MENGHARGAI pekerja pembersihan dan menggembleng tenaga untuk sama-sama membersihkan estet kejiranan dengan memungut sampah dan membuangnya di tong sampah.

Inilah pesanan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, sempena Hari Kebersihan Singapura atau SG Clean Day pada Ahad (31 Oktober)

Beliau memuatnaikkan beberapa foto acara lumba pungut sampah anjuran Pasukan Bertindak Kebersihan dan Kehijauan Toa Payoh East dan Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 6 Toa Payoh East yang diadakan buat penduduk di situ.

"Dengan usaha kolektif setiap orang, kami berupaya mengumpulkan 25 kilogram sampah! Saya ingin mengucapkan penghargaan tertinggi kepada pekerja Majlis Bandaran kerana bekerja keras bagi memastikan estet kita kekal bersih.

"Saya menyertai usaha hari ini dan mendapati beberapa penduduk memainkan peranan mereka dalam memungut sampah juga termasuk seorang budak kecil bersama ibunya.

"Sedang kita meraikan Hari Kebersihan Singapura ini, marilah kita mengambil masa menghargai pekerja pembersihan kita dan membenarkan mereka mengambil cuti sewajarnya hari ini.

"Kalau anda nampak sebarang sampah sekeliling estet anda, ingat untuk pungut sampah itu dan membuangnya! (Saya sebenarnya memungut beberapa pelitup pakai buang sekitar kejiranan ini. Justeru, tolong buang pelitup dalam tong sampah sebaiknya," tulis Encik Saktiandi.

Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, turut memuatnaikkan beberapa foto sempena Hari Kebersihan Singapura.

"Saya menyertai penduduk dari Zon 2 Keat Hong pagi ini bagi Hari Kebersihan Singapura dan memungut sampah sekitar laluan senaman dan berlari-lari anak. Semua daripada kita perlu memainkan peranan kita, besar atau kecil, dalam memastikan sekitaran kita bersih dan selamat," tulisnya di Facebook.