Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrace Fu: Lebih $240j diperuntuk sokong pengeluaran makanan tempatan sejak 2019
Harus cari keseimbangan antara jaminan bekalan, ketersediaan, dengan harga berpatutan bagi pastikan daya tahan makanan S’pura
Grace Fu: Lebih $240j diperuntuk sokong pengeluaran makanan tempatan sejak 2019
Lebih $240 juta telah diperuntukkan sejak 2019 bagi menyokong pengeluaran makanan tempatan yang menghasilkan peningkatan ketara produktiviti ladang sayur-sayuran, makanan laut dan telur, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Daya penghasilan meningkat sebanyak 20 peratus bagi ladang sayur-sayuran; 46 peratus bagi ladang makanan laut; dan 40 peratus bagi ladang telur antara 2019 dengan 2025, kata beliau.
Ini bermakna lebih banyak makanan boleh dihasilkan secara tempatan, sekali gus memperkukuh daya tahan makanan Singapura – selaras dengan usaha pemerintah menerusi Kisah Makanan Singapura 2.0 (SFS2) dengan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
“Di bawah SFS2, kami akan terus melakukan lebih banyak usaha untuk menyokong ladang tempatan kami, bukan mengurangkannya,” ujar Cik Fu.
Dalam memastikan daya tahan makanan, Cik Fu berkata Singapura perlu mencapai keseimbangan yang tepat antara memastikan makanan terus tersedia, menjamin bekalan semasa berlaku gangguan dan memastikan makanan kekal pada harga berpatutan.
Cik Fu berkata demikian di Parlimen pada 9 September dalam respons kepada satu usul mengenai menjamin masa depan makanan negara di Parlimen yang dibentangkan oleh empat Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) – Cik Poh Li San, Cik Nadia Samdin, Encik Ng Shi Xuan dan Cik Valerie Lee, yang merupakan anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kemampanan dan Sekitaran.
Mereka menyeru pemerintah agar mempertingkat daya tahan makanan dan menyokong usaha mengurangkan pembaziran makanan melalui kerjasama dengan segenap lapisan masyarakat.
Ini demi memastikan rakyat Singapura mempunyai akses kepada bekalan makanan yang boleh dimampui di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan risiko berkaitan iklim.
Seramai 12 Anggota Parlimen (AP) mengemukakan pandangan mereka berkaitan usul berkenaan, termasuk empat AP daripada GPC yang membentangkan usul tersebut.
Menurut Cik Fu, menjamin bekalan makanan merupakan satu cabaran yang rumit kerana makanan merangkumi pelbagai komoditi yang dihasilkan dalam keadaan berbeza, diperoleh dari pelbagai bahagian dunia dan melalui rantaian bekalan yang berlainan.
“Kepelbagaian ini juga bermakna risiko terhadap bekalan makanan adalah pelbagai,” jelas beliau.
“Kejutan iklim, wabak penyakit, ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan merupakan risiko yang boleh menjejas bekalan makanan,” tambahnya.
Justeru, dalam memastikan daya tahan makanan di sini, perlu ada keseimbangan dalam mencapai ketersediaan, jaminan bekalan dan kemampuan mendapatkan makanan pada harga berpatutan, tambah Cik Fu.
Beliau akur terdapat cabaran dan pertimbangan yang perlu dibuat kerana ketiga-tiganya tidak dapat dimaksimumkan pada masa yang sama.
Misalnya, mempelbagaikan sumber import, termasuk mendapatkan bekalan dari lokasi yang lebih jauh, mungkin meningkatkan kos logistik tetapi memberikan Singapura lebih banyak pilihan ketika berlaku gangguan.
Pada masa yang sama, stok simpanan makanan dapat menjamin bekalan ketika berlaku gangguan, tetapi memerlukan ruang penyimpanan dan sumber yang besar.
“Matlamat kami bukan untuk mencapai jaminan atau ketersediaan bekalan pada tahap maksimum tanpa mengira kos, atau memaksimumkan kemampuan mendapatkan makanan pada harga berpatutan sehingga menjejas daya tahan.
“Sebaliknya, ia adalah untuk mencapai keseimbangan yang tepat antara ketersediaan, jaminan bekalan dan kemampuan mendapatkan makanan pada harga berpatutan,” jelas Cik Fu.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, pemerintah telah menyediakan sokongan kepada ladang tempatan melalui dana dan geran yang membantu mereka meningkatkan produktiviti serta menghadapi tekanan kos.
Cik Fu memberi contoh Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan (ACT), yang ditubuhkan pada 2021, dengan hampir $60 juta telah diberikan kepada lebih 160 projek.
Selain sokongan untuk meningkatkan produktiviti dalam jangka panjang, pemerintah turut menyediakan bantuan bagi membantu ladang tempatan menangani tekanan kos akibat konflik di Timur Tengah.
Menukil contoh geran Sokongan Daya Tahan Perniagaan Ladang yang diperkenalkan pada Julai 2026, Cik Fu berkata lebih 80 ladang telah memohon geran tersebut dalam tempoh sebulan lalu.
“
“Matlamat kami bukan untuk mencapai jaminan atau ketersediaan bekalan pada tahap maksimum tanpa mengira kos, atau memaksimumkan kemampuan mendapatkan makanan pada harga berpatutan sehingga menjejas daya tahan. Sebaliknya, ia adalah untuk mencapai keseimbangan yang tepat antara ketersediaan, jaminan bekalan dan kemampuan mendapatkan makanan pada harga berpatutan.”