Seorang anggota polis didakwa atas kesalahan mengintai sembilan lelaki, termasuk rakan sekerjanya, di sebuah Pusat Polis Kejiranan (NPC), dua kemudahan Home Team, dan lokasi lain.

Lelaki berusia 24 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti mangsa yang terbabit, turut didakwa mencabul dua daripada sembilan lelaki itu.

Pada 9 Julai, dia dihadapkan dengan 13 pertuduhan - dua pertuduhan mencabul kehormatan dan 11 pertuduhan mengintai.

Enam daripada mangsa didakwa disasarkan di NPC dan kemudahan Home Team, dan tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 2023 dengan 2025.

Dalam satu kenyataan kepada The Straits Times (ST) pada 9 Julai, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pihaknya telah mengambil tindakan terhadap lelaki itu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, seorang jurucakap polis berkata: “Pegawai SPF dikehendaki mematuhi undang-undang dan mengekalkan standard kelakuan serta disiplin yang paling tinggi. Kami mengambil tindakan terhadap pegawai yang melanggar undang-undang dengan tegas, termasuk mendakwanya di mahkamah.

“Kami tidak dapat memberi komen lanjut memandangkan prosiding mahkamah masih berjalan.”

Tertuduh berada di sebuah kemudahan Home Team pada 15 Disember 2023, ketika dia didakwa menggunakan telefonnya untuk merakam seorang lelaki yang hanya memakai seluar dalam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap mangsa kedua dan ketiganya di kemudahan yang sama pada 28 Januari dan 26 Februari 2024.

Dia turut didakwa mencabul mangsa ketiga di sebuah tempat letak kereta bertingkat di Tengah Garden Avenue pada November 2024.

Pada 27 Februari 2024, tertuduh berada di kemudahan Home Team itu ketika dia didakwa menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam video bahagian sulit seorang lelaki keempat pada dua kesempatan berasingan.

Dia didakwa merakam mangsa kelima, yang ketika itu hanya memakai seluar dalam, di sebuah NPC pada 6 Februari 2025 dan Jun 2025.

Pada bulan berikutnya, tertuduh berada di Kompleks Renang Woodlands ketika dia didakwa merakam video seorang lelaki keenam yang sedang mandi tanpa pakaian.

Pada 9 Oktober 2025, dia berada di tandas sebuah gimnasium ketika dia menggunakan telefonnya untuk merakam video lucah lelaki ketujuh.

Enam hari kemudian, dia berada di bilik loker sebuah ‘onsen’, atau kolam mandian air panas Jepun, ketika dia didakwa menggunakan telefonnya untuk merakam video lelaki kelapan, yang ketika itu tidak berpakaian.

Pada 21 Oktober 2025, tertuduh berada di kemudahan Home Team kedua ketika dia didakwa merakam video seorang lelaki kesembilan di dalam tandas.

Kes tersebut akan disebut semula pada 6 Ogos.

Bagi setiap pertuduhan mengintai, pesalah boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, didenda, disebat, atau menerima gabungan hukuman tersebut.

Bagi setiap pertuduhan mencabul kehormatan, pesalah juga boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, didenda, disebat, atau menerima gabungan hukuman tersebut.