Topik diikuti
Pergi ke BHkuAP gesa lihat bekalan makanan sebagai keselamatan negara, perkukuh daya tahan
Demi pastikan rakyat punya akses kepada bekalan dimampui di tengah keadaan geopolitik tidak tentu, risiko berkait iklim
AP gesa lihat bekalan makanan sebagai keselamatan negara, perkukuh daya tahan
Singapura mesti menganggap bekalan makanannya sebagai satu isu keselamatan negara, dan bukan sekadar bergantung pada import atau sasaran pertanian tempatan, kata empat Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mengemukakan usul mengenai menjamin masa depan makanan negara di Parlimen pada 9 September.
Empat AP itu – Cik Poh Li San, Cik Nadia Ahmad Samdin, Encik Ng Shi Xuan dan Cik Valerie Lee, yang merupakan anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kemampanan dan Sekitaran – telah menyeru pemerintah untuk mempertingkat daya tahan makanan dan menyokong usaha mengurangkan pembaziran makanan melalui kerjasama dengan segenap lapisan masyarakat.
Ini demi memastikan rakyat Singapura mempunyai akses kepada bekalan makanan yang boleh dimampui di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan risiko berkaitan iklim.
Cik Poh (Sembawang West) menggesa pemerintah supaya mempertimbangkan keupayaan pengeluaran makanan tempatan sebagai sebahagian daripada keselamatan Pertahanan Mutlak, diiringi dengan sokongan belanjawan, pengurangan kos tanah dan utiliti, serta pengumpulan permintaan.
“Sebagaimana kita telah membelanjakan berbilion dolar sejak beberapa dekad lalu untuk membangunkan keupayaan pertahanan ketenteraan kita, pemerintah boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan belanjawan negara bagi membangunkan keupayaan pengeluaran makanan tempatan kita.
“Pemerintah juga harus membantu petani tempatan kita menangani kos tanah, tenaga kerja, dan utiliti yang tinggi dalam pengeluaran pertanian tempatan, serta mengumpulkan permintaan bagi hasil tani tempatan,” kata beliau.
Sementara itu, Cik Nadia (GRC Ang Mo Kio) pula menyarankan agar sektor pertanian diperlakukan sebagai satu “portfolio keupayaan” yang menyokong pelbagai model pertanian, termasuk yang dalam bangunan, berasaskan tanah, hibrid, masyarakat dan akuakultur.
Meskipun ladang berteknologi tinggi berpotensi menghasilkan lebih 1,000 tan hasil tani setiap hektar – jauh lebih tinggi berbanding ladang tradisional yang menghasilkan sekitar 130 tan setiap hektar, setiap tahun – beliau berkata sistem yang berbeza melindungi Singapura daripada risiko yang berlainan.
“Ladang dalam bangunan tertutup mungkin kurang terdedah kepada kepanasan dan hujan, tetapi lebih terdedah kepada harga elektrik, kerosakan peralatan, atau input khusus – kita telah menyaksikan beberapa ladang berteknologi tinggi ditutup disebabkan kos yang tidak mampan.
“Pertanian berasaskan tanah yang dilindungi atau hibrid mempunyai profil kelemahan yang berbeza; akuakultur pula mempunyai profilnya yang tersendiri.
“Ini bukanlah hujah yang menentang penggunaan teknologi. Sebaliknya, ia adalah satu persoalan sama ada kita patut menganggap sektor pertanian kita sebagai satu portfolio keupayaan, dan bukannya mengharapkan setiap ladang mengoptimumkan pengeluaran mengikut model yang sama,” hujah beliau.
Para AP itu turut mengetengahkan ironi ketara bagi Singapura – sebuah negara yang mengimport lebih 90 peratus bekalan makanannya, tetapi membuang sekitar 790,000 tan makanan pada 2025, atau purata 128 kilogram makanan bagi setiap orang.
Dalam hal ini, Cik Lee (GRC Pasir Ris-Changi) ingin melihat usaha menyelamatkan makanan bukan sekadar sebagai pengurusan sisa (waste management), malah pemulihan bekalan juga.
Beliau telah bertanya sama ada pemerintah boleh bekerjasama dengan agensi relevan untuk mengenal pasti tanah atau ruang yang sesuai bagi penyimpanan makanan yang diselamatkan untuk masyarakat, terutamanya di mana ia dapat menyokong rangkaian sedia ada yang memberikan makanan sedemikian kepada masyarakat.
“Apabila makanan yang boleh dimakan dibuang, kita kehilangan makanan yang telah ditanam, dituai, diimport atau dihasilkan, diangkut, disimpan dan dibawa masuk ke Singapura,” kata beliau.
Antara lain, Encik Ng (GRC Sembawang) pula menyarankan agar skop Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA) bagi syarikat pengeluaran makanan dapat diperluaskan supaya sokongan boleh menjangkau di luar promosi pasaran kepada bidang seperti pensijilan luar negara dan kelulusan pengawalseliaan.
“Ini dapat membantu syarikat yang berpotensi untuk bersedia bagi pasaran global dan mencapai skala perniagaan dengan lebih cepat,” kata beliau.
