Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP gesa pendekatan seimbang, ambil berat kebajikan pekerja sedang kuasa NCSS diperluas

Jan 13, 2026 | 9:18 PM
wan rizal wan zakariah, ncss, parliament
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar). - Foto MDDI

Langkah memperkukuh peranan berkanun Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) mempunyai banyak kebaikan.

Namun, ia juga boleh membawa kepada pemusatan berlebihan dalam membuat keputusan, sumber dan pengaruh sekiranya ia tidak diselaraskan dengan teliti, kata Anggota Parlimen (AP), Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar).

Usaha memperkukuh peranan berkanun majlis itu menimbulkan soalan penting mengenai keseimbangan, batasan dan pelaksanaan, kata penyokong golongan kurang upaya dan eksekutif khidmat sosial itu di Parlimen pada 13 Januari.

“Bagi agensi khidmat sosial lebih kecil, pengawasan NCSS yang lebih kukuh boleh membawa manfaat – seperti akses kepada khidmat dikongsi dan kekaryawanan.

“Namun, piawaian seragam sering menggalas skala pentadbiran yang tidak dimiliki agensi lebih kecil.

“Ini mungkin mengakibatkan beban pematuhan yang tidak seimbang, tekanan mematuhi templat yang standard, dan tindak balas terhadap realiti masyarakat tempatan yang berkurangan,” kata beliau.

Seramai 12 AP menyertai perbahasan mengenai Rang Undang-Undang NCSS (Pindaan) di Parlimen pada 13 Januari, dengan Parlimen meluluskan pindaan tersebut.

Ia antara lain, memberi peranan lebih besar kepada NCSS dalam memperkukuh pemberian khidmat sosial dan membina keupayaan sektor tersebut.

Langkah itu selaras dengan peranan majlis tersebut yang semakin berkembang sebagai pembangun sektor sepanjang tahun-tahun ini.

Antara lain, rangka kerja keanggotaan baru akan diperkenal, dengan hanya pertubuhan yang menyediakan perkhidmatan sosial, atau menyokong secara langsung penyediaan perkhidmatan tersebut, akan menjadi anggota NCSS.

Pindaan lain termasuk menggantikan lembaga 23 anggota NCSS dengan sebuah majlis – seramai 15 hingga 27 anggota – yang dilantik sepenuhnya oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) berkata NCSS perlu melakukan lebih daripada sekadar memastikan ia menyalur perkhidmatan dan memberi perhatian teliti kepada keperluan, gaji, kemahiran, kebajikan dan prospek pekerja jika ia ingin berjaya dan menjadi pembangun sektor yang dipercayai.

“Apabila kita bercakap tentang khidmat sosial, kita sering tertumpu pada klien dan program, dan ia memang sepatutnya begitu,” kata beliau, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

“Tetapi orang yang melaksanakan kerja ini adalah pekerja sosial dan penjagaan kita… Mereka sering berada di bawah beban emosi yang tinggi, tekanan beban kes yang tinggi, dan dalam ruang di mana hasilnya tidak datang serta-merta dan penyelesaiannya boleh menjadi agak rumit,” tambahnya.

Cik Lee Hui Ying (GRC Nee Soon) turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan pekerja khidmat sosial.

“Kita perlu memberikan pekerja sosial dan pegawai khidmat sosial kita penjagaan yang sama seperti yang mereka berikan kepada orang dan keluarga yang mereka sokong,” kata beliau.

“Isu kekurangan tenaga kerja adalah nyata. Pekerja sosial diketahui mengendalikan 20 hingga 50 kes pada satu masa, dan sering menangani krisis di luar waktu bekerja biasa,” tambahnya.

Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) pula mengetengahkan isu berkenaan perwakilan dan keterangkuman dalam majlis itu, sambil berkata proses pemilihan bagi Majlis berkenaan secara ideal harus mencerminkan kepakaran, kepelbagaian dan komitmen untuk membangunkan sektor khidmat sosial.

“Ini akan memastikan gabungan kemahiran dan pengalaman yang optimum untuk memenuhi mandat NCSS yang dikemas kini.

“Di samping itu, adalah penting memastikan ketelusan, ketelitian dan perwakilan dalam proses pencalonan, pemilihan dan pelantikan.

“Tidak perlu dikatakan, usaha wajar yang mantap semasa menilai bakal calon adalah penting, dan begitu juga memastikan perlindungan yang jelas untuk kewibawaan dan kebolehpercayaan serta sokongan sektor,” kata beliau.

“Orang yang melaksanakan kerja ini adalah pekerja sosial dan penjagaan kita… Mereka sering berada di bawah beban emosi yang tinggi, tekanan beban kes yang tinggi, dan dalam ruang di mana hasilnya tidak datang serta-merta dan penyelesaiannya boleh menjadi agak rumit.”
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar).

“... adalah penting memastikan ketelusan, ketelitian dan perwakilan dalam proses pencalonan, pemilihan dan pelantikan. Tidak perlu dikatakan, usaha wajar yang mantap semasa menilai bakal calon adalah penting, dan begitu juga memastikan perlindungan yang jelas untuk kewibawaan dan kebolehpercayaan serta sokongan sektor.”
Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast).

“Bagi agensi khidmat sosial lebih kecil, pengawasan NCSS yang lebih kukuh boleh membawa manfaat – seperti akses kepada khidmat dikongsi dan kekaryawanan. Namun, piawaian seragam sering menggalas skala pentadbiran yang tidak dimiliki agensi lebih kecil. Ini mungkin mengakibatkan beban pematuhan yang tidak seimbang...”
Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg