Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anjing robotik, platform keselamatan pintar dipamer di simposium SBS Transit

Nov 21, 2024 | 1:12 PM
Anjing robotik ‘Mars’ dapat membantu pegawai keselamatan kerana ia dilengkapi dengan kamera definisi tinggi serta kamera termal yang berupaya menganalisis video.
Anjing robotik ‘Mars’ dapat membantu pegawai keselamatan kerana ia dilengkapi dengan kamera definisi tinggi serta kamera termal yang berupaya menganalisis video. - Foto ST

Selama tiga bulan lalu, anjing robotik yang diberi nama Mars telah membantu pegawai keselamatan menjalankan rondaan di Depot Bas Seletar.

Kemampuannya mengesan penceroboh – haiwan atau manusia – dan tanda-tanda kerosakan telah menjadikan Mars “anggota penting dalam pasukan keselamatan”, kata pengendali pengangkutan awam SBS Transit (SBST) pada simposium keselamatan pertama mereka pada 20 November.

Sistem Pengawasan Robotik Autonomi Mudah Alih atau Mars – robot serba boleh yang mampu beroperasi dalam apa jua keadaan atau cuaca – dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI). Ia juga boleh menempuh jarak sekitar 15 kilometer sebelum perlu dicas semula, lapor The Straits Times (ST).

Sebenarnya “ia suka persekitaran yang mencabar” dan bersedia untuk penggunaan jangka panjang, kata Dr Yanliang Zhang, pengarah urusan dan ketua saintis Weston Robot – syarikat teknologi tempatan yang membangunkan Mars.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SBST, Encik Jeffrey Sim, berkata bahawa ancaman yang semakin canggih kini memerlukan teknologi yang lebih maju untuk membantu organisasi kekal di hadapan.

Robot seperti Mars boleh meningkatkan usaha pegawai keselamatan, kata Encik Sim. Sebagai contoh, Mars boleh melihat dengan lebih baik pada waktu malam, dan kamera termalnya boleh mengesan haiwan atau manusia dengan lebih mudah dari jauh.

Ini membolehkan pegawai melaksanakan tugas-tugas “yang lebih tinggi”, kata Encik Sim. 

Daripada meronda di depot, pegawai boleh menguruskan dan memantau siaran video langsung daripada kamera CCTV di sekitar kawasan tersebut.

Apabila ditanya mengenai prestasi Mars, Encik Sim memberitahu ST bahawa ujian yang dijalankan “sangat berjaya setakat ini, dan rancangan kami adalah untuk melanjutkannya ke semua depot bas dan rel kami”.

Robot tersebut dilengkapi dengan kamera definisi tinggi dan termal, keupayaan untuk menganalisis video, membolehkannya memproses apa yang dilihatnya secara masa nyata dan memberi amaran kepada pegawai jika ada penceroboh.

Di depot Laluan Timur Laut di Sengkang, terdapat seekor anjing robotik bernama kAI yang telah membantu juruteknik dengan aktiviti penyelenggaraan, sejak 2023.

Selain Mars, sebuah platform keselamatan pintar yang direka oleh SBST dan syarikat tempatan, Kabam Robotics, juga dipamerkan di simposium tersebut.

Dikenali sebagai Projek Sentinel, platform ini direka khas untuk digunakan oleh pengendali pengangkutan awam yang perlu memantau kawasan yang besar dan sibuk seperti hab pengangkutan.

Sentinel boleh menyatukan dan menganalisis data daripada pelbagai sumber, termasuk kamera CCTV dan robot keselamatan, serta memberi amaran segera kepada pegawai jika ia mengesan sesuatu yang mencurigakan.

SBST juga menandatangani empat perjanjian di simposium tersebut, termasuk satu dengan Politeknik Temasek untuk melengkapi pegawai keselamatan dalam sektor pengangkutan awam dengan pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi cabaran keselamatan.

Di bawah tiga lagi memorandum persefahaman (MOU), robot autonomi dan analitik video berkuasa AI akan diuji di persimpangan bas, depot dan stesen MRT untuk meningkatkan keselamatan.

MOU ini ditandatangani dengan Persatuan Penyelesaian Keselamatan Singapura dan syarikat teknologi tempatan Weston Robot dan Talonz Technologies.

Berucap di simposium tersebut, Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata sistem pengangkutan awam Singapura “sasaran utama kerana senang diakses dan orang ramai yang padat”.

Oleh itu, penting untuk “memanfaatkan teknologi bagi mengukuhkan keselamatan awam”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg