Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengucapkan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang bakal melepaskan jawatannya pada 15 Mei.
Beliau turut melahirkan kesediaan dan komitmen untuk meneruskan hubungan dua hala yang akrab dan kukuh di bawah kepimpinan baru Singapura, yang akan diterajui Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Datuk Anwar menulis dalam satu hantaran di Facebook bahawa beliau telah menerima panggilan daripada Encik Lee untuk memaklumkan secara rasmi bahawa dirinya akan menyerahkan tampuk pentadbiran Singapura kepada Encik Wong pada minggu hadapan.
Encik Lee, yang telah memimpin Singapura sebagai Perdana Menteri selama 20 tahun sejak 12 Ogos 2004, turut menzahirkan harapannya kepada Datuk Anwar untuk melihat hubungan akrab Malaysia dan Singapura terus mekar di bawah kepimpinan Encik Wong.
“Saya sambut baik harapan PM Lee dan sedia untuk terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Singapura di bawah pentadbiran Lawrence.
“Saya juga sempat mengundang PM Lee dan Ho Ching untuk datang ke Malaysia dalam masa terdekat. Saya dan Azizah amat menghargai hubungan peribadi yang erat bersama PM Lee dan Ho Ching,” tulis Datuk Anwar.
Menjawab pertanyaan media, Setiausaha Akhbar kepada Encik Lee, Cik Chang Li Lin, mengesahkan bahawa Encik Lee dan Datuk Anwar telah bercakap pada 11 Mei.
“Mereka mengesahkan hubungan rapat antara Singapura dan Malaysia. Kedua-dua pemimpin berkongsi persahabatan yang erat dan telah bekerjasama dengan baik untuk mengukuhkan kerjasama dua hala.
“Mereka menyatakan harapan bahawa kedua-dua pihak akan terus bekerja secara konstruktif dalam kerjasama yang saling menguntungkan,” kata Cik Chang.
Encik Lee, 72 tahun, bakal melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Singapura yang ketiga pada 15 Mei.
Encik Wong akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang keempat dalam satu majlis di Istana pada malam yang sama.
Dengan penyerahan tampuk pimpinan kepada Encik Wong kelak, Encik Lee akan memegang jawatan selaku Menteri Kanan dalam Kabinet baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg