Seorang doktor yang memohon perintah rawatan mandatori (MTO) sebagai ganti hukuman penjara dijatuhi hukuman penjara lapan minggu atas kesalahan mengintai, atau voyeurisme.
Jonathan Soh Jingyao, dijatuhkan hukuman penjara pada 15 Disember, lapor The Straits Times (ST).
Lelaki berusia 34 tahun itu, yang sebelum ini bekerja di Hospital Besar Sengkang, telah menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam secara rahsia tatkala seorang wanita sedang mandi di sebuah apartmen.
Hubungan Soh dengan mangsa dipadamkan dalam dokumen mahkamah.
Mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana perintah larang suara (gag order) untuk melindungi identitinya.
Di mahkamah, peguam bela, Encik Jeeva Joethy, daripada Regal Law, berkata Soh mengalami gangguan kecenderungan mengintai yang ringan.
Memetik laporan perubatan daripada Institut Kesihatan Mental (IMH), Encik Jeeva berkata syarat doktor melayakkan Soh untuk mendapat MTO.
Pesalah yang diberi MTO perlu menjalani rawatan untuk menangani keadaan mereka sebagai ganti masa di penjara.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Xu Sijia membalas dengan mengatakan walaupun dia layak bagi MTO, tiada bukti dia tidak boleh dipulihkan melalui hukuman di penjara.
Pendakwa raya sebaliknya berhujah agar hukuman penjara selama lapan hingga 10 minggu untuk Soh, dan berkata doktor itu melanggar hubungan kepercayaan antara dirinya dengan mangsa.
Laporan untuk menilai kesesuaian Soh bagi MTO diminta pada 13 November selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan voyeurisme.
Laporan itu mengesyorkan Soh menjalani MTO selama 18 bulan.
Bagaimanapun, Hakim Daerah Lim Wee Ming berkata, terdapat keperluan pencegahan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan minggu kepada doktor itu.
Mangsa berada di tandas di apartmen tersebut pada 14 April 2024 apabila Soh mengangkat telefonnya ke tingkap yang menghubungkan dapur dan tandas untuk merakamnya.
Mangsa melihat telefon berhampiran tingkap dan menjerit, mendorong Soh untuk meninggalkan dapur.
Dia kemudian memadamkan video itu daripada telefonnya dan meminta maaf kepada wanita itu, namun teman lelakinya membuat laporan polis pada hari yang sama.
Bagi kesalahan voyeurisme, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, dirotan, atau menerima sebarang gabungan hukuman sedemikian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg