Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggerik Blue Vanda di Gardens by the Bay biru atau ungu?

Anggerik unik itu antara 60 jenis orkid di pameran, ‘Orchids from the Land of Smiles’
Feb 25, 2025 | 1:37 PM
Vanda coerulea, juga dikenali sebagai anggerik biru atau Blue Vanda, pertama kali dikenal pasti pada 1847.
Vanda coerulea, juga dikenali sebagai anggerik biru atau Blue Vanda, pertama kali dikenal pasti pada 1847. - Foto ST

Anggerik yang dikenali dengan warnanya yang menarik serta manfaat perubatannya menjadi antara daya tarikan utama dalam pameran bunga baru di Gardens by the Bay.

Vanda coerulea, atau dikenali sebagai anggerik biru atau Blue Vanda, pertama kali dikenal pasti pada 1847. 

Bunga itu tumbuh mekar di kawasan lebih dingin – dari hutan belantara di wilayah Himalaya hingga ke kawasan Asia Tenggara.

Jus bunga itu digunakan dalam ubat titis mata untuk merawat glaukoma dan katarak.

Pameran, Orchids from the Land of Smiles, yang diadakan di konservatori Cloud Forest, Gardens by the Bay, dan bermula pada 14 Februari, menampilkan antaranya, anggerik dengan corak unik pada kelopaknya.

Pameran itu merupakan kerjasama dengan Kedutaan Diraja Thailand bagi memperingati 60 tahun hubungan diplomatik antara Singapura dengan Thailand, serta ulang tahun Singapura ke-60 (SG60). 

Pameran itu menampilkan spesies anggerik asal Thailand – yang merupakan habitat bagi lebih 1,000 jenis anggerik atau anggerik yang asal usulnya boleh dikaitkan dengan negara itu, lapor The Straits Times (ST).

Nama spesies bunga Blue Vanda itu, coerulea, berasal daripada perkataan Latin caeruleus, yang bermaksud ‘biru langit’.

Namun, ramai yang berpendapat bunga itu kelihatan ungu.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi sama ada Blue Vanda akan kelihatan biru atau ungu di mata anda.

“Adakah ia benar-benar biru? Ia bergantung pada mata anda,” kata Cik Siti Nurziana Yacob, Pengurus Penyelidikan dan Hortikultur di Gardens by the Bay.

Mata manusia kurang sensitif terhadap warna ungu dan sinar ultraungu (UV) dan ini menyebabkan beberapa rona biru kelihatan lebih ungu, jelas Cik Siti Nurziana.

Faktor persekitaran seperti cahaya semula jadi dan buatan juga boleh mempengaruhi penglihatan seseorang terhadap anggerik itu, tambahnya.

Kurang 10 peratus daripada 280,000 spesies tumbuhan mengeluarkan bunga yang kelihatan biru.

Berbeza dengan warna merah, kuning dan jingga, pigmen biru tulen tidak wujud dalam tumbuhan.

Sebaliknya, warna biru dihasilkan apabila antosianin, pigmen larut air yang terdapat dalam tumbuhan bertindak balas dengan tahap keasidan yang berbeza, dan tahap pH lebih tinggi akan menghasilkan tona biru.

Antosianin umumnya merupakan sebatian pewarna bagi bunga dan daun berwarna ungu, merah atau biru.

Pigmen antosianin yang tidak stabil itu yang menyebabkan warna bunga berubah-ubah, kata Cik Siti Nurziana.

“Ia juga boleh menyebabkan bunga biru berubah menjadi putih,” tambahnya.

Kestabilan dan kepekatan pigmen itu juga dipengaruhi oleh faktor seperti tindak balas dengan glukosa, ion logam seperti aluminium, dan copigment – sebatian yang tidak berwarna pada pandangan mata manusia namun boleh mempengaruhi warna antosianin. 

Semua faktor itu membantu menyerlahkan atau mengekalkan warna biru pada bunga.

Menjawab pertanyaan mengapa pakar hortikultur mengklasifikasikan Vanda coerulea sebagai biru, Cik Siti Nurziana menjelaskan bahawa anggerik itu sepadan dengan rona yang dikategorikan sebagai biru dalam carta warna pertubuhan hortikultur terkemuka di dunia, Persatuan Hortikultur Diraja Britain.

Dengan 920 warna, carta itu diperkenalkan pada 1966 untuk membantu mengenal pasti dan mengklasifikasikan warna bunga dan tumbuhan.

Secara khusus, rona Vanda coerulea sepadan dengan tona biru-lembayung dalam carta tersebut – bermakna warna Blue Vanda berada di antara kededua warna itu.

Sama ada anggerik ini benar-benar biru atau ungu, warna unik Vanda coerulea menjadikannya pilihan popular dalam kalangan penanam anggerik.

Bunga itu dan jenis hibrid lainnya membentuk sekitar sepertiga daripada 60 jenis anggerik yang diketengahkan di pameran Orchids from the Land of Smiles.

Anggerik yang dipamerkan termasuk Vandachostylis Jairak Sapphire – hibrid antara Vanda coerulea dengan Vandachostylis Pine Rivers yang dibiak dan didaftarkan pada 2018 – serta Vanda Pachara Delight, hibrid antara Vanda Gordon Dillon dengan Vanda Karulea, yang merupakan keturunan hibrid Vanda coerulea.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg