Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah anumerta buat Suratman Markasan atas sumbangan dalam sastera S’pura

Sep 10, 2024 | 8:52 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kiri) sampaikan Anugerah anumerta Pencapaian Majlis Buku Singapura (SBC) kepada anak Allahyarham Suratman Marksan, Dr Suriani Suratman (dua dari kanan), semasa majlis penyampaian Hadiah Sastera Singapura 2024. Bersama mereka adalah pengerusi SBC, Cik Claire Chiang (kiri), dan pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Dr Azhar Ibrahim (kanan). Gambar sisipan,  Allahyarham Suratman.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (dua dari kiri) sampaikan Anugerah anumerta Pencapaian Majlis Buku Singapura (SBC) kepada anak Allahyarham Suratman Marksan, Dr Suriani Suratman (dua dari kanan), semasa majlis penyampaian Hadiah Sastera Singapura 2024. Bersama mereka adalah pengerusi SBC, Cik Claire Chiang (kiri), dan pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Dr Azhar Ibrahim (kanan). Gambar sisipan, Allahyarham Suratman. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Tokoh sastera Melayu, Allahyarham Suratman Markasan, telah diiktiraf dengan Anugerah anumerta Pencapaian Majlis Buku Singapura (SBC) semasa satu majlis penyampaian Hadiah Sastera Singapura (SLP) 2024 di Panggung Victoria pada 10 September.

Allahyarham, yang meninggal dunia pada 27 Februari 2024, diberi pengiktirafan itu atas sumbangan yang dianggap penting dalam kesusasteraan Singapura.

Anugerah tersebut diterima anak Allahyarham, Dr Suriani Suratman, yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

Allahyarham yang memulakan kerjaya kesusasteraan pada awal 1950an, menerima banyak anugerah termasuk Penulis Asia Tenggara (1989), dan Anugerah Sasterawan Mastera (2014) selain pemenang bersama Hadiah Sastera Singapura (SLP) (2022).

Allahyarham telah menghasilkan buku Tak ada Jalan Keluar (1962) dan Penghulu Yang Hilang Segala-Galanya (1998).

Selain itu, Allahyarham aktif menyumbang kepada masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, seramai 17 penulis, penterjemah, dan artis komik telah menerima SLP 2024 – satu anugerah sastera utama Singapura.

Sebanyak 71 karya dan seramai 69 penulis telah disenarai pendek dalam 16 kategori untuk SLP 2024.

Dianjurkan SBC, majlis anugerah dua tahun sekali itu dihadiri tetamu terhormat Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Antara pemenangnya termasuk Encik Samsudin Said, yang memenangi kategori Puisi Melayu bagi bukunya berjudul Atas Nama Kasih; dan Encik Farihan Bahron, yang memenangi kategori Fiksyen Melayu untuk bukunya Antidot Usia.

Encik Samsudin, yang telah mengumpul 60 koleksi puisinya yang ditulis dari 2011 hingga 2018 dalam bukunya itu, berkata:

“Dengan rendah hati, saya rasa ia adalah satu penghormatan yang saya terima. Mungkin yang menilainya melihat tulisan saya di dalam buku karya saya tentang isu-isu kemanusiaan sejagat.

“Selain itu, saya rasa terharu apabila diletakkan bersama Allahyarham di satu pentas untuk sama-sama dicalonkan,” kongsi beliau, yang merujuk kepada buku Allahyarham Suratman berjudul Aku Menghitung-hitung Nama-mu.

Bagi Encik Farihan pula, beliau berkata bahawa penganugerahan ini dianggap sebagai satu titik permulaan beliau untuk terus menulis karya novel pada masa akan datang.

“Ini adalah satu-satunya pengiktirafan saya dalam menulis novel, dan saya anggap anugerah ini satu petanda untuk saya menulis lebih banyak novel pada masa yang akan datang.

“Walaupun saya lebih cenderung kepada genre sains fiksyen, saya mahu keluar daripada zon selesa saya dan cuba menulis novel yang berdasarkan sejarah dan politik,” ujar beliau.

Setiap pemenang dalam 16 kategori itu menerima hadiah wang tunai $3,000 dan mendapat trofi khas buatan tangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg