Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota SCDF selamatkan mangsa kebakaran di Telok Blangah

Jul 3, 2023 | 8:17 PM
KEBAKARAN: Satu kebakaran berlaku pada pagi Isnin di unit tingkat tiga Blok 13 Telok Blangah Crescent. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dimaklumkan kejadian itu sekitar 7.05 pagi, telah memindahkan penghuni unit tersebut, sepasang suami isteri dari Myanmar.
KEBAKARAN: Satu kebakaran berlaku pada pagi Isnin di unit tingkat tiga Blok 13 Telok Blangah Crescent. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dimaklumkan kejadian itu sekitar 7.05 pagi, telah memindahkan penghuni unit tersebut, sepasang suami isteri dari Myanmar. - Foto FACEBOOK MELVIN YONG

Sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah flat di Telok Blangah terjaga daripada tidur pada pagi Isnin selepas terhidu asap dan kemudian mendapati mereka terperangkap sedang api menjilat ruang tamu rumah mereka.

Mereka segera membuka tingkap bilik tidur mereka untuk mendapatkan udara dan meminta tolong selain menghubungi tuan rumah mereka untuk mendapatkan bantuan.

Apabila anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba, mereka memecah masuk ke dalam flat itu dan menyelamatkan pasangan tersebut yang tidak cedera.

SCDF dan polis turut memindahkan sekitar 50 penduduk dari blok itu sebagai langkah berjaga–jaga.

SCDF berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran itu sekitar 7.05 pagi.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, jurucakap SCDF berkata anggota bomba terpaksa memaksa masuk ke dalam flat itu dan memadamkan api menggunakan beg galas buih udara mampat (CAF) dan jet air.

Pasangan suami isteri yang terperangkap dalam unit terbabit telah dipindahkan dan diperiksa oleh paramedik SCDF kerana terhidu asap. Mereka enggan dibawa ke hospital, tambah jurucakap itu.

SCDF sedang menyiasat punca kebakaran.

Pasangan itu kemudian memberitahu akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily News, bahawa mereka adalah pekerja asing dari Myanmar dan sedang tidur ketika kebakaran bermula.

“Selepas kami terjaga akibat terhidu asap, kami membuka pintu bilik tidur dan mendapati api sudah sangat besar dan sukar dipadamkan. Kami segera menutup pintu,” kata si suami, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Wen.

Encik Wen, 39 tahun, berkata beliau terdengar bunyi letupan di ruang tamu selepas menutup pintu.

“Saya sangat ketakutan, jadi saya tergesa–gesa membuka tingkap bersama isteri dan menjerit meminta tolong. Kami mendapat udara segar dan kemudian menghubungi tuan rumah kami untuk mendapatkan bantuan,” tambah Encik Wen.

“Sekitar lima minit kemudian, anggota bomba memecahkan pintu, masuk ke dalam bilik tidur dan menyelamatkan kami.”

Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, Encik Melvin Yong, berkata dalam satu catatan Facebook bahawa pejabat Kawasan Undi Radin Mas telah menghubungi pemilik flat untuk menawarkan bantuan.

Beliau menambah bahawa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang menyemak integriti struktur unit dan pasukan elektrik Majlis Bandaran Tanjong Pagar telah memeriksa dan memulihkan bekalan elektrik kepada semua unit lain.

Pasukan pemuliharaan majlis bandaran telah membersihkan serpihan dan asap hitam kebakaran di koridor dan akan mengecat semula bahagian luar kawasan yang terjejas di blok itu tidak lama lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg