Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram Santunan Emas diperluas, sasar dekati 3,000 warga emas setiap minggu jelang akhir ‘26
Program berusia dua tahun yang diasaskan oleh Masjid Al-Muttaqin bagi menyokong warga emas Melayu/Islam dan penjaga mereka menerusi bimbingan kerohanian, kegiatan penuaan aktif dan pendidikan penjaga akan diperluaskan untuk merangkumi lima masjid.
Program berkenaan – Santunan Emas – menyasarkan untuk mendekati 3,000 warga emas setiap minggu apabila ia diperluaskan ke Masjid Assyafaah di Sembawang; Masjid Darul Makmur di Yishun; Masjid An-Nur di Marsiling; dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands, menjelang akhir 2026.
Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan bahasa Melayu beliau semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 di ITE Ang Mo Kio pada 23 Ogos.
“Santunan Emas bermula sebagai usaha sama antara Masjid Al-Muttaqin, Ma:een dan Muhammadiyah demi membantu warga emas di Ang Mo Kio. Mereka mendampingi ramai warga emas Melayu/Islam di sana.
“Melalui M³+, mereka menggabungkan kepakaran daripada pelbagai pihak dalam masyarakat.
“Saya gembira untuk umumkan mereka akan luaskan usaha ini ke Yishun, Sembawang dan Woodlands. Dengan ini, lebih ramai warga emas dapat meniti usia senja mereka dengan mulia dan lebih bermakna,” ujar beliau.
Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohd Fairus Abd Manaf, memberitahu Berita Harian (BH), Santunan Emas mencerminkan pendekatan M³+ dalam menghimpunkan sumber masyarakat Melayu/Islam menerusi kerjasama yang lebih erat.
“Penyertaan dalam M³+ memberi Santunan Emas rangkaian masyarakat yang lebih luas untuk meningkatkan kesedaran tentang program ini, serta menghubungkan lebih ramai warga emas dan penjaga mereka dengan program dan perkhidmatan yang berkaitan.
“Setiap rakan kongsi mempunyai kekuatan dan sumber yang berbeza. Dengan bekerjasama, kami dapat menyediakan sokongan yang lebih selaras dan menyeluruh, berbanding bekerja secara berasingan,” ujar beliau.
Menyentuh tentang peluasan program tersebut di bahagian utara Singapura, Encik Mohd Fairus, berkongsi bahawa ia penting bagi membawa sokongan sedemikian lebih dekat kepada warga emas dan penjaga mereka.
Menurutnya, peluasan itu juga membolehkan setiap masjid bersama rakan kongsi penjagaan kesihatan dan masyarakat membangunkan ekosistem setempat, yang menggabungkan sokongan kerohanian dengan keperluan kesihatan, psikologi, dan sosial warga emas.
“Bagi golongan warga emas, kemudahan untuk mendapatkan akses amat penting. Dengan adanya Santunan Emas di masjid yang lebih dekat dengan tempat tinggal, mereka tidak perlu melakukan perjalanan yang jauh dan dapat menyertai program secara lebih berkala dalam persekitaran serta komuniti yang sudah biasa bagi mereka,” jelasnya.
Program Santunan Emas, anjuran Masjid Al-Muttaqin bersama Ma:een dan Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah, adalah program yang disesuaikan untuk warga emas.
Dilancarkan pada 2 Oktober 2024, ia bertujuan memberikan pengisian rohani di samping menyokong aspek jasmani, kognitif dan sosial bagi generasi tersebut.
Antara program yang dilaksanakan ialah kuliah mingguan yang disampaikan oleh mantan Mufti, Ustaz Mohamad Fatris Bakaram; forum agama bagi warga emas; kelas menjahit; dan senaman.
Sebagai rakan pengasas, Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah menyokong program ini melalui kegiatan fizikal dan sosial untuk warga emas.
Menurut Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, kerjasama antara masjid, pertubuhan masyarakat dan sukarelawan dalam Santunan Emas membentuk satu pendekatan yang boleh diperluaskan ke masjid dan institusi lain.
“Formula sudah ada di Santunan Emas. Ada program kuliah agama dan setelah itu ada juga program penuaan aktif yang dikendalikan oleh Muhammadiyah dan pusat-pusat tertentu yang pakar dalam pengurusan dan penjagaan warga emas.
“Kita dapat hasilkan ekosistem yang lebih baik dan kukuh untuk menjaga warga emas kita dengan baik supaya mereka lebih sihat, aktif dan menjadi Muslim yang baik,” katanya.
Menurut Ustaz Muhammad Azri, antara perubahan yang dilihat dalam kalangan peserta ialah peningkatan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan serta hubungan sosial dan kemasyarakatan.
“Mereka dapat lebih menghargai kebergantungan mereka masa usia senja, mereka dapat menghargai kepentingan kesihatan.
“Yang paling penting, mereka tahu mereka dapat menjadi Muslim yang baik, menjaga keagamaan mereka dengan baik, dalam masa yang sama aktif dan dapat berinteraksi dengan masyarakat, bukan setakat dengan masyarakat Islam tetapi masyarakat majmuk Singapura,” ujarnya.
