong Ying-I, berkata biasiswa tersebut mengiktiraf individu yang boleh menjadi pemangkin perubahan positif dalam masyarakat.

“Pendekatan (Salifian) yang bertanggungjawab dari segi etika dan ketelitian intelek yang mencerminkan dirinya adalah berharga dalam bidang penghijrahan.

“Kami teruja melihat cara beliau bakal memanfaatkan pengalaman Rhodes untuk menjadi pemimpin masyarakat dan pemimpin pemikir pada masa depan, menyumbang kepada usaha membina dunia yang lebih baik,” kata Cik Yong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg