Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota peronda LTA yang maut bakal diri rumah tangga pada Julai

Jun 5, 2024 | 7:18 PM
Jenazah Allahyarham Zdulfika Ahakasah tiba di kolong blok kediamannya di Ang Mo Kio Avenue 10 pada 5 Jun. Beliau maut semasa bertugas setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh pembahagi jalan ketika beliau sedang mengejar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri pada 4 Jun.
Jenazah Allahyarham Zdulfika Ahakasah tiba di kolong blok kediamannya di Ang Mo Kio Avenue 10 pada 5 Jun. Beliau maut semasa bertugas setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh pembahagi jalan ketika beliau sedang mengejar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri pada 4 Jun. - Foto ST

Baru sahaja Encik Khairul Kader Mustam dan Encik Eric Yew menyantuni Encik Zdulfika Ahakasah menerusi panggilan video sekitar seminggu lalu.

Dalam perbualan tersebut, ketiga-tiga sahabat itu berbincang, antara lain, mengenai warna baju yang ingin dipakai pada hari perkahwinan Encik Zdulfika, memandangkan mereka berdua merupakan antara empat pengapit bagi mempelai lelaki dalam majlis tersebut.

Malah, baju seragam bagi pengapit sudah pun ditempah sejurus selepas mereka mengadakan perbualan tersebut.

Namun, perbualan mereka dan majlis perkahwinan itu kini tinggal kenangan setelah Encik Zdulfika, 26 tahun, maut semasa menjalankan tugas.

Kiriman video Facebook SG Road Vigilante pada 4 Jun memaparkan anggota penguatkuasa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) itu sedang mengejar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh pembahagi jalan.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam catatan Facebook pada 5 Jun berkata polis telah memberkas seorang lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai penunggang yang dikejar pegawai tersebut.

“Dia diberkas kerana gagal berhenti apabila diarah oleh seorang pegawai penguasa, memandu secara berbahaya, menunggang tanpa lesen yang sah dan menunggang tanpa perlindungan insurans.

“Tambahan lagi lelaki itu dan dua individu dalam satu unit kediaman pada masa itu (remaja perempuan berusia 17 tahun dan wanita berusia 33 tahun) telah diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah, termasuk memiliki alat kegunaan dadah dan senjata terlarang,” kata beliau sambil menambah remaja lelaki itu juga dikehendaki Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi kesalahan dadah.

Dalam satu catatan di Facebook pada 4 Jun, LTA melahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan akan bekerjasama dengan Polis Trafik (TP) untuk “menyiasat kejadian itu secara menyeluruh, dan membawa penunggang motosikal terbabit ke muka pengadilan”.

Secara berasingan, polis berkata ia dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan satu motosikal, dua lori dan satu van di sepanjang Ekspreswe Seletar (SLE) menghala ke Ekspreswe Bukit Timah (BKE) berhampiran susur keluar Ekpreswe Tampines (TPE) sekitar jam 10.40 pagi.

Polis menambah arwah dikejarkan ke hospital dan kemudiannya meninggal dunia.

Daripada kiriman kad jemputan yang dilihat Berita Harian (BH), arwah sepatutnya mendirikan rumah tangga dalam satu majlis di Tiara Waterfont di Stadium Tertutup Kallang pada 27 Julai ini.

Berkongsi kepada BH ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Ang Mo Kio Avenue 10, Encik Khairul berkata:

“Dalam perbualan terakhir saya bersama arwah, kami memilih baju warna krim untuk diseragamkan (dengan kesemua empat pengapit). Semua baju dah ditempah,” katanya.

“Arwah seorang yang sangat rapi dan teliti sehinggakan segala persiapan bagi perkahwinan dirancang dalam satu dokumen,” tambah beliau.

Encik Khairul, yang telah mengenali arwah lebih 15 tahun sejak menuntut di Sekolah Rendah Da Qiao pada 2005, berkata segala persiapan sudah pun dibuat arwah untuk menjadi raja sehari bersama bakal pasangannya, Cik Nur Syaina Mohd Zulkafali.

“Saya ditugaskan untuk atur pengangkutan. Arwah bekerja keras untuk memenuhi impian hari persandingannya,” tambahnya.

Beliau menyifatkan arwah sebagai seorang yang berani dan pantas membantu orang lain tanpa disuruh.

BH cuba menyantuni ibu arwah, Cik Norshima Teo, dan tunang Allahyarham Zdulfika, Cik Nur Syaina, tetapi mereka minta diberi privasi.

Lebih 100 orang termasuk sekitar 50 anggota, pegawai dan kakitangan LTA, hadir di kolong blok kediaman Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

Jenazah arwah tiba di kediamannya sekitar 2 petang sebelum dibawa ke Masjid Pusara Aman sekitar 3.15 petang untuk disembahyangkan dan dikebumikan.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, menerusi catatan di Facebook pada 5 Jun menyatakan kes ini sedang disiasat LTA dan TP.

“Saya amat bersedih dengan berita malang bahawa Allahyarham Zdulfika telah meninggal dunia,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg