Kira-kira 385 anggota Perkhidmatan Negara (NS) Sedia Beroperasi dari 240 syarikat dan majikan berkumpul di Upacara Gabungan Dedikasi (CDC) sempena Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang diadakan di empat lokasi serata Singapura pada 1 Julai.
Majlis-majlis itu diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec City, Hab National Computer Services (NCS), Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) dan Politeknik Temasek, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Merasmikan majlis itu di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, menekankan peri pentingnya melabur dalam pertahanan Singapura dalam menyambut 59 tahun sejak SAF ditubuhkan.
Dr Ng berkata: “Kita bersyukur kerana setiap tahun pemerintah memberi sumbangan besar kepada perbelanjaan pertahanan. Setiap dolar dilabur dalam pertahanan boleh digunakan untuk tujuan lain – kesihatan, pendidikan dan kebajikan.
“Hari ini, disebabkan pelaburan stabil dan komitmen kukuh daripada lebih satu juta anggota NS, kita mempunyai sebuah SAF yang kuat, moden, serba lengkap, dan perkhidmatan-quad, yang berupaya melakukan misi-misi merentasi ruang udara, laut, darat dan digital.”
Dr Ng juga menekankan komitmen anggota NS dan majikan yang membentuk tulang belakang pertahanan negara.
“Selagi askar-askar kita kekal komited dan berlatih dengan gigih, tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap keamanan (negara) kita, SAF akan terus kukuh dan berupaya mempertahankan kedaulatan Singapura dan cara hidup rakyatnya,” jelas Dr Ng.
Berkongsi pengalamannya berbakti kepada Singapura melalui Perkhidmatan Negara telah membawa makna dalam hidupnya, Sarjan Pertama (NS) Muhammad Zakir Mohammad Anuar, 29 tahun, berkata beliau sering menekankan kepada anggota NS dalam pasukan yang dipimpinnya bahawa bukan sahaja penting untuk mempertahankan Singapura, malah mempertahankan masa depannya juga.
“Bagi saya, NS adalah sangat penting kerana kami harus melatih individu muda dan memastikan mereka memahami keperluan melindungi Singapura kerana ia adalah rumah kita, justeru kita harus mempertahankannya.”
“Kalau kita tidak melindungi rumah kita, maka siapa lagi yang akan melakukannya?” ujar beliau, yang juga seorang juruteknik perkhidmatan lapangan di Toyota Forklifts.
Leftenan (NS) Muhammad Ashadiq Azman, 35 tahun, yang memimpin sesi ikrar di Politeknik Temasek pula berkata walaupun ia adalah kali keduanya, beliau tetap berbesar hati melaksanakan tanggungjawab tersebut.
“Saya bersyukur atas peluang yang diberikan untuk berdiri seragam bersama anggota NS, pemimpin dan anggota masyarakat dalam mengesahkan komitmen kami untuk melindungi kedaulatan dan keselamatan Singapura,” jelas beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg