Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Detik ibu dibawa ambulans ke CGH cetus azam remaja ceburi bidang jagaan kesihatan

Dec 18, 2025 | 3:00 PM
Nur ’Alia Qistina Abdullah, Changkat Changi Secondary
Nur ’Alia Qistina Abdullah (kanan), yang baru menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’, bertekad menceburi bidang jagaan kesihatan setelah melihat ibunya, Cik Nurfaiza Mohamed, dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH), dengan menaiki ambulans, setelah dilanda masalah saluran penghadaman atau gastrousus hingga membuatnya lemah dan sukar bergerak. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sayu dan pilu hati seorang remaja, Nur ’Alia Qistina Abdullah, apabila melihat ibunya, Cik Nurfaiza Mohamed, disorong masuk ke ambulans untuk dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH), pada Januari 2025.

Cik Nurfaiza, 37 tahun, yang ketika itu bertugas sebagai juruwang di sebuah kafe, mengalami masalah saluran penghadaman atau gastrousus, yang membuatnya terlalu lemah berjalan.

Sejak Oktober, ibu tunggal empat anak itu sudah tidak lagi bekerja dan menghabiskan masanya di rumah bersama anak-anak.

Detik yang berlaku sekitar waktu maghrib itu terasa berat buat Nur ’Alia, 16 tahun, pelajar Sekolah Menengah Changkat Changi, sedang dirinya berada dalam tahun penting menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’.

Pada 18 Disember ketika beliau mengambil keputusan peperiksaan tersebut, peristiwa itu terus bermain dalam ingatannya.

Menurut pelajar aliran Normal (Teknikal) itu, pengalaman melihat ketenangan dan dedikasi petugas kesihatan di CGH merawat ibunya sambil memberi sokongan kepada keluarganya sepanjang tempoh beberapa bulan menyusuli kejadian itu, mencetus cita-cita ingin bergelar jururawat.

“Saya rasa takut pada mulanya kerana tidak pernah melihat ibu dalam keadaan begitu mencemaskan.

“Tetapi cara paramedik dan kakitangan perubatan mengendalikan keadaan dengan begitu cepat dan tenang, membuatkan saya kagum,” cerita anak sulung dalam keluarga empat beradik itu kepada Berita Harian (BH).

Meskipun permohonannya melalui Latihan Kemasukan Awal (EAE) dalam kursus kejururawatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), sebelum ini, tidak membuahkan hasil, Nur ’Alia tidak putus asa dan ingin mencuba lagi agar impian menjadi karyawan dalam sektor jagaan kesihatan berhasil.

“Memang sedih pada mulanya apabila permohonan saya untuk sertai kursus kejururawatan di ITE ditolak.

“Namun, tidak kira jalan mana yang perlu saya ambil, saya tetap mahu bekerja dalam bidang yang membolehkan saya menjaga dan membantu orang lain,” katanya.

Lebih 13,000 calon pelajar telah menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘N’ tahun pada 2025.

Dalam kalangan calon Normal (Akademik), 99.4 peratus atau 8,934 pelajar mencapai Gred 5 atau lebih baik dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Bagi kohort Normal (Teknikal) pula, 97.7 peratus atau 4,375 pelajar raih sekurang-kurangnya Gred D atau lebih baik dalam satu mata pelajaran.

Nur ’Alia disifatkan sebagai remaja bersemangat waja, penyayang serta bertimbang rasa oleh anggota keluarga dan rakan-rakannya.

Menurutnya, sifat tersebut banyak dipupuk melalui pengalaman hidup serta tanggungjawab sebagai anak sulung dalam keluarga.

“Sepanjang tempoh rawatan ibu, saya juga ialah penjaga utama tiga adik saya yang berusia dua, lima dan 11 tahun. Ini memandangkan ibu saya seorang ibu tunggal.

“Saya juga pernah menerima Anugerah Teladan Changkateer bagi dua tahun berturut-turut kerana menjadi pelajar contoh buat rakan-rakan lain,” ujarnya.

Dia juga pernah menerima Biasiswa Singapore Buddhist Lodge daripada badan amal tersebut pada 2024, sebagai pengiktirafan terhadap prestasi akademik yang konsisten serta kelakuan terpuji.

“Rasa ihsannya yang mendalam dapat dilihat dengan cara dia menyokong rakan sedarjahnya, yang berdepan dengan cabaran pendidikan dan kehidupan, sentiasa memberi galakan atau bertanya khabar di samping peka tentang kesejahteraan mereka,” kata jurucakap Sekolah Menengah Changkat Changi mengenai Nur ’Alia.

Nur ’Alia pula menambah: “Kadang-kadang rakan-rakan saya ini tidak perlukan nasihat, tetapi cuma perlukan seseorang untuk mendengar luahan hati mereka.

“Saya cuba hadirkan diri untuk mereka,” kata Nur ’Alia, yang juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Kelas.

Di luar bilik darjah, dia juga aktif menyumbang kepada masyarakat melalui penglibatan dalam kegiatan khidmat masyarakat.

Antaranya, dalam kerjasama Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLP) bersama My First Skool, Nur’ Alia menghasilkan bahan pembelajaran menggunakan barangan kitar semula bagi penggunaan kanak-kanak prasekolah.

Melalui inisiatif tersebut, dia berpeluang berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak prasekolah demi memupuk kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, pengalaman itu memperkukuh rasa ihsan serta keyakinannya ingin berkhidmat kepada orang lain, sejajar dengan aspirasi menceburi bidang penjagaan kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg