Pengendali pengangkutan awam SBS Transit (SBST) sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat Portugis, Stratio untuk meningkatkan ramalan pemantauan penyelenggaraan dan keadaan bas menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Selain menerima amaran mengenai masalah berkaitan bas, sistem itu akan memberitahu tentang isu yang dihadapi secara ringkas dan bahagian utama bas yang memerlukan tindakan susulan.
Ini kali pertama Stratio bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk membangunkan teknologi AI generatif.
Teknologi itu akan dibina sebagai penambahan kepada sistem pemantauan keadaan semasa SBST.
“Akses yang dipertingkat ini dijangka dapat mempercepat operasi dan mempermudah kerja pembaikan, sekali gus meningkatkan keupayaan penyelenggaraan SBS Transit,” kata Cik Grace Wu, jurucakap pengendali itu, kepada The Straits Times pada 7 November.
SBST juga ingin menggunakan AI untuk meningkatkan keselamatan dengan perjanjian yang ditandatangani bersama sebuah syarikat Singapura, TNT Surveillance, yang menghasilkan sistem pengawasan mudah alih.
Pengendali itu akan membangunkan sistem cermin digital menyeluruh yang menggunakan AI untuk mengesan pengguna jalan berisiko dan memberi amaran kepada pemandu bas.
SBST juga merancang memasang lampu isyarat yang disertakan dengan bunyi loceng untuk memberi amaran kepada pejalan kaki bahawa sebuah bas sedang menghampiri mereka.
Itu antara enam perjanjian yang ditandatangani SBST pada 6 dan 7 November di Kongres dan Pameran Pengangkutan Antarabangsa Singapura di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.
Encik Pang Yeow Wei, ketua jurutera bagi MRT Laluan Downtown di SBST, berucap dalam satu sesi panel pada 6 November mengenai penggunaan AI dalam pengangkutan awam.
Beliau berkata pengendali akan melaksanakan teknologi itu dengan berhati-hati, terutama di kawasan yang mungkin boleh menjejas perjalanan penumpang dan menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Turut berucap pada panel itu ialah Encik Kwek Hyen Chee, ketua sistem digital dan inovasi perniagaan kejuruteraan di Strides, cabang perniagaan rakan pengendali pengangkutan awam SMRT.
Encik Kwek berkata harga pengangkutan awam perlu kekal berpatutan bagi semua penumpang, dan penggunaan AI pada skala besar dengan mendadak memerlukan pelaburan tinggi dan ini belum dapat disokong sistem pengangkutan awam sedia ada.
SMRT turut menandatangani perjanjian dengan rakan kongsinya pada majlis itu.
Dua perjanjian ditandatangani dengan pengeluar China, CRRC Sifang, bagi operasi kereta api.
Satu adalah kontrak uji cuba, untuk menguji keupayaan kereta api MRT generasi kelima, dan satu lagi berkaitan pendigitalan, automasi maju, dan robotik.
Perjanjian ini dijangka berlangsung hingga pertengahan 2026, di mana kedua-dua pihak akan menguji sistem pemantauan keadaan kereta api generasi kelima di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL).
Sistem yang digunakan oleh kakitangan untuk memantau maklumat kereta api juga akan dinaik taraf untuk memberikan maklum balas yang lebih terperinci dan tepat.
SMRT berkata usaha ini akan membantu jurutera meningkatkan fokus penyelenggaraan mereka dan melihat bahagian kereta api yang mana memerlukan lebih perhatian.
Sistem penyaman udara kereta api juga akan dinaik taraf dengan kapasiti penyejukan yang dipertingkatkan dan teknologi mesra alam untuk keselesaan penumpang.
“Bersama-sama, mereka menyumbang kepada usaha berterusan dan proaktif SMRT dalam mencari penyelesaian untuk mengesan dan membetulkan isu berkaitan kereta api lebih awal, serta mengurangkan gangguan perkhidmatan,” kata SMRT dalam satu kenyataan pada 6 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg