Adalah penting bagi anggota keluarga yang menjaga golongan berusia dalam keluarga mendapatkan sokongan yang diperlukan, sedang keluarga yang ada anak kecil akan menerima lebih banyak sokongan daripada pemerintah.

Ini lebih-lebih lagi jika penjaga itu merupakan golongan bujang, kata dua tetamu dalam sesi rakaman podcast BHerbual terbitan Berita Harian (BH) pada 24 Ogos.

Tetamu sesi podcast itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam, dan pengasas Nusantara Connect, Dr Mohamad Shamsuri Juhari.

Cik Aidaroyani berkata golongan bujang mungkin tidak perlu mengimbangi penjagaan warga berusia dan kanak-kanak pada masa yang sama, namun mereka juga mempunyai kebimbangan tersendiri, antara lain meliputi aspek tekanan kos sara hidup.

“(Ada daripada golongan bujang) yang menjaga ibu bapa yang mungkin telah bersara.

“Ada juga golongan bujang misalnya perlu hantar ibu bapa lanjut usia untuk pemeriksaan perubatan… jadi mereka perlu (ambil cuti daripada kerja) dan gunakan cuti tahunan sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam podcast yang dirakam sehari selepas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, menyampaikan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 23 Ogos.

Antara perkara utama yang beliau umumkan adalah berkenaan penetapan semula atau ‘reset’, berhubung cara Singapura menyokong keluarga.

Encik Wong berkata golongan bujang tidak dilupakan dan pemerintah sedang meneroka cara untuk menyokong mereka dengan lebih baik dalam penggal pemerintahan ini.

Malah, beliau mengumumkan bahawa pemerintah telah meningkatkan had pendapatan bulanan isi rumah bagi golongan bujang berusia 35 tahun dan ke atas yang membeli flat HDB bersubsidi atau mendapatkan pinjaman perumahan HDB daripada $7,000 kepada $8,000.

Menyentuh berkenaan usaha yang boleh dilakukan bagi golongan ini, mahupun individu berkeluarga yang turut menjaga warga emas, Cik Aidaroyani mengusulkan agar pihak majikan menerapkan cuti penjagaan.

Cuti ini dikhususkan bagi urusan menjaga anggota keluarga yang sudah lanjut usia, jelasnya.

Namun, beliau berkata ada manfaatnya jika pemerintah meneroka penerapan cuti penjagaan ini daripada segi dasar, serupa dengan pendekatan dan hasrat pemerintah dalam pelaksanaan Cuti Penjagaan Anak (CCL) yang telah dipertingkat baru-baru ini.

Daripada sudut ini, Dr Samsuri berkata ia memerlukan anjakan daripada pihak majikan dan pemerintah, dengan pemerintah harus bersifat “lebih murah hati” bagi menyokong keluarga – termasuk golongan bujang yang menjaga warga emas.

“Memandangkan jangka hayat individu di Singapura semakin meningkat dan usia persaraan sudah dilanjutkan, adalah sukar jika keluarga mahupun golongan bujang dibiarkan bergantung sepenuhnya pada diri sendiri,” katanya.