Di tengah-tengah Flower Dome di Gardens by the Bay, beberapa model kereta api miniatur melintasi pelbagai jenis trek, seperti landasan kereta api yang kompleks, gelung dan laluan yang panjangnya lebih dari 100 meter, bagi membawa keceriaan sempena musim perayaan.
Pertunjukan Kereta Api Krismas Gardens by the Bay dilancarkan pada 2 Disember oleh Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Singapura, Encik Jonathan Kaplan.
Ini adalah kali pertama tempat tarikan itu membawa tradisi perayaan Amerika yang telah lama wujud, yang akan berlangsung sehingga 5 Januari, lapor The Straits Times (ST).
Pertunjukan kereta api itu adalah hasil kerjasama dengan ahli hortikultur Gardens by the Bay, Taman Botani New York, Taman Botani Amerika di Washington DC dan syarikat pakar kereta api taman, Applied Imagination.
Memandangkan pertunjukan kereta api merupakan kegiatan utama keluarga di kedua-dua taman botani Amerika tersebut semasa Krismas, Gardens by the Bay ingin meraikan ikatan kekeluargaan dengan cara yang sama di sini.
Lima kereta api miniatur akan bergerak mengelilingi model botani yang menggambarkan mercu tanda ikonik, seperti bangunan Empire State dan terminal kereta api Grand Central di New York City, serta Statue of Liberty di Pulau Liberty, bersama sebuah kereta api yang statik di atas landasan.
Mercu tanda tersebut diperbuat dengan tangan menggunakan bahan tanaman seperti sisik kon pain, ranting dan biji benih.
Penduduk Singapura yang ingin menyaksikan pertunjukan kereta api perlu membeli tiket masuk ke Flower Dome – $12 untuk dewasa dan $8 untuk kanak-kanak serta warga emas pada hari biasa; dan $27 untuk dewasa serta $23 untuk kanak-kanak dan warga emas pada hujung minggu dan cuti umum.
Gardens by the Bay tidak mendedahkan kos menganjurkan pertunjukan kereta api tersebut apabila ditanya oleh ST.
Mengelilingi pertunjukan kereta api dan pamerannya adalah tumbuhan sempena perayaan, termasuk 16 jenis poinsettia, sejenis tumbuhan yang terkenal dengan daun merah terang, dan 480 pokok konifer – yang menghasilkan kon dengan daun yang menyerupai jarum – dalam 49 jenis.
Cik Melissa Tan, Timbalan Pengarah Konservatori dan Pakar Hortikultur di Gardens by the Bay, berkata usaha itu bermula setahun lalu, dengan pasukannya mengunjungi taman-taman di Amerika dan mempelajari cara menjalankan pertunjukan kereta api model.
Diinspirasikan oleh lawatan mereka, pasukan Gardens by the Bay mengambil apa yang mereka pelajari untuk mencipta pertunjukan itu.
“Kami perlu memastikan bahawa model botani selamat sampai ke Singapura, kerana ia rapuh, jadi segala perhatian diberikan kepada pembungkusan untuk memastikan ia selamat sepanjang perjalanan yang jauh itu.”
Pertunjukan kereta api bermula pada awal 1900-an semasa era kereta api besar Amerika, apabila orang ramai menaiki lokomotif pulang ke rumah semasa perayaan.
Dengan peredaran zaman, tradisi itu bertukar menjadi pertunjukan berskala besar yang dikunjungi keluarga semasa musim Krismas.
Seorang pakar kereta api, Encik Thomas Bhat, telah dibawa masuk oleh Gardens by the Bay untuk kepakarannya dalam memilih kereta api yang tepat bagi pertunjukan itu.
Penduduk tetap (PR) Singapura yang berasal dari Jerman itu meminjamkan enam model kereta api kepada taman tarikan itu untuk pertunjukan kereta api tersebut.
Sebanyak 15 kereta api, milik Encik Bhat dan yang dibeli oleh Gardens by the Bay, akan mengelilingi landasan sepanjang pertunjukan itu.
Juga terdapat di dalam Flower Dome, penciptaan semula bas rel vintaj dari Sweden membolehkan pengunjung meneroka artifak kereta api, seperti lampu dan papan tanda, yang dipinjam daripada Muzium Kereta Api Sweden.
Sebagai penghormatan kepada sistem MRT Singapura, pengunjung boleh melihat replika kabin kereta api SMRT yang memaparkan fakta menarik mengenai sistem rel Singapura.
Apabila memasuki Flower Dome, pengunjung juga disambut dengan muka bangunan stesen MRT Raffles Place yang direka semula.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg