Kesabaran, tanggungjawab dan rasa ihsan menebal merupakan kata-kata yang sering digunakan anggota keluarga, guru dan rakan sebaya bagi menggambarkan keperibadian Adly Rizky Amzah, 16 tahun.
Nilai-nilai itu kian menyerlah apabila pelajar Sekolah Menengah Serangoon Garden ini berdepan ujian besar dalam hidupnya selepas ayahnya, Encik Amzah Mohamed Osman, kini 49 tahun, seorang konsultan keselamatan, disahkan menghidap barah paru-paru pada 2023.
Sebagai anak sulung dalam keluarga lima beradik, keadaan ini mendesaknya mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga ketika kesihatan ayahnya semakin merosot.
Dalam tempoh itu, ibunya, Cik Ratina Walim, kini 37 tahun, pekerja dalam bidang Makanan dan Minuman (F&B), pula sedang hamil dengan adik bongsunya.
Tanggungjawab ini termasuk memastikan adik-adiknya terus dibimbing dan keperluan mereka dijaga.
Hanya pada waktu malam, barulah Adly mempunyai masa terluang bagi menumpukan perhatian terhadap pelajaran di flat tiga bilik keluarganya di kawasan kejiranan Hougang.
“Kadang-kadang bising, kadang-kadang penat. Tapi saya cuba sesuaikan diri,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).
Pelajar jurusan Normal (Akademik) ini perlu bekerja keras di sebalik segala dugaan hidup bagi membuat persiapan untuk peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’, yang keputusannya diketahui pada 18 Disember.
Adly yang bercita-cita menjadi juruterbang mendapat keputusan cemerlang dengan agregat 10 mata bagi Bahasa Inggeris, Matematik dan tiga subjek lain dengan gred terbaik.
Dengan keputusan yang diterima itu, Adly, malahan layak memohon untuk menyertai kursus diploma di politeknik menerusi Program Asas Politeknik, yang mempersiapkannya bagi penyertaan langsung ke politeknik tanpa memasuki Menengah 5, atau mengambil peperiksaan GCE Peringkat ‘O’.
Ketika dihubungi BH, Adly menjelaskan cita-citanya bergelar juruterbang tercetus sejak usia enam tahun, apabila dia kerap menaiki pengangkutan awam dan kagum dengan dunia pengangkutan, khususnya pesawat di udara.
“Saya ingat kenangan menaiki bas Nombor 24 bersama bapa saya sewaktu beliau masih sihat.
“Bagi sesetengah orang, bas hanya membawa penumpang ke tempat destinasi mereka.
“Namun, bagi saya, setiap perjalanan ada ceritanya,” kata Adly.
Apatah lagi, interaksi bersama pemandu bas, yang sering menyapanya apabila mereka bertemu, turut menyemai rasa hormatnya terhadap mereka yang bekerja dalam sektor pengangkutan.
Minat itu kemudian berkembang kepada dunia penerbangan disebabkan pengaruh anggota keluarga lain yang berkhidmat dalam industri tersebut.
Dalam pada itu, dia yang aktif dalam kegiatan kokurikular (CCA) Kelab Media pernah menyertai Cabaran Keusahawanan Belia (YEC).
Dia meraih kedudukan sebagai Naib Juara, dengan idea menghasilkan aplikasi telefon bimbit yang dapat mengesan halangan dalam rumah, bagi membantu individu yang mengalami masalah penglihatan.
Idea itu diinspirasikan daripada pengalamannya melihat ayahnya berdepan dengan masalah penglihatan dan sering terpijak mainan di rumah.
Pengalaman sebegini memberi Adly semangat untuk terus berjuang dalam mencapai kestabilan hidup yang diidamkan suatu hari nanti.
Ini di samping sokongan para guru yang memainkan peranan penting dalam membina keyakinannya.
Adly menghargai guru-guru yang bukan sahaja membantunya dalam pelajaran, malah menyediakan ruang selamat untuk dia berkongsi tekanan yang dihadapi.
Ini termasuk guru darjahnya, Cik Lin Wanting, yang merupakan antara individu terawal yang mengetahui keadaan keluarganya.
Menyedari tekanan yang dihadapi remaja itu, Cik Lin sering meninjau keadaan Adly bagi memastikan dia mendapat sokongan yang diperlukan.
Cik Lin berkata: “Adly merupakan seorang pelajar yang bertanggungjawab dan berbudi bahasa, disenangi rakan-rakan, berpegang teguh pada nilai-nilai murni, serta menunjukkan daya tahan yang mengagumkan dalam menghadapi cabaran.
“Dia seorang pelajar yang mudah diajar dan menyumbang secara positif dalam kelas.”
Adly pula menambah: “Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran, perjalanan saya selama empat tahun di Sekolah Menengah Serangoon North tetap menyeronokkan dan mungkin antara yang terbaik dalam hidup saya setakat ini kerana saya berpeluang mengenali begitu ramai insan yang baik hati.
“Jika diberi peluang untuk mengulangi perjalanan ini, saya tetap akan memilih laluan yang sama, melalui pengalaman yang sama dan bersama insan yang sama.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg