Kira-kira 1.2 juta anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS) dahulu dan sekarang akan menerima kredit LifeSG sebanyak $200 pada November.
Langkah itu diumumkan semasa Belanjawan 2024.
Kredit itu, yang boleh digunakan bagi perniagaan dalam talian atau di kedai yang menerima pembayaran melalui PayNow atau Nets QR, sah selama setahun.
Semua yang menyertai NS sebelum penghujung 2024 akan menerima kredit tersebut, lapor The Straits Times.
Kredit LifeSG akan diagihkan secara berperingkat-peringkat kepada mereka yang layak menjelang 30 November, kata Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri dalam satu kenyataan bersama pada 30 Oktober.
Tetapi mereka yang menyertai NS selepas 15 September akan menerima kredit mereka pada Disember.
Sebaik sahaja jumlah itu dikreditkan, anggota kerahan negara akan menerima pemberitahuan mesej ringkas (SMS) daripada ID Pengirim gov.sg, dan surat pemberitahuan ke alamat berdaftar mereka.
Semua anggota kerahan negara boleh mengakses kredit LifeSG mereka dan menyemak kesahihannya melalui aplikasi LifeSG.
Mereka yang tidak dapat mengakses kredit tersebut secara digital boleh memohon baucar salinan cetak dengan menghubungi Pusat Panggilan NS di talian 1800-367-6767 atau e-mel ke contact@ns.gov.sg.
Kredit itu bertujuan mengiktiraf sumbangan anggota kerahan negara kepada pertahanan dan keselamatan Singapura, menurut kenyataan bersama itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg